Sunday, February 7, 2010

AL ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD - LIL IMAM IBN HAJAR

Bab 3 Perkara

Bismillah


Diriwayatkan* daripada Nabi SAW sabdanya: "Barangsiapa berpagi-pagi mengeluh tentang kesempitan hidupnya (dunianya), maka ia seolah-olah mengeluhkan Tuhannya (mengkritik Tuhannya). Barangsiapa yang berpagi-pagi merasa dukacita tentang urusan dunianya, maka seolah-olah memarahi Allah. Barangsiapa yang merendahkan diri kepada seorang kaya untuk memenuhi hajatnya, maka telah hilang dua pertiga agamanya”.


Daripada Abi Bakr As-Siddiq r.anh: “Tiga perkara yang tidak akan diperolehi dengan tiga perkara; kekayaan dengan angan-angan, kemudaaan dengan mewarnakan uban dan kesihatan dengan pengubatan”.

Ertinya, sekalipun sembuh dengan berubat, namun kesihatannya tidak lagi sama seperti sebelum sakit itu.


Daripada Umar r.anh: “Bagusnya pergaulan dengan manusia separuh daripada aqal (kecerdikan), bagusnya soalan separuh daripada ilmu, bagusnya pengurusan (tadbir) separuh daripada kehidupan”.


Daripada Utsman r.anh: “Barangsiapa meninggalkan dunia dicintai Allah; barangsiapa meningggalkan dosa, para malaikat mencintainya; barangsiaa meninggalkan ketamakan kepada milik kaum muslimin akan beroleh cinta mereka”.


Daripada Ali kwj: “Seandainya engkau menginginkan nikmat dunia, maka cukuplah Islam sebagai nikmat bagimu; jika engkau mencari kesibukan maka cukuplah ketaatan sebagai kesibukanmu; jika engkau mengharapkan nasihat, maka cukuplah maut sebagai penasihat bagimu”.


Daripada Ibn Mas’ud r.anh: “Betapa ramai orang yang beroleh ni’mat namun berupa istidraj. Berapa ramai pula yang beroleh pujian, namun sebagai ujian. Betapa ramai lagi yang ditutup dosa-dosa mereka sehingga tertipu dengannya (sehingga menjadikan berterusan melakukan dosa)”.


Daripada Nabi Dawud a.s: “Diwahyukan di dalam Zabur: “Menjadi hak ke atas seorang yang beraqal untuk tidak menyibukkan dirinya selain pada tiga perkara: “Berbekal untuk hari kemudian (akhirat), mencari keperluan untuk kehidupan dan mencari kenikmatan pada yang dihalalkan”.


Daripada Abi Hurairah r.anh katanya bahwa Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang membinasakan; tiga perkara yang menaikkan darjat dan tiga perkara yang menghapuskan dosa-dosa:


Adapun tiga yang menyelamatkan adalah:

  1. Takut kepada Allah ketika berseorangan atau di tengah keramaian
  2. Bersikap sederhana (al-qashdu) di waktu faqir atau kaya
  3. Berlaku adil ketika redho atau murka


Adapun tiga yang membinasakan adalah:

  1. Bakhil yang terlampau
  2. Hawa nafsu yang dituruti
  3. Bangga dengan pendapat sendiri


Adapun tiga perkara yang mengangkat darjat adalah:

  1. Menyebarkan salam
  2. Memberi makan (orang yang kelaparan)
  3. Bersolat malam di waktu manusia tidur


Adapun tiga yang menghapus dosa-dosa adalah:

  1. Menyempurnakan wudhuk pada malam yang sangat sejuk
  2. Melangkahkan kaki untuk bersolat jamaah
  3. Menanti solat setelah solat


* Kemungkinan terdapat hadith-hadith yang tidak mencapai darjat sohih disebutkan di dalam kitab ini, namun Al-Hafizh Ibn Hajar telahpun mengisyaratkan melalui penggunaan lafaz "Diriwayatkan" sebagai contoh. Hal ini adalah tidak asing lagi buat sesiapa yang mempelajari ilmu Mustholah Hadith. Harap maklum.


Bersambung...

Friday, February 5, 2010

Berdiam Diri


Seandainya berkata-kata itu adalah perak,
Maka sesungguhnya diam itu adalah emas..


Saturday, December 19, 2009

SUNNATULLAH DAN MAGHFIRAH

Jangan biarkan,
Seorang kanak-kanak terperangkap
Di dalam tubuh seorang pemuda!
Atau seorang remaja
Terperangkap dalam jasad seorang dewasa

Matang sebelum usia
Bagus zahirnya
Namun hakikatnya binasa!

Biarkan saja
Setiap sesuatu mengikut ketetapanNya..

“Sunnatullah. Dan engkau tidak akan dapati perubahan
pada sunnahNya”

Kanak-kanak nakal?
Itu biasa..
Remaja mencuba-cuba?
Tiada yang peliknya…
Berbuat salah;
Itu sifat manusia..
Terbuat dosa;
Itukan kita semua…?

Janganlah jemu meminta padaNya
Dan jangan berputus asa daripada rahmatNya
Gerbang maghfirahNya terbuka sentiasa
Tiadakah hasratmu ‘tuk melewatinya?

TAQDIR vs TADBIR

Oh jiwa! 
Apakah yang membuatmu berduka?
Bukankah telah kering lembaran?
Dan pena pun telah diangkatkan?
Lantas apa yang mengundang laramu?

Oh engkau !
Taqdir Tuhan pada lembaran keabadian,
Siapakah dapat menjangkakan ?
Kerana ianya tersembunyi,
Tiada siapa dapat mengetahui.

Apakah yang engkau takutkan?

Buruknya kesudahan,
Itulah yang aku bimbangkan..

Kerana amal menurut kesudahan,
Meski beribadah sepanjang zaman,
Namun tersungkur di penghabisan,
Tiada balasan selain kecelakaan!

Oh… Tuhan..
Di manakah keselamatan?

“Beritahukan kepada hamba-hambaKu
Bahawa Aku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,
Dan azabKu, pedihnya tiada yang menandingi!”

Thursday, November 19, 2009

APAKAH YANG BERNILAI SELAIN DIA?


Daripada keelokan Islam seseorang itu adalah
ia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat buat dirinya
-al hadith-

AR RIDHA BIL QADHA


Aku tersenyum di hadapan sebuah takdir
Meskipun ia pahit
Dan jiwa-jiwa yang tidak mengerti merasa perit
Namun ia adalah keputusan Tuhanku
Dan Dia Maha Mengerti apa yang terbaik buat diriku

Seandainya seluruh makhluk
Terawal dan terakhirnya
Manusia dan jinnya berhimpun
Untuk mendatangkan manfaat kepadaku
Sesuatu yang tidak ditetapkan oleh Tuhanku
Pastinya mereka takkan mampu

Seandainya pula
Mereka semua
Berkumpul bagi mendatangkan bencana
Pasti tidak kan menimpa
Selain apa yang telah diputuskanNya

Dia Tuhanku
Yang ‘mendampingiku’ saban waktu
Mengetahui lubuk hatiku
Zahir dan batinku
Tiada yang lebih ku cinta selain Dia semata

Apa saja yang menimpa semuanya dariNya
Di dalam Kitab telah dituliskanNya
Aku hanyalah seorang hambaNya
Gerak diamku, hakikatnya dariNya jua

Ah engkau ! Mengapa berduka ?
Sedangkan dirimu masih dicintaiNya
Imanmu masih di dada
KalamNya masih di jiwa

Dunia ini tidak berharga
Selain apa yang disentuh api cintaNya
Selain Dia palsu belaka
Bagaimanakah jiwamu masih di sana


Tuhan,
Ku tahu Engkau Maha Cemburu
Tidak kan Kau biarkan dua cinta berpadu
Di dalam sekeping hati yang satu
Maafkan diriku
Yang pernah mencintai selain DiriMU...

Friday, November 13, 2009

PERKARA-PERKARA PELIK DI MASJID PADA HARI JUMAAT

Salaam.

Oleh kerana hari ini adalah hari Jumaat, maka saya berhasrat ingin mencoretkan sedikit berkenaan perkara-perkara yang biasanya berlaku di masjid yang mana perkara-perkara tersebut adalah ajaib jika diukur dengan neraca ilmiah, namun dianggap Sunnah (mungkin) oleh para jemaah.


Di sini saya hanya membawa beberapa contoh yang biasa terjadi, ( yang lain-lain mungkin boleh saya coretkan di lain kali ) lalu saya memberi sedikit komentar berdasarkan ilmu yang tidak seberapa ini. Mari sama-sama kita perhatikan.

1. Tabung derma akan diedarkan atau ada beberapa orang akan membawa uncang duit dan menggoncang-goncangkannya di hadapan orang ramai saf demi saf bagi memohon derma walhal khatib sedang berkhutbah! Namun yang lebih pelik lagi adalah ada dikalangan mereka itu terdiri daripada jawatankuasa masjid sendiri!

2. Beberapa orang masuk ke masjid ketika azan kedua dikumandangkan dan khatib sudahpun berada di atas mimbar, lalu mereka pun berdiri, menunggu azan tamat. Apabila bilal sudah berhenti, dan khatib sudah berdiri, mereka pun mula bergegas mengangkat takbir untuk mengerjakan solat sunat !

Anda akan menjumpai hal ini di mana-mana sahaja, bahkan di kalangan orang yang dikaitkan dengan jawatan-jawatan agama pun.  

Sepatutnya mereka bersolat walaupun ketika azan kedua tersebut, kerana menjawab azan itu hanya Sunat tetapi mendengar khutbah itu Wajib bagi yang hadir. Mungkin saja kewajipan itu sudah gugur kerana sudah ada 40 orang ahli jamaah yang mendengarnya, namun mendengar khutbah tetaplah LEBIH UTAMA berbanding menjawab azan.

Cuba anda tanyakan kepada mereka yang melakukan sebegini, pastinya mereka tidak punya jawapan selain mengikuti apa yang telah menjadi tradisi.

Namun yang lebih pelik lagi ialah jika seseorang masuk dan terus mengerjakan solat sunat tahiyyatul masjid ketika azan kedua berkumandang, maka para jemaah yang hadir akan memandang ‘semacam’ seolah-olahnya orang ini jahil dan tidak tahu hukum-hakam.

3. Apabila khatib duduk sebentar di antara dua khutbah, maka bilal akan mengalunkan selawat sedangkan waktu tersebut adalah waktu yang dianjurkan berdoa. Bukannya selawat itu yang salah, namun perbuatan berselawat dengan nyaringnya ketika itu yang dipertikaikan kerana ianya benar-benar mengganggu jemaah yang ingin berdoa.


Ada juga di sesetengah masjid yang bilalnya menggantikan selawat dengan doa, namun ini juga mengganggu kerana yang utamanya adalah membiarkan sahaja setiap orang sendiri-sendiri berdoa disebabkan bacaannya yang nyaring itu sesungguhnya mengganggu kekhusyukan orang lain yang sedang berdoa.

4. Apabila khatib sampai pada doa di dalam khutbah yang kedua, maka sekelian jemaah akan mengangkat tangan. Lebih parah lagi, di selatan tanahair, bilal mengaminkan dengan menggunakan mikrofon setelah sebelumnya bilal juga menyebut dengan nyaringnya Radhiyallahu anhu/anha/anhum ketika khatib menyebut nama-nama Sahabat dan Ummahatul Mukminin.


Jika anda tanyakan mengapa? Pasti tiada jawapan selain mengikuti tradisi semata. Mungkin juga ada yang berkata, memang disunatkan untuk mengangkat tangan ketika berdoa, lalu tanyakan kepadanya, "Apakah setiap keadaan yang kita berdoa, maka disunatkan kita mengangkat tangan padanya ?"

Lalu apakah ada di antara kita yang apabila ingin masuk ke dalam tandas atau ketika keluarnya juga , maka iapun mengangkat tangan dan berdoa ? 
Ataupun ketika ingin menaiki kenderaan, ia pun mengangkat tangan dan berdoa? 

Ataupun dalam keadaan-keadaan yang lain yang mana setiap keadaan itu mempunyai doa, seperti doa ketika berjalan ke masjid, doa ketika melihat anak bulan, doa ketika angin kencang dan seumpamanya, maka kita hanya cukup berdoa walaupun tidak mengangkat tangan padanya.

Ketahuilah, bahawa mengangkat tangan ketika berdoa itu ada waktu-waktu dan ketikanya. Bukannya asal saja namanya berdoa, maka tangan mesti diangkat padanya.

Seandainya mereka berkata: "Ini adalah kebaikan, apa salahnya?" 
Katakan kepadanya: "Antara kita dan para sahabat Nabi, manakah yang lebih bersegera dan tamak ingin melakukan kebaikan ?" 

Jawapannya tentulah para sahabat yang lebih bersegera. 

Maka saya katakan; "Seandainya ini adalah satu kebaikan pastilah mereka akan mendahului kita untuk melakukannya !"

"Ataukah anda menyangka kebaikan ini tersembunyi dari mereka (para sahabat), dan hanya anda yang menyedari kebaikan ini, lalu mereka tidak melakukan seperti yang dilakukan anda?" 


Haihata haihata (Jauhlah.. Alangkah jauhnya sangkaan itu..)

Sesungguhnya ibadah itu hendaklah dengan ilmu dan dalilnya, bukan semata-mata ikutan dan sangka-sangka. Dan bukan juga dengan ijtihad yang tidak cukup syarat-syaratnya.


BERSABARLAH...


Jika suatu hari nafsu membujukmu
Untuk melakukan sebuah kemaksiatan
Lalu ia menghiaskan kepadamu kemaksiatan itu
Sehingga menjadikan dirimu termakan pujuk rayunya
Tenangkan dirimu sebentar oh kawan !


Renungkan sekejap,
Seandainya aku melakukan ini
Lalu aku bertaubat dan kembali
Mungkin saja dosaku diampuni
Kerana Tuhanku sememangnya Maha Mengampuni
Namun kesan dosa ini bagaimana mungkin dapat dicuci


Bahkan seandainya aku mati
Dalam keadaanku sedang melakukan dosa ini
Bagaimanakah akibatnya diriku ini
Seandainya ku punya anak dan isteri
Selamanyalah kesan dosa itu kan menghantui


Renungkan lagi wahai diri!
Jika Tuhanmu memurkai
Dengan wajah yang manakah engkau kan menghadapi
Di hari Dia kan menanyaimu tentang dosa-dosa ini


Bayangkan lagi
Dengan wajah sebegini
Sanggupkah engkau menemui Sang Nabi
Yang telah bersusah payah mengorbankan diri
Mengenalkanmu Jalan Islami
Menolak dirimu dari disentuh api
Apakah budinya itu engkau lupai
Kasih sayangnya itu engkau tolak ke tepi
Dan peringatannya tidak engkau peduli ?


Ah, engkau !
Bersabarlah sekejap lagi
Kerana dunia hanyalah hitungan hari
Dan kematian itu datangnya pasti
Semoga syurga Firdausi bakal engkau jejaki..
Ameen…

Monday, November 2, 2009

SATU KELUHAN..

Tuhan,
Setiap orang berbicara tentang dirinya
maka di manakah orang yang berbicara 'tentangMu'?


Tuhan,
Setiap orang mengajak manusia kepada dirinya
maka di manakah mereka yang mengajak kepadaMu?