Tuesday, May 26, 2015

BEZA ILMU DAN MAKLUMAT - SIRI 3


Baik!
Barangkali ini siri terakhir tentang tajuk ini. Jadinya, aku ingin menulis ringkas. dan terus kepada tujuan.

Apa bezanya ilmu dan maklumat tu?
Hmm.. ilmu tu pelbagai takrifnya.. tapi tak apa, kita ambik salah satunya.

"Ilmu adalah pengetahuanmu tentang sesuatu, bertepatan dengan hakikatnya."

Engkau tahu mengenai sesuatu benda atau perkara, dan benda atau perkara itu memang hakikat dia tepat macam yang engkau ketahui.

Maknanya, kalau engkau ketahui sesuatu, tapi tak bertepatan langsung dengan hakikat dia, maka itu bukan ilmu. Itu salah paham, salah anggap, salah sangka, salah persepsi, syak, waham....

Tapi, oleh sebab engkau menyangka pengetahuanmu itu betul, maka engkau menganggap dianya sebagai ilmu, dan jadilah engkau syok sendiri. Sedangkan bila pengetahuanmu itu dihadapkan kepada ahli ilmu, maka ternyatalah salahnya.

Kalau engkau tahu erti rendah diri dan mengakui martabat ahli ilmu, maka engkau akan akur kepada kebenaran, dan rela menyalahkan dirimu sendiri, lalu menerima kebenaran pengetahuan ahli ilmu. Kerana ternyata bahawa, ilmu itu adalah pengetahuan yang dimiliki Sang ahli ilmu, sedangkan pengetahuanmu itu hanyalah omong kosong semata.

Sebaliknya, jika engkau seorang yang bongkak, dan menafikan kelebihan ahli ilmu, maka, engkau akan melihat pengetahuanmu -yang nyata salah tadi- sebagai ilmu, lantas engkau berkata; "Ah! Mereka itu manusia, aku juga manusia! Mereka itu lelaki, aku juga lelaki!"

Dengan takabburmu itu engkau menahan diri daripada menerima pembetulan daripada ahli ilmu, sebaliknya terus-terusan mendakwa pengetahuanmu yang salah itu sebagai ilmu.

Kasihan..

Aku boleh kalau nak berleter lagi, tapi tak apa.. biarlah dulu. Sebaiknya engkau fikirkan dalam-dalam apa yang aku tulis di atas itu dahulu. Lepas itu, nanti aku sambung berleter.. Itupun kalau engkau nak dengar laa.

Ok, takpa.. Oh, ya! Jadinya, maklumat tu apa pulak bezanya dengan ilmu?

Hmm.. mari aku ulang balik takrif ilmu yang kat atas tu.

"Ilmu adalah pengetahuanmu tentang sesuatu, bertepatan dengan hakikatnya."

Maklumat?

Maklumat adalah "sesuatu" di dalam takrif ilmu tadi tu..

Boleh?

Ok, habis.

 p/s: Ada jugak orang kata, ilmu tu hanya dikatakan ilmu apabila diamalkan. Kalau tak, maka dia sekadar maklumat.
Aku kata, ini tak tepat. Sebab, ada jugak ilmu yang berupa sekadar ilmu, dan tak memerlukan kepada amal. Wallahu a'lam.

Contohnya? Bagi contoh sikit!
Pikiaq la sendiri sama. Takkan semua nak kena suap kot!
Gelak.

***


Boleh klik link kat bawah ni kalau nak baca pasai pa entry ni dah sampai siri 3.

BEZA ILMU DAN MAKLUMAT - SIRI 1

BEZA ILMU DAN MAKLUMAT - SIRI 2


~alfindani~
Selasa. 26/05/2015.
09.57 pagi


Tuesday, March 17, 2015

Anakku.. (#3)


Anakku..

Kau harus tahu asal usulmu. Cerita tentang orang tuamu. Kisah tentang datuk nenekmu. Orang kita dulu-dulu kaya dengan cerita lisannya. Namun di situlah terletak kelemahannya. Kerana berpada dengan cerita lisan tanpa memeliharanya dalam bentuk tulisan akhirnya menyebabkannya hilang ditelan zaman. Pabila mati yang empunya cerita, segala cerita pun turut dikuburkan bersamanya. 

Kerana itu di sini aku ingin bercerita..

***

Dulu-dulu. Rumah kami tivi memang tak ada. Radio tu adalah sebiji. Pakai bateri Eveready, gambar kucing hitam kena karan. Kalau ada cerita yang syok sikit maka kami berbondong-bondong pergi berhimpun di rumah jiran-jiran yang ada tivi. Macam mana tivi nak ada kalau letrik pun tak ada. Tapi aku teringat dan pernah melihat, di rumah yang ada tivi mereka guna generator atau bateri kereta untuk menghidupkannya.

Kehidupan waktu itu cukup ringkas kalau nak dibandingkan dengan hari ini. Namun di sudut hati, aku lebih sukakan kehidupan sebegitu. Pakaian pun serba ringkas saja. Tidak seperti sekarang, dalam sehari berkali-kali bertukar kain baju.

Oleh kerana hanya berbekal pelita minyak tanah saja, dan minyak tanah juga perlu dijimatkan penggunaannya, jadi waktu malam sebaik saja selesai solat Isyak, jika tak ada sebarang kerja sekolah yang perlu diselesaikan, pelita dipadamkan dan kami semua terus tidur. Bab padam pelita pun boleh jadi satu perkara yang menyeronokkan dimana tidak jarang kami pakat berebut-rebut untuk menghembus apinya. 

Biasanya sebelum waktu maghrib kami sudah bersedia untuk berderet ke telaga yang agak jauh di belakang rumah. Setelah bersedia semuanya maka kami akan mengekori emak untuk ke telaga. Kalau suasana sudah agak gelap kami akan membawa tanglung. Jangan difahamkan tanglung ini seperti tanglung Cina itu, tapi tanglung ini berupa tin minyak masak empat segi kecil yang bertangkai plastik di bahagian atasnya ditebuk bentuk empat segi di salah satu sisinya lalu diletak pelita yang tidak berkaki di dalamnya. Pelita minyak tanah juga ada dua jenis, satu yang berkaki tinggi dan satu yang tidak berkaki. Sampai di telaga juga belum tentu boleh terus mandi kerana perlu menunggu giliran orang yang datang lebih awal.

Kadang-kadang hari ini terlintas juga di fikiranku bagaimana kehidupan yang begitu dapat dilalui dengan selamba yang mana jika hendak dilalui semula di waktu ini tentu akan terasa betapa sukarnya.

Jika kena musim kemarau mencedok air telaga memang sangat perit kerana air jauh ke bawah.  Kalau malas cukup tiga kali cedok dan simbah kepala siaplah mandinya. Tapi emakku seorang yang sangat rapi orangnya. Kalau mandi dengan emak mesti kena bersabun. Kaki tangan kami akan digosok menggunakan berus sabut. Kemudian disuruh duduk dan pusing belakang untuk diberus belakang badan pula. Begitulah pembersih dan rapinya emak. 

Kalau rumah pula hari-hari diberusnya lantai papan di ruangan dapur rumah sehingga papan tersebut menjadi putih warnanya dek setiap hari digosok. Di bawah dan halaman rumah pula semestinya disapu bersih sehingga tidak berjumpa sehelai daun jua pun. Zaman itu pencakar seperti yang biasa diguna kini belum lagi ada meluas digunakan. Hampir semua menggunakan penyapu halaman yang diperbuat daripada pokok pagar anak. Penyapu ni memang efektif. Hasilnya halaman rumah bersih sebersihnya. Hanya tinggal hamparan pasir lada saja.

Rumah kami pula rumah papan yang kecil.  Hanya ada sebuah bilik. Kemudian disekat di ruangan dekat dapur menjadi sebuah bilik lagi. Padaku rumah papan lebih bagus berbanding rumah bata atas tanah seperti sekarang. Rumah papan lebih bersih dan sejuk pula.

Ah, nantilah ayah cerita lagi..




Monday, March 9, 2015

JATIDIRI



Menulislah..
dengan caramu sendiri
tanpa perlu beriya-iya 
menjadi orang lain

Habis.


Friday, January 9, 2015

Eh, dah 2015?


Semoga 2015 ini pantas berlalu pergi..


p/s: Dunia blog makin sepi, manusia berduyun di twitter dan efbi, belum kira whatsapp, telegram dan entah apa lagi.. Biasa. Setiap kejadian ada kitar hayat tersendiri.. tanpa kecuali.


Sunday, November 16, 2014

CINTA DUNIA



Mereka berkata:

"Ceraikan dunia. Jadikan akhirat tujuan utama!"

Aku berkata:

"Tidak! Aku tidak akan menceraikannya!!"

Dunia... 
Bagaimana dapat aku menceraikannya...
Sedang aku...
 Tidak pernah terdetik untuk mengahwininya...




Friday, October 10, 2014

ULUM AL-HADITH : TERJEMAHAN MATAN BAYQUUNI



Kata guru saya meriwayatkan perkataan ulama:



من حفظ المتون نال الفنون

"Sesiapa menghafal matan kan menguasai pengetahuan"

Maka barangsiapa yang berhasrat berkenalan dengan Ulum Al-Hadith seeloknya ia berusaha menghafaz beberapa matan di dalam ilmu ini.

Sebagai permulaan bolehlah ia menghafaz matan yang ringkas bernama Matan Bayquuni. Ia berisi pengenalan beberapa daftar istilah utama dalam ilmu Mustolah Hadith yang tidak wajar seorang penuntut ilmu Syar'ie menjahilkan diri tentangnya.

Berikut ini saya mencuba terjemahkan secara terus Matan tersebut daripada hafalan dengan sedaya mungkin upaya mengekalkan gaya syairnya. Moga2 bermanfaat untuk diri saya pertamanya, dan untuk sesiapa yang bertandang keduanya.

Apa2 yang baik itu daripada Allah jua, kekhilafan dan salah itu daripada saya.

***



Terjemahan Matn Bayquuni


Ku mulakan dengan pujian sambil berselawat ; buat sebaik-baik Nabi yang diutuskan bernama Muhammad,

Inilah dia beberapa pembahagian hadith ; setiap satunya datang bersama istilah dan takrif,

Pertamanya SAHIH iaitulah yang bersambung ; isnadnya dan tidak syadz serta tidak cacat,

Rawinya adil, dhabit meriwayat daripada yang semisalnya ; lagi dapat dipercaya kedhabitan dan periwayatannya.

HASAN pula dikenal banyak jalan riwayatnya namun ; perawinya tidaklah masyhur seperti rawi sahih.

Dan setiap yang kurang daripada martabat Hasan ; maka itulah DHAIF yang banyak pula bahaginya.

Apa-apa yang disandarkan pada Nabi, itu MARFU’ ; jika pada Tabi’en itu pula MAQTU’.

MUSNAD itu isnadnya bertalian daripada ; rawinya hingga Yang Terpilih tanpa putusnya,

Dan setiap sama’ segala rawi yang bersambung ; isnadnya kepada Yang Terpilih maka itu MUTTASHIL.

MUSALSAL katakan setiap yang datang sama cirinya ; umpama “Ketahuilah! Demi Allah telah memberitahuku pemuda itu..”,

Begitu juga “Sungguh! Ia telah bicara kepadaku sambil berdiri” ; Atau setelah berkata “Haddatsani” seraya tersenyum.

‘AZIZ itu rawinya dua atau tiga ; MASYHUR pula rawinya lebih daripada tiga.

MU’AN’AN umpama kata rawi “‘an Saied, ‘an Karom” ; Manakala MUBHAM ada rawi tidak disebutkan.

Semua yang sikit rawinya itu ‘ALI ; lawan kepadanya itulah NAZIL namanya.

Apa saja engkau sandarkan kepada Sahabat ; tak kira ucapan atau perbuatan, MAWQUF lah ia dikatakan.

MURSAL pula gugur rawi Sahabat ; tentang GHARIB perawinya seorang saja,

Setiap yang tak kira apa keadaan tidak bersambung ; isnadnya, MUNQATHI’ nama gelarnya.

MU’DHAL yang gugur dua rawi ; MUDALLAS datang dengan dua jenis,

Pertamanya digugur syeikhnya serta ; diriwayat langkau ke atas dengan lafaz “Bahawasanya” dan “Daripada”.

Jenis kedua tidak digugur syeikh tapi disebut ciri ; syeikhnya dengan sifat yang tidak ma’ruf.

Apa yang seorang rawi tsiqah bercanggah dengan ramai tsiqah lainnya ; itu SYADZ, MAQLUB pula dua bahaginya,

Satunya tukar rawi dengan rawi lain ; kedua tukar isnad dengan bukan matan aslinya.

FARD kadang dikait dengan seorang rawi tsiqah, atau kumpulan atau menyendiri dengan satu riwayat.

Setiap yang memiliki cacat tersembunyi padanya ; gelar  MU’ALLAL dikenal di sisi mereka.

Yang bertentang isnad atau kadang pada matan ; bernama MUDHTARIB di sisi para ahli.

MUDRAJ dalam hadith terjadi ; bila sebahagian lafaz rawi bersama matan terangkum sekali.

Riwayat seorang dari sahabatnya ; namanya MUDABBAJ kenal dan ingatlah sentiasa.

MUTTAFIQ sama tulisan dan lafaznya ; jika tidak maka ia dipanggil MUFTARIQ.

MUKTALIF sama tulisan berbeza lafaznya ; lawannya MUKHTALIF hati-hati jangan terkecoh.

MUNKAR diriwayat seorang sahaja ; yang dengan bersendirinya tak ditanggap riwayatnya.

Dusta dan karut yang direka-reka ;  sandar pada Nabi MAUDHU' namanya,

Inilah umpama mutiara indah sekali ; ku namakan ia MANZHUMAH BAYQUUNI,

Terjalin dari empat puluh tiga bait tercatat ; kemudian puji bagi Allah sebagai penamat.

 ***

Terjemahan syi’ir oleh:

~alfindani~

01:17 pagi, 10/10/2014, Malam Jumaat.
من حفظ المتون نال الفنون

 p/s: Ini adalah terjemahan Matan sahaja. Dan setiap matan perlu kepada syarahnya. Cuma entry kali ini bukanlah tempatnya.



Monday, September 29, 2014

BELAS KASIH



Dosa demi dosa demi dosa..
Dan Dia masih lagi memberimu masa..



Wednesday, August 13, 2014

Sudah Lama Aku Tidak Menulis..


..Lalu kini aku cuba menyentuh papan kekunci. Kebuntuan memaku aku. Jari-jari berlari pada huruf demi huruf, merangkai kata. Sebentar kemudian memadam semula.

Fikiran menerawang entah ke mana-mana. Dan ia ku biarkan lepas bebas. Mengharap agar setelah beberapa ketika ia hinggap di mana-mana.. Kalau begitu mari saja kita ikuti terbangnya.

Dalam hidup engkau kan melalui fasa demi fasa. "Dan kamu benar-benar akan mendaki takah demi takah".

Dan jiwa demikian jua. Berbolak sentiasa. Saban masa. Dibolak-balik di celahan jari taqdir.

Sunday, July 13, 2014

KALAM BIJAKSANA



Orang berakal lagi bijaksana itu,
Dalam berkata-kata,
Mereka memilih perkataan2 yang terbaik, 
Merangkainya pada untaian yang paling sempurna,
Lalu melafazkannya pada suasana yang paling tepat, 
Menggunakan intonasi yang paling harmonis.

Dan tulisan itu wakil bagi lisan jua..