Friday, January 9, 2015
Eh, dah 2015?
Semoga 2015 ini pantas berlalu pergi..
p/s: Dunia blog makin sepi, manusia berduyun di twitter dan efbi, belum kira whatsapp, telegram dan entah apa lagi.. Biasa. Setiap kejadian ada kitar hayat tersendiri.. tanpa kecuali.
Sunday, November 16, 2014
CINTA DUNIA
Mereka berkata:
"Ceraikan dunia. Jadikan akhirat tujuan utama!"
Aku berkata:
"Tidak! Aku tidak akan menceraikannya!!"
Dunia...
Bagaimana dapat aku menceraikannya...
Sedang aku...
Tidak pernah terdetik untuk mengahwininya...
Tidak pernah terdetik untuk mengahwininya...
Friday, October 10, 2014
ULUM AL-HADITH : TERJEMAHAN MATAN BAYQUUNI
Kata guru saya meriwayatkan perkataan ulama:
من حفظ المتون نال الفنون
"Sesiapa menghafal matan kan menguasai pengetahuan"
Maka barangsiapa yang berhasrat berkenalan dengan Ulum Al-Hadith seeloknya ia berusaha menghafaz beberapa matan di dalam ilmu ini.
Sebagai permulaan bolehlah ia menghafaz matan yang ringkas bernama Matan Bayquuni. Ia berisi pengenalan beberapa daftar istilah utama dalam ilmu Mustolah Hadith yang tidak wajar seorang penuntut ilmu Syar'ie menjahilkan diri tentangnya.
Berikut ini saya mencuba terjemahkan secara terus Matan tersebut daripada hafalan dengan sedaya mungkin upaya mengekalkan gaya syairnya. Moga2 bermanfaat untuk diri saya pertamanya, dan untuk sesiapa yang bertandang keduanya.
Apa2 yang baik itu daripada Allah jua, kekhilafan dan salah itu daripada saya.
***
Terjemahan Matn
Bayquuni
Ku mulakan dengan pujian sambil berselawat ; buat sebaik-baik Nabi yang diutuskan bernama Muhammad,
Inilah dia beberapa pembahagian hadith ; setiap satunya
datang bersama istilah dan takrif,
Pertamanya SAHIH iaitulah yang bersambung ; isnadnya dan
tidak syadz serta tidak cacat,
Rawinya adil, dhabit meriwayat daripada yang semisalnya ;
lagi dapat dipercaya kedhabitan dan periwayatannya.
HASAN pula dikenal banyak jalan riwayatnya namun ; perawinya
tidaklah masyhur seperti rawi sahih.
Dan setiap yang kurang daripada martabat Hasan ; maka itulah
DHAIF yang banyak pula bahaginya.
Apa-apa yang disandarkan pada Nabi, itu MARFU’ ; jika pada
Tabi’en itu pula MAQTU’.
MUSNAD itu isnadnya bertalian daripada ; rawinya hingga Yang
Terpilih tanpa putusnya,
Dan setiap sama’ segala rawi yang bersambung ; isnadnya
kepada Yang Terpilih maka itu MUTTASHIL.
MUSALSAL katakan setiap yang datang sama cirinya ; umpama
“Ketahuilah! Demi Allah telah memberitahuku pemuda itu..”,
Begitu juga “Sungguh! Ia telah bicara kepadaku sambil
berdiri” ; Atau setelah berkata “Haddatsani” seraya tersenyum.
‘AZIZ itu rawinya dua atau tiga ; MASYHUR pula rawinya lebih
daripada tiga.
MU’AN’AN umpama kata rawi “‘an Saied, ‘an Karom” ; Manakala
MUBHAM ada rawi tidak disebutkan.
Semua yang sikit rawinya itu ‘ALI ; lawan kepadanya itulah
NAZIL namanya.
Apa saja engkau sandarkan kepada Sahabat ; tak kira ucapan
atau perbuatan, MAWQUF lah ia dikatakan.
MURSAL pula gugur rawi Sahabat ; tentang GHARIB perawinya
seorang saja,
Setiap yang tak kira apa keadaan tidak bersambung ; isnadnya,
MUNQATHI’ nama gelarnya.
MU’DHAL yang gugur dua rawi ; MUDALLAS datang dengan dua
jenis,
Pertamanya digugur syeikhnya serta ; diriwayat langkau ke
atas dengan lafaz “Bahawasanya” dan “Daripada”.
Jenis kedua tidak digugur syeikh tapi disebut ciri ; syeikhnya
dengan sifat yang tidak ma’ruf.
Apa yang seorang rawi tsiqah bercanggah dengan ramai tsiqah
lainnya ; itu SYADZ, MAQLUB pula dua bahaginya,
Satunya tukar rawi dengan rawi lain ; kedua tukar isnad
dengan bukan matan aslinya.
FARD kadang dikait dengan seorang rawi tsiqah, atau kumpulan
atau menyendiri dengan satu riwayat.
Setiap yang memiliki cacat tersembunyi padanya ; gelar MU’ALLAL dikenal di sisi mereka.
Yang bertentang isnad atau kadang pada matan ; bernama MUDHTARIB
di sisi para ahli.
MUDRAJ dalam hadith terjadi ; bila sebahagian lafaz rawi bersama
matan terangkum sekali.
Riwayat seorang dari sahabatnya ; namanya MUDABBAJ kenal dan
ingatlah sentiasa.
MUTTAFIQ sama tulisan dan lafaznya ; jika tidak maka ia
dipanggil MUFTARIQ.
MUKTALIF sama tulisan berbeza lafaznya ; lawannya MUKHTALIF
hati-hati jangan terkecoh.
MUNKAR diriwayat seorang sahaja ; yang dengan bersendirinya tak
ditanggap riwayatnya.
Dusta dan karut yang direka-reka ; sandar pada Nabi MAUDHU' namanya,
Inilah umpama mutiara indah sekali ; ku namakan ia MANZHUMAH
BAYQUUNI,
Terjalin dari empat puluh tiga bait tercatat ; kemudian puji
bagi Allah sebagai penamat.
***
Terjemahan syi’ir oleh:
~alfindani~
01:17 pagi, 10/10/2014, Malam Jumaat.
من حفظ المتون نال الفنون
p/s: Ini adalah terjemahan Matan sahaja. Dan setiap matan perlu kepada syarahnya. Cuma entry kali ini bukanlah tempatnya.
Monday, September 29, 2014
Wednesday, August 13, 2014
Sudah Lama Aku Tidak Menulis..
..Lalu kini aku cuba menyentuh papan kekunci. Kebuntuan memaku aku. Jari-jari berlari pada huruf demi huruf, merangkai kata. Sebentar kemudian memadam semula.
Fikiran menerawang entah ke mana-mana. Dan ia ku biarkan lepas bebas. Mengharap agar setelah beberapa ketika ia hinggap di mana-mana.. Kalau begitu mari saja kita ikuti terbangnya.
Dalam hidup engkau kan melalui fasa demi fasa. "Dan kamu benar-benar akan mendaki takah demi takah".
Dan jiwa demikian jua. Berbolak sentiasa. Saban masa. Dibolak-balik di celahan jari taqdir.
Sunday, July 13, 2014
KALAM BIJAKSANA
Orang berakal lagi bijaksana itu,
Dalam berkata-kata,
Mereka memilih perkataan2 yang terbaik,
Merangkainya pada untaian yang paling sempurna,
Lalu melafazkannya pada suasana yang paling tepat,
Menggunakan intonasi yang paling harmonis.
Dan tulisan itu wakil bagi lisan jua..
Monday, June 23, 2014
BINGKAS!
Waktu demi waktu berlari meninggalkan,
Dan engkaulah yang tetap tertinggal,
Dikurung sangkar kenangan.
Jika engkau miliki himmah seorang lelaki,
Segera bangun berdiri,
Pecahkan jeriji-jeriji sangkar ini!
Loloskan diri!
Masa yang sedang berlari, saingi!
Dunia hanyalah sarab yang menipu,
Harapan palsu sang musafir tertipu.
DEMAM..
Sekali-sekala di sela-sela waktu,
Wajah itu kembali mengintai memori,
Bersama manis senyumnya,
Dan bundar bercahaya bebola matanya,
Mengheretku ke fantasia masa silam,
Yang berkurun cuba ku lenyapkan,
Namun masih kukuh terbenam,
Jauh di dasar kalbu terdalam,
Kerana... siapakah yang mampu melupakan..?
Sunday, May 11, 2014
HUJAN MALAM
Malam..Gelap pekat..
Di luar hujan kian melebat. Titis-titisnya menyerbu bertimpa-timpa pada bumbung rumah menghasilkan irama membingit yang menyatu dengan kerasnya deru angin..
Sering saja pabila hujan merobek malam, hati tiada tenteram.
Ketakutan.. Resah jika azab Tuhan turun bersamaan..
Dan hujan malam sering mengingatkan kepada KeMaha KuasaanNya..
Hujan malam mengingatkan pada kengerian kubur..
Hujan malam mengingatkan pada kedahsyatan mahsyar..
Dan malam tadi,
ketika hujan membadai lagi,
daku tiba-tiba menjadi teringat,
kepada arwah abangku yang telah lama pergi..
Mengingatkan kesendiriannya..
Mengingatkan kegelapan kubur..
Mengingatkan betapa simbahan hujan menimpa tanah itu,
lalu meresap ke bawah, ke dalam tanah,
di mana terbaring kaku jasad itu..
Dan aku tidak mampu membayangkan lagi..
Sedang hujan di luar sana masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu reda,
Aku diselimuti ingatan, mengingat pada kesendiriannya,
berselang-seli paparan-paparan kegembiraan kami bersama,
ketika kami masih bergelar kanak-kanak dan remaja,
dan titis-titis hujan yang melaju tidak mampu menyaingi lajunya derai airmataku..
~alfindani~
12.29 pagi. 11/05/2014
Subscribe to:
Posts (Atom)