Tuesday, October 18, 2011

HAKIKAT

Cinta kan menjemput luka,
rindu kan menghampar nestapa,
seandai keduanya pada yang fana..

DALAM RENUNGAN

Dalam renungan,
 aku kembali terbayang wajahmu.

Dalam renungan,
aku kembali disengat hangat cintamu.

Dalam renungan,
dan kita tak mungkin kembali bersatu.

MEMBAJAK HATI


Membajak hati,
kerana kemaraunya lama sekali.

Hujan ma'rifah belum mengguyur,
dan bumi hatiku kontang.

Benih kebaikan di semaian,
menunggu masa dialihkan.

KENANGAN YANG TERSIMPAN

Mengingati dirimu,
kadangkala aku sendu.

Mengingati senyummu,
membangkitkan rindu.

Mengingati sendamu,
bikin aku terharu.

Namun semua itu,
hanya kenangan yang berlalu...

DALAM HATIMU

Dalam hatimu,
masih banyak debu.

Dalam hatimu,
masih kesat dan membatu.

Dalam hatimu,
masih gelap tanpa lampu.

Dalam hatimu,
masih tiada cinta Yang Satu.

Dalam hatimu,
masih bersarang cinta semu.

Dalam hatimu,
masih gemuruh amukan nafsu.

Dalam hatimu,
Oh Fulan! Kendalikan hatimu!

Wednesday, October 12, 2011

MALAYSIANA

Salaam.

"Kita adalah apa yang kita makan". 
"Kita adalah apa yang kita baca".

Mungkin bagi kebanyakan kita, dua ungkapan di atas sudah mesra di telinga. Memang begitulah realitinya pun. Apa yang kita makan, itulah kita. Ianya jika hendak di ulas, boleh dikupas panjang lebar melalui sudut pandang yang berbeza-beza.

Namun, untuk kali ini, saya berminat kepada ungkapan yang kedua itu. Melihat kepada masyarakat kita (baca: Melayu), ia menyingkap akan benarnya ungkapan ini.

Mari kita lakukan sedikit kajian kes.
Cuba anda beli suratkhabar berbahasa Melayu dan suratkhabar berbahasa Inggeris dalam masa seminggu. Kemudian anda perhatikan bagaimanakah corak pengisian kandungan kedua-dua jenis suratkhabar tersebut.

Anda akan dapati suratkhabar berbahasa Melayu (yang sudah tentu pembacanya orang Melayu) sarat dengan berita-berita sensasi dan hiburan (saya ingin menggunakan perkataan "sampah" sebenarnya), manakala suratkhabar jenis yang lagi satu dipenuhi rencana-rencana bermaklumat, berita-berita dan ulasan-ulasan ekonomi dan bisnes, rencana berkaitan teknologi, ruangan belajar bahasa Inggeris agar lebih bagus, iklan-iklan pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara, serta iklan-iklan tawaran biasiswa pengajian tinggi yang anda tidak akan jumpa SAMASEKALI di dalam suratkhabar berbahasa Melayu.

Apa yang ada di dalam suratkhabar berbahasa Melayu?

Cerita politik memualkan, iklan kopi "tenaga", iklan ubat "kuat", iklan 4D, iklan pinjaman wang ber"lesen" dan 1001 macam gossip artis, cerita kucing belaan artis hilang, artis pegang anjing, artis A gaduh dengan artis B dsb. Tak cukup dengan artis dalam negara, ada ruangan artis Korea, Indonesia, Bollywood, Hollywood, Greenwood dan apa-apa Wood lagi.

Itu baru cerita suratkhabar. Belum lagi siaran TV, majalah hiburan dan tahyul yang berlambak-lambak, siaran radio yang "ntahapahapantah" (kredit : XPDC), dan bermacam lagi.

Maka masyarakat kita menjadi masyarakat yang ....

Anda sendiri dapat menyambung ulasan ini saya kira..

***
Note: "Na" dalam tajuk di atas adalah seperti gantinama "Kami/Kita" di dalam Bahasa Arab. Agaknya boleh dimasukkan di dalam Kamus Dewan.. :)

Tuesday, October 11, 2011

MARI MENGHAFAL AL QURAN! - #1

( Jika anda ingin terus kepada cara2 praktikal menghafal sila klik di SINI )


Salaam.
Untuk entry dengan tajuk ini, saya akan menterjemahkan bahagian-bahagian terpilih sebuah e-book tulisan asal berbahasa Inggeris oleh Abduldaem Al-Kaheel bertajuk "Innovative Way to Memorize The Quran". Ia adalah sebuah tulisan yang cukup menarik saya kira, kerana itu saya berhasrat menterjemahkannya sedikit-sedikit di sini, insyaAllah.

Berkenaan pengarang, anda boleh mengenali beliau melalui websitenya di sini. Juga terdapat banyak lagi tulisan beliau yang menarik di sana.

Sekarang kita terus kepada terjemahan buku tersebut.


p/s: Artikel ini dan seumpamanya bukanlah berhasrat menggesa semua orang meninggalkan pekerjaan masing-masing untuk duduk 3,4 tahun bagi menghafal Al Quran. Tetapi, sebagai umat Islam yang Al Quran ini memang diturunkan untuk kita, maka sewajarnyalah mengambil sekurang-kurangnya sedikit masa membaca, menghafal, mempelajari terjemahan dan tafsiran, mengkaji dan merenung Mukjizat Terbesar Nabi kita SAW ini. Nabi SAW sendiri menghafal Al Quran lebih kurang 23 tahun..

***

CARA INOVATIF BAGAIMANA MENGHAFAL AL-QURAN.

Ada beberapa soalan yang perlu anda jawab sebelum anda mula menghafal Al Quran agar dengan itu projek anda akan berhasil dengan izin Allah. Setiap orang memiliki projek sendiri di dalam kehidupan ini, namun pekerjaan terbaik adalah menghafal Kitab Allah Yang Maha Besar- Al Quran.


PROJEK UNTUK DUNIA DAN AKHIRAT

Buat permulaan, anda mestilah merancang dengan baik untuk melaksanakan projek ini yang akan merubah hidup anda secara total sepertimana ia telah merubah hidup mereka yang telah menghafal Al Quran sebelum anda.

Perancangan yang sempurna memerlukan anda mengkaji hal ini dengan baik, mengkaji faedah dan natijahnya serta mengkaji cara terpantas atau terpendek bagi menjayakannya. Tanpa perancangan itu, projek ini akan menjadi tidak produktif, dan inilah sebabnya mengapa ramai orang yang cuba menghafal Al Quran berdepan dengan kegagalan.


MENGAPA SAYA MENGHAFAL AL QURAN?

Soalan ini patut anda ajukan kepada diri anda, dan anda sepatutnya mempunyai jawapan yang jelas  di dalam fikiran anda tentang mengapa seseorang patut menghafal Al Quran?

Apabila keuntungan daripada pekerjaan ini lebih banyak, maka keupayaan anda bagi menyelesaikan tugas ini akan menjadi lebih tinggi dan anda akan dengan mudah mencapai sasaran anda.

Nah! Sekarang, apakah faedah/keuntungannya menghafal Al Quran?



KEUNTUNGAN DARIPADA MENGHAFAL AL QURAN

  • Oleh kerana Al Quran adalah Kalam Allah Yang Maha Agung, maka apabila anda menghafalnya ia adalah perkara terbaik yang pernah anda lakukan! Menghafal Al Quran akan membuka pintu kebaikan yang banyak untuk anda.

  • .Menghafal Al Quran bermakna anda akan memperolehi 10 ganjaran kebaikan bagi setiap hurufnya. Jika anda tahu, -sebagai contohnya- bahawa bilangan huruf di dalam surah yang terpendek di dalam Al Quran iaitu Surah Al Kautsar adalah 42 huruf.

Surah ini boleh dibaca  dalam masa hanya beberapa saat, yang bermakna setiap kali anda membacanya, akaun (simpanan pahala) anda di sisi Allah akan meningkat kepada 420 ganjaran kebaikan; yang mana setiap kebaikan itu lebih bernilai berbanding dunia ini dan seluruh isinya!!

Cuba fikirkan berapa banyak ganjaran pahala yang akan anda perolehi apabila membaca keseluruhan Al Quran yang mengandungi lebih 300 000 huruf!!

  • Al Quran mengandungi seluruh pengetahuan  berkenaan dunia ini dan akhirat nanti. Kisah-kisah mengenai orang yang terdahulu dan mereka yang telah berjaya.
Ia juga menghimpunkan pengetahuan saintifik, cakerawala, perundangan, fakta-fakta perubatan serta juga mengandungi sumber-sumber, undang-undang dan tatacara yang mengawal selia kehidupan seorang yang beriman dan menjadikan kehidupannya lebih ceria.

    Ini bermakna, apabila anda menghafal Al Quran, anda sebenarnya menghafal sebuah ensiklopedia yang terbesar!

    • Al Quran ini, yang anda menghafal dan menjaganya hari ini, akan menjadi peneman anda di alam barzakh nanti! Ia akan menjadi pembela dan peguambela anda pada hari di mana anda tidak dihiraukan sekalipun oleh kerabat terdekat anda.
    Rasulullah SAW bersabda: 
    “Bacalah Al Quran kerana ia akan datang sebagai pembela bagi pembacanya di Hari Pengadilan”.

    Apakah ada di sana suatu saat yang paling indah di mana anda datang pada hari kiamat dan anda dalam keadaan menghafal KalamNya..
    • Apabila anda menghafal Al Quran, keupayaan mengungkapkan sesuatu akan menjadi lebih kuat lagi disebabkan Bahasa Arab klasik (yang asli dan sejati) yang anda perolehi daripada Al Quran. 

    Anda akan memiliki lebih kemampuan dalam menguruskan sesuatu, teguh hati dan sabar kerana menghafal Al Quran bukanlah sebagaimana mengingat puisi, cerita atau lagu.

    Walaubagaimanapun, ketika anda menghafal Al Quran, hakikatnya anda sedang mengubah sikap anda dalam menghadapi sesuatu di sekitar anda, dengan itu sikap anda akan berubah mengikut apa yang anda hafal.

    • Ummul Mukminin ‘Aishah Radhiyallau ‘anha pernah ditanya tentang akhlak Nabi SAW. Lalu beliau menjawab: “Akhlak Baginda adalah Al Quran”. Jadi, jika anda inginkan akhlak anda seperti akhlak Nabi SAW, maka anda harus menghafal Al Quran.

    • Al Quran adalah penyembuh bagi penyakit jasmani dan rohani. Jika dengan membaca Al Fatihah saja sudah cukup untuk menyembuhkan seorang yang sakit dengan izin Allah, maka bayangkanlah seorang yang menghafal keseluruhan Al Quran?

    Anda akan Berjaya membebaskan diri daripada bisikan-bisikan jahat/syaitan; system imuniti badan anda akan bertambah dengan bertambahnya perubahan yang anda alami apabila menghafal Al Quran.

    Ini bukanlah sekadar cakap-cakap berupa teori semata-mata, namun sudah disaksikan sendiri oleh mereka yang menghafal seluruh Al Quran atau sebahagian daripadanya.

    • Apabila anda telah memutuskan untuk menghafal Al Quran, anda tidak akan punya masa terluang yang sia-sia, kebosanan, risau atau takut. Al Quran akan menghapuskan semua kebimbangan, ketakutan dan segala beban masa lalu. Anda akan seolah-olah baru dilahirkan semula!

    Walaupun demikian, apakah yang menghalang kita daripada menghafal Al Quran di dalam dada-dada kita? Mengapakah ramai yang cuba menghafal Kitab Allah namun mereka tidak dapat menghafalnya?

    Sebab berikut ini adalah yang saya fikirkan sebagai sebab terbesar yang patut kita atasi. Apakah sebab tersebut?

     ( JIKA ANDA INGIN MENGETAHUI CARA2 MEGHAFAL, ELOK TERUS KLIK DI SINI )
    Bersambung..

    Friday, October 7, 2011

    BAGAIMANA MENGHAFAL AL-QURAN - END

    Di kesempatan ini aku akan cuba menulis secara point yang ringkas tentang cara-cara yang boleh dipraktikkan bagi sesiapa yang ingin menghafal Al-Quran.


    1. Kena ada niat yang betul. Jika belum dapat niat yang betul pun tak apa. Hafal dan belajar dahulu, pelan-pelan niat baik akan  terhasil dengan semakin bertambahnya ilmu, insyaAllah.

    2. Sediakan satu Mushaf khusus. Jangan tukar-tukar mushaf sampailah khatam atau sampai bila-bila.

    3. Tentukan had untuk anda menghafal, berapa banyak. Contohnya 1 helai, 1 mukasurat, 1/2 muka, 3 ayat etc.. Saya berpendapat 3 ayat adalah kadar minimum bagi ayat-ayat yang sederhana panjang.

    4. Cari waktu yang sesuai untuk menghafal. Lepas maghrib dan sebelum Subuh adalah paling bagus. Lepas Subuh dan lepas Isyak pun ok.

    5. Jika sudah ditentukan berapa ayat yang ingin dihafal, sekarang ambil Mushaf dan duduk mengadap Qiblat dalam keadaan berwudhuk. Ambil contoh anda sudah menentukan untuk menghafal 1 muka.

    6. Ambil terjemahan Al-Quran dan baca serta fahami makna ayat-ayat yang ada di dalam 1 muka itu SAHAJA.

    7. Buka mushaf dan mula membaca 1 mukasurat yang ditentukan itu. Jangan lihat muka sebelum dan selepasnya.

    8. Kosongkan fikiran dari apa sahaja yang tidak bersangkutan dan FOKUS!

    9. Baca sambil melihat Mushaf sampai lancar berulangkali 1 m/s itu dengan tanpa kesalahan tajwid. Mulakan membaca tartil kemudian lajukan bacaan tanpa salah.

    10. Teruskan membaca sehingga lancar di lidah walaupun anda melihat Mushaf sekali-sekala saja. Ingat! Anda belum menghafal lagi dan JANGAN menghafal lagi sekalipun anda sudah rasa seperti sudah dapat mengingat.

    11. Semasa membaca sangat elok jika anda duduk di atas telapak kaki kiri dan menegakkan betis kanan sambil menggoyang badan ke hadapan dan belakang berulang-kali. Ini akan membantu untuk mudah menghafal dan menjadikan bacaan anda berirama secara semulajadi.

    12. Sambil membaca pastikan anda 'scan' mukasurat tersebut sehingga jelas seolah terbayang di hadapan mata mukasurat itu dengan kedudukan ayatnya, tanda-tanda yang terdapat di mukasurat itu dan lain-lainnya sekalipun anda memandang ke arah dinding ketika membaca.

    13. Jika bacaan anda sudah lancar di lidah dan anda sudah berjaya melakukan scanning mukasurat itu maka anda kini BARU akan MULA menghafal.

    14. Caranya ialah dengan menghafal 1 ayat demi satu ayat sehingga habis m/s itu. Anda mulakan dengan ayat yang pertama. Baca dengan LAJU berulangkali sambil melihat dan scan ayat itu SAHAJA. Kemudian tutup Mushaf atau pandang ke arah lain tanpa melihat mushaf dan ulang lagi ayat itu dengan laju berulangkali.

    15. Sekiranya sudah dapat, anda bergerak pula kepada ayat ke dua di m/s itu. Lakukan seperti ayat pertama tadi. Kini anda sudah dapat ayat yang kedua, katakanlah. Apakah anda ingin terus ke ayat yang ketiga? Sabar dulu!

    16. Sebelum anda bergerak menghafal ayat ke 3, ulang semula ayat 1 dan 2 dengan lancar tanpa melihat dan tanpa sangkut. Jika sangkut, ulang lagi sehingga benar-benar lancar dan tidak sangkut.

    17. Kemudian barulah anda menghafal ayat ke 3. Sebelum berpindah kepada ayat ke 4, ulang semula ayat 1-3, dan begitulah prosesnya sehingga selesai 1 m/s.

    18. Bila selesai 1 m/s, ulang semua 1 m/s itu berulangkali tanpa melihat. Anda boleh melihat sekali imbas sekali-sekala jika masih ada sangkut yang sedikit.

    19. Terus cari kawan anda atau sesiapa yang BAIK BACAANnya dan tasmi' (perdengarkan) hafalan anda.

    20. Seeloknya tasmi' kepada DUA orang kawan anda dulu sebelum tasmi' kepada guru.

    21. Nah! Sekarang semua orang boleh menghafal Quran, insyaALLAH.
    ***

    #1: Jangan gopoh semasa membaca, menghafal atau tasmi'. Ia akan menambahkan kesalahan dan sangkut.

    #2: Rajin-rajinkan diri mendengar bacaan seperti Imam-Imam Masjidil Haram etc.

    #3: Jangan fikir mustahil, lambat dan fikiran negatif yang lain. Syaitan memang taknak kita hafal Quran.

    #4: Sikit-sikit lama-lama 30 juz lah. Sama macam kita makan sehari-hari. Kalau kita kumpulkan makan pagi, makan tgh hari dan makan malam untuk kita makan semuanya pada waktu malam, memang tak terdaya walaupun kuantitinya sama. Tapi disebabkan kita makan sikit-sikit, kita mampu, bahkan siap bertambah pinggan lagi. ;)

    #5: Cara di atas adalah pengalaman peribadi. Lain orang lain caranya. Tapi mungkin berguna untuk anda.

    #6: Saya biasanya melihat terjemahan dan tafsir selepas solat Asar. Membaca sehingga lancar dan scanning m/s. Kemudian hafal, dapat had yang ditentukan terus tutup Mushaf. Nanti lepas solat Maghrib baru perkemaskan semula hafalan lepas Asar tadi. Tasmi' kepada kawan dan esok pagi tasmi' kepada ustaz seboleh-bolehnya paling awal. Selagi belum ditasmi' kepada ustaz, akan rasa seperti ada beban yang berat. Lepas saja tasmi' terus rasa lapang dan syukur.

    #Jika ada manfaat kepada anda, doakan saya. :) wslm

    Sunday, October 2, 2011

    TULISLAH YANG BAIK....

    Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: 
    "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam sahaja".

    Sama juga jika engkau mempunyai yang baik untuk ditulis, maka tulislah. Namun, jika sebaliknya, rehatkan jemarimu daripada papan kekunci, lalu membaca dan berfikirlah.

    Jangan engkau menjadi seperti segolongan manusia yang dikuasai nafsu ingin menulis dan mengulas apa sahaja, sehingga jika tiada lagi berita maka ditulisnya pula gossip dan prasangka dusta.

    Apakah engkau rela untuk datang di hari akhirat membawa pahala amal yang hebat-hebat, lalu setiap orang yang engkau bicarakan dan umpat mendatangimu dan mengikis habis semua pahala itu. 

    Kemudian tatkala sudah habis pahalamu lantas ditanggungkan pula ke pundakmu segala dosa mereka sebelum engkau dicampakkan ke jurang neraka. 
    Kita memohon kepada Allah keselamatan dari hal itu.