Friday, October 7, 2011

BAGAIMANA MENGHAFAL AL-QURAN - END

Di kesempatan ini aku akan cuba menulis secara point yang ringkas tentang cara-cara yang boleh dipraktikkan bagi sesiapa yang ingin menghafal Al-Quran.


1. Kena ada niat yang betul. Jika belum dapat niat yang betul pun tak apa. Hafal dan belajar dahulu, pelan-pelan niat baik akan  terhasil dengan semakin bertambahnya ilmu, insyaAllah.

2. Sediakan satu Mushaf khusus. Jangan tukar-tukar mushaf sampailah khatam atau sampai bila-bila.

3. Tentukan had untuk anda menghafal, berapa banyak. Contohnya 1 helai, 1 mukasurat, 1/2 muka, 3 ayat etc.. Saya berpendapat 3 ayat adalah kadar minimum bagi ayat-ayat yang sederhana panjang.

4. Cari waktu yang sesuai untuk menghafal. Lepas maghrib dan sebelum Subuh adalah paling bagus. Lepas Subuh dan lepas Isyak pun ok.

5. Jika sudah ditentukan berapa ayat yang ingin dihafal, sekarang ambil Mushaf dan duduk mengadap Qiblat dalam keadaan berwudhuk. Ambil contoh anda sudah menentukan untuk menghafal 1 muka.

6. Ambil terjemahan Al-Quran dan baca serta fahami makna ayat-ayat yang ada di dalam 1 muka itu SAHAJA.

7. Buka mushaf dan mula membaca 1 mukasurat yang ditentukan itu. Jangan lihat muka sebelum dan selepasnya.

8. Kosongkan fikiran dari apa sahaja yang tidak bersangkutan dan FOKUS!

9. Baca sambil melihat Mushaf sampai lancar berulangkali 1 m/s itu dengan tanpa kesalahan tajwid. Mulakan membaca tartil kemudian lajukan bacaan tanpa salah.

10. Teruskan membaca sehingga lancar di lidah walaupun anda melihat Mushaf sekali-sekala saja. Ingat! Anda belum menghafal lagi dan JANGAN menghafal lagi sekalipun anda sudah rasa seperti sudah dapat mengingat.

11. Semasa membaca sangat elok jika anda duduk di atas telapak kaki kiri dan menegakkan betis kanan sambil menggoyang badan ke hadapan dan belakang berulang-kali. Ini akan membantu untuk mudah menghafal dan menjadikan bacaan anda berirama secara semulajadi.

12. Sambil membaca pastikan anda 'scan' mukasurat tersebut sehingga jelas seolah terbayang di hadapan mata mukasurat itu dengan kedudukan ayatnya, tanda-tanda yang terdapat di mukasurat itu dan lain-lainnya sekalipun anda memandang ke arah dinding ketika membaca.

13. Jika bacaan anda sudah lancar di lidah dan anda sudah berjaya melakukan scanning mukasurat itu maka anda kini BARU akan MULA menghafal.

14. Caranya ialah dengan menghafal 1 ayat demi satu ayat sehingga habis m/s itu. Anda mulakan dengan ayat yang pertama. Baca dengan LAJU berulangkali sambil melihat dan scan ayat itu SAHAJA. Kemudian tutup Mushaf atau pandang ke arah lain tanpa melihat mushaf dan ulang lagi ayat itu dengan laju berulangkali.

15. Sekiranya sudah dapat, anda bergerak pula kepada ayat ke dua di m/s itu. Lakukan seperti ayat pertama tadi. Kini anda sudah dapat ayat yang kedua, katakanlah. Apakah anda ingin terus ke ayat yang ketiga? Sabar dulu!

16. Sebelum anda bergerak menghafal ayat ke 3, ulang semula ayat 1 dan 2 dengan lancar tanpa melihat dan tanpa sangkut. Jika sangkut, ulang lagi sehingga benar-benar lancar dan tidak sangkut.

17. Kemudian barulah anda menghafal ayat ke 3. Sebelum berpindah kepada ayat ke 4, ulang semula ayat 1-3, dan begitulah prosesnya sehingga selesai 1 m/s.

18. Bila selesai 1 m/s, ulang semua 1 m/s itu berulangkali tanpa melihat. Anda boleh melihat sekali imbas sekali-sekala jika masih ada sangkut yang sedikit.

19. Terus cari kawan anda atau sesiapa yang BAIK BACAANnya dan tasmi' (perdengarkan) hafalan anda.

20. Seeloknya tasmi' kepada DUA orang kawan anda dulu sebelum tasmi' kepada guru.

21. Nah! Sekarang semua orang boleh menghafal Quran, insyaALLAH.
***

#1: Jangan gopoh semasa membaca, menghafal atau tasmi'. Ia akan menambahkan kesalahan dan sangkut.

#2: Rajin-rajinkan diri mendengar bacaan seperti Imam-Imam Masjidil Haram etc.

#3: Jangan fikir mustahil, lambat dan fikiran negatif yang lain. Syaitan memang taknak kita hafal Quran.

#4: Sikit-sikit lama-lama 30 juz lah. Sama macam kita makan sehari-hari. Kalau kita kumpulkan makan pagi, makan tgh hari dan makan malam untuk kita makan semuanya pada waktu malam, memang tak terdaya walaupun kuantitinya sama. Tapi disebabkan kita makan sikit-sikit, kita mampu, bahkan siap bertambah pinggan lagi. ;)

#5: Cara di atas adalah pengalaman peribadi. Lain orang lain caranya. Tapi mungkin berguna untuk anda.

#6: Saya biasanya melihat terjemahan dan tafsir selepas solat Asar. Membaca sehingga lancar dan scanning m/s. Kemudian hafal, dapat had yang ditentukan terus tutup Mushaf. Nanti lepas solat Maghrib baru perkemaskan semula hafalan lepas Asar tadi. Tasmi' kepada kawan dan esok pagi tasmi' kepada ustaz seboleh-bolehnya paling awal. Selagi belum ditasmi' kepada ustaz, akan rasa seperti ada beban yang berat. Lepas saja tasmi' terus rasa lapang dan syukur.

#Jika ada manfaat kepada anda, doakan saya. :) wslm

2 comments:

Unknown said...

assalamualaikum...
syukran atas tips alfindani...
in shaa allah... ana akan cuba buat... semoga anta akan slalu dirahmati allah... in shaa allah :)

alfindani said...

wa'alaikumussalam warahmatuLLAH.

afwan. ameen. :)

jzkk ats kunjungan.