Sunday, July 13, 2014

KALAM BIJAKSANA



Orang berakal lagi bijaksana itu,
Dalam berkata-kata,
Mereka memilih perkataan2 yang terbaik, 
Merangkainya pada untaian yang paling sempurna,
Lalu melafazkannya pada suasana yang paling tepat, 
Menggunakan intonasi yang paling harmonis.

Dan tulisan itu wakil bagi lisan jua..



Monday, June 23, 2014

BINGKAS!



Waktu demi waktu berlari meninggalkan,
Dan engkaulah yang tetap tertinggal,
Dikurung sangkar kenangan.

Jika engkau miliki himmah seorang lelaki,
Segera bangun berdiri,
Pecahkan jeriji-jeriji sangkar ini!
Loloskan diri!
Masa yang sedang berlari, saingi!

Dunia hanyalah sarab yang menipu,
Harapan palsu sang musafir tertipu.



DEMAM..



Sekali-sekala di sela-sela waktu,
Wajah itu kembali mengintai memori,
Bersama manis senyumnya,
Dan bundar bercahaya bebola matanya,
Mengheretku ke fantasia masa silam,
Yang berkurun cuba ku lenyapkan,
Namun masih kukuh terbenam,
Jauh di dasar kalbu terdalam,
Kerana... siapakah yang mampu melupakan..?


Sunday, May 11, 2014

HUJAN MALAM



Malam..Gelap pekat..
Di luar hujan kian melebat. Titis-titisnya menyerbu bertimpa-timpa pada bumbung rumah menghasilkan irama membingit yang menyatu dengan kerasnya deru angin..

Sering saja pabila hujan merobek malam, hati tiada tenteram.
Ketakutan.. Resah jika azab Tuhan turun bersamaan..

Dan hujan malam sering mengingatkan kepada KeMaha KuasaanNya..
Hujan malam mengingatkan pada kengerian kubur..
Hujan malam mengingatkan pada kedahsyatan mahsyar..

Dan malam tadi,
ketika hujan membadai lagi,
daku tiba-tiba menjadi teringat,
kepada arwah abangku yang telah lama pergi..

Mengingatkan kesendiriannya..
Mengingatkan kegelapan kubur..
Mengingatkan betapa simbahan hujan menimpa tanah itu,
lalu meresap ke bawah, ke dalam tanah,
di mana terbaring kaku jasad itu..
Dan aku tidak mampu membayangkan lagi..
Sedang hujan di luar sana masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu reda,
Aku diselimuti ingatan, mengingat pada kesendiriannya,
berselang-seli paparan-paparan kegembiraan kami bersama,
ketika kami masih bergelar kanak-kanak dan remaja,
dan titis-titis hujan yang melaju tidak mampu menyaingi lajunya derai airmataku..

~alfindani~
12.29 pagi. 11/05/2014


Saturday, May 10, 2014

PARA PENCURI KATA-KATA



Para pencuri kata-kata itu,
Datang bertandang ke rumah belogku,
Kekadang malam, kekadang siang bolong,
Lalu mencuri dan membawa lari untaian kata-kataku..

Entah bila pada suatu masa,
Tersinggah aku pada suatu laman maya,
Entah efbi entah belog apanamanya,
Dan tiba-tiba ku dapati untaian kata-kataku yang dicuri,
Terselit dicelah-celahan karangan, prosa dan puisi,
Meskipun telah diolah dan diubah-ubah,
Namun aku seperti Balqis yang bestari,
Mengenal singgahsananya tanpa sangsi.

Kecemburuan itu suatu yang wajar,
Walaupun hati seringkali pulang pergi,
Antara keikhlasan dan hak,
Dan akal pula selalu mengingat-ingatkan,
Ucapan hikmat Al-Shafi'e Sang Imam,
Mengingini ilmunya tersebar,
Meskipun namanya tidak tercatat.




Tuesday, April 29, 2014

BUKU #14 - SULTAN ABD HAMID II DAN KEJATUHAN KHILAFAH ISLAMIAH





Terbitan Pustaka Salam dan merupakan Tesis PhD oleh Dr. Eeman Mohamed Abbas, naskhah ini sangat bernilai untuk dimiliki bagi sesiapa yang meminati sejarah.

Harganya?
RM100/- (Harga pada tahun 2010). 

Sangat murah sebenarnya berbanding manfaat ilmu dan pengetahuan yang engkau dapatkan.







Tuesday, April 8, 2014

Anakku..! (#2)


Anakku..!
Jangan mudah percaya dengan kata2 
para politikus bahawa mereka
 menyelami detik nadi para marhaen seperti kita.

Jangan sekali-kali engkau terpedaya 
dengan janji2 muluk mereka,
Biarpun dari mana jua partinya,
Biar indah nian idealisme dicanangnya.
Jangan mudah percaya!
Jangan mudah tergoda!

Anakku..!
Jangan mudah tergula-gula 
pabila politikus membelanja rakyat jelata 
di meja2 gerai kaki lima.
Lalu engkau berkata: "Aduh, dermawannya dia!"
Kalaulah engkau tahu elaun keraian yang diterimanya, 
takjubmu pasti hilang entah ke mana.

Anakku..!
Para politikus itu semuanya sama.
Maka jangan sesekali engkau 
menggolongkan diri bersama penyokong dan pemuji,
yang menjahilkan diri dibuai fantasi, 
diheret ke kanan dan ke kiri,
mengikut rentak dinyanyikan sang oppurtunis,
yang menyembunyikan tawa di hati,
melihat kebodohan pengikut sendiri.

Anakku..!
Pandang dengan mata hati,
guna akalmu, nilaikan sendiri,
jangan cepat kagum dengan siapa pun,
hatta dengan dirimu sendiri!

Anakku..!
Sekali lagi ku ingatkan dirimu,
Berilmu! Semoga Allah menyelamatkanmu.

~alfindani~
08/04/2014

p/s:

~ Mengapa ramai tergoda menjadi wakil rakyat? Mungkin sebahagian jawapannya ada pada keistimewaan2 yang diperuntukkan seperti di link berikut :-
http://www.parlimen.gov.my/kemudahan-ahli.html?uweb=p&view=57


Monday, March 24, 2014

MH 370 dan DOA-DOA


Ujian adalah kebaikan yang tidak terhingga bagi mereka yang cerdik lalu memanfaatkannya.

Sebarang ujian daripadaNya adalah bermakna dan memimpin kita lebih dekat denganNya seandainya kita kembali melihat kekhilafan diri kita dan menyelak-nyelak kembali lembaran2 amal selama ini apakah benar kita ini berjalan menapak kepadaNya seiring berjalannya kitaran masa ataukah kita ini saban ketika semakin berlari menjauhiNya.

Biar ribuan kali sehari Dia memanggilmu dengan pelbagai macam cara, namun engkau tetap juga berlari semakin laju menjauhiNya.

Lalu ketika engkau semakin menjauh dan panggilanNya menjadi sayup di telinga kesedaranmu maka Dia bertindak mengirim rantai ujian bagi menarik dan mengheretmu kembali kepadaNya.

Namun celakanya engkau mencaci maki dan mengutukNya hanya kerana tidak berpuas hati dengan rantai ujian yang mengheretmu itu. Hanya kerana mata makrifatmu telah makin rabun daripada melihat kasih sayangNya di sebalik setiap helaan dan tarikan rantai ujian itu.

Kerana itu engkau masih belum mengerti benar bagaimana seharusnya engkau bertindak agar tindakanmu benar pada pandanganNya. Kerana engkau masih lagi berpandu kepada hawa nafsu dan keegoan serta keAKUanmu tanpa mahu melihat jauh ke dalam diri mencari salah dan dosa-dosa sebelum meminta dan berdoa bermohon kepadaNya.

Ketahuilah bahawa doa-doamu tidak akan dimakbulkanNya bukan kerana perbendaharaanNya telah kosong atau lautan rahmatNya telah kering. Ia hanya kerana engkau belum lagi membersihkan diri dari segala kesalahanmu dan melakukan sesuai dengan apa yang Dia redhai.

Aku tidak bermaksud meremehkan usaha2 yang dilakukan, juga doa-doa yang dipanjatkan serta munajat2 yang disenandungkan.

Namun ketahuilah bahawa ujian adalah medan bagi memperbaiki diri. Itupun jika engkau benar2 menatapnya dengan bashirah dan pandangan makrifat menerusi kacamata keimanan yang bening.

Seandainya engkau adalah mukmin dan ujian menimpamu harus engkau segera mencabut dirimu dari kemaksiatan dan kembali kepadaNya. Rintihanmu dan pengakuan dosa2mu akan menjemput rahmatNya.

Jika ujian menimpa sebuah organisasi dan para BODnya adalah para mukmin yang benar, maka harus mereka menyemak kembali perjalanan organisasinya apakah benar2 menepati keredhaanNya.

Apakah kamu ketika ini memohon kepadaNya dengan penuh lirih sedangkan kamu masih lagi tidak pernah terdetik sekelumit pun jua untuk menyemak kembali kesalahan2mu. Arak masih lagi dihidang, wanita-wanitamu yang disapa kesedaran ingin menutup aurat masih lagi tidak punya kebebasan itu.

Maka mengapakah tidak kamu menyedari kesalahan2 ini lalu mengambil jalan bertindak segera sebelum kamu merintih mengharap jalan keluar daripadaNya?

Ah! Ini adalah kalam ortodok dan tidak sesuai dengan arus masa. Kamu ini tidak faham dunia niaga. Kamu ini tidak faham zaman dan kemajuan yang melingkari kita. Kamu ini lebai entah mana ingin menasihati korporat berusaha juta-juta.

Kata-katamu tidak bernilai langsung. Lebih baik engkau diam sahaja dan biarkan kami dengan cara kami. Engkau nantikan sahaja. Dan beberapa hari nanti engkau akan melihat bagaimana teknologi canggih masakini akan berhasil menamatkan segala penantian ini. Tika itu lihat! Bukankah Dia masih menyebelahi kami. Dan bukankah itu buktinya doa-doa dan munajat2 kami masih didengari? Sekalipun arak masih tetap tersaji.

Lantas kadangkala ujian pada sebahagian hamba tidaklah berhasil selain semakin menjauhkannya dari hadrat Tuhannya...

Semoga kita semua tidak termasuk di dalam golongan terakhir ini..


KATA KUNCINYA ADALAH "MERASA CUKUP"


Masalahnya adakah kita ini benar2 merasa cukup dengan Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita?

Persoalannya adakah kita ini benar2 merasa cukup dengan Al-Quran dan Sunnah yang diwariskan Rasulullah SAW kepada kita?

Jika kita benar2 merasa cukup dengan Islam kita tidak akan tertarik kepada "isme-isme" yang lain biar betapa indah ia disebut dan digambarkan.

Jika benar2 kita ini merasa cukup dengan Al-Quran dan Sunnah yang diwariskan kepada kita dengan penuh susah payah oleh Nabi dan Para Sahabat kepada kita maka kita tidak akan pernah mendahulukan pandangan2 nafsu dan akal yang tidak dipandu Al-Quran dan Sunnah berbanding kedua-duanya.

Sekarang kita harus melihat dalam2 ke dasar hati apakah kita ini benar2 merasa cukup? Apakah keyakinan kita terhadap Islam dan Allah benar2 jitu seperti keyakinan Para Sahabat? Jika belum bermakna perjalanannya masih jauh lagi buat kita..