Monday, December 23, 2013

UPDATE BUKU#5 - TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR


Sebelum ini aku ada mengepos entry berkenaan buku tulisan HAMKA dengan tajuk di atas di SINI.
Ketika itu aku masih belum menemui edisi ruminya.

Beberapa minggu sudah, ketika meninjau-ninjau sudut buku di ISTAFA Jalan Sultanah, Alor Setar sambil menunggu orang rumah membeli barang aku terserempak dengan edisi rumi buku berkenaan.

Apa lagi! Terus aku sambar senaskhah daripada hanya dua naskhah sahaja yang terdapat di rak.



Sebagai catatan, HAMKA hanya mengambil masa selama lima (5) hari sahaja bagi menulis buku ini! Tepatnya bermula pada hari Ahad, 17 Muharram 1378 bersamaan 03 Ogos 1958 dan selesai pada hari Jumaat 22 Muharram 1378 bertepatan 08 Ogos 1958 di Jakarta.

Naskhah aslinya bertulisan jawi adalah terbitan Persatuan Muhammadiyah Pusat Singapura.

Dengan harga RM15, buku terbitan semula Pustaka Dini pada tahun 2010 ini berbaloi untuk dimiliki.

Menariknya pada kata pengantar pengalih aksara dan penyunting istilah buku ini oleh Djamal Tukimin, beliau menyifatkan buku Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor adalah "The Lost Manuscript" HAMKA.

Berikut saya petik sedikit permulaan pengantar beliau di sini:

Sebenarnya buku yang satu ini dari karya Allahyarham Prof. Dr. Abdul Malik bin Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Prof. Dr. Hamka dan Buya Hamka saja tidak terdapat di mana-mana dalam daftar buku-bukunya yang pernah diterbitkan sepanjang hayatnya.

Pada baris yang lain beliau berkata:
Buku polemik dan tangkisan ini merupakaan buku yang dianggap sebagai The Lost Manuscript yang sama sekali tidak diketahui ramai orang baik di Indonesia, Malaysia mahupun di Singapura.

Kata pengantar beliau diakhiri dengan ayat berikut:
Namun demikian saya bertanggungjawab sepenuhnya atas karya Buya Hamka yang diterbitkan ini setelah mengalami masa ghaibahnya sebagai "The Lost Manuscript" sekitar 50 tahun yang kini kembali ke rumah khazanah Islamiyah di Alam Melayu Nusantara ini. Kecuali, salah dan silap, harap maaf.



Sehingga ke saat entry ini ditaip saya masih belum berkesempatan menghabiskan bacaan edisi rumi ini -edisi Jawinya sudah habis dibaca lama dulu- dan memperbandingkan dengan naskhah asli bertulisan jawi peninggalan Almarhum Tok Ayah yang ada dalam simpanan saya.

Namun ketika berkesempatan menyelak beberapa mukasuratnya saya telah bertemu dengan alih aksara yang salah dan gantinama yang wajar disertakan nota kaki kerana perbezaan bahasa dulu2 dengan kini. Iaitu pada mukasurat 14 edisi ini yang mana menukilkan kembali salinan kenyataan Mufti Johor yang ada disertakan gambar asal edisi jawinya.


Ia berbunyi seperti berikut:

"Kaum kaum - muda ini mengambil fatwa-fatwa mereka dari Qadiani dan Hassan Bandung dan mereka tidak percaya kepada beberapa tiang-tiang agama Islam. Mereka ini dinamakan ulama-ulama "al-maklum minalaziina bi darurah," kata Datuk itu.

Pada kata yang ditebalkan oleh saya di atas yang pertama adalah gantinama "Mereka ini". Molek sekali jika disertakan tambahan penjelasan di dalam kurungan atau nota kaki sebagai ( yakni perkara2 tersebut) yang mana kembali kepada tiang2 agama Islam agar tidak disalah kembalikan oleh sebahagian pembaca yang tidak mesra interaksinya dengan gaya bahasa klasik gantinama tersebut kepada Kaum kaum - muda yang disebut di awal ayat.

Perkataan kedua yang dihitamkan adalah "al-maklum minalaziina bi darurah".
Ini adalah salah faham yang berpunca dari satu titik sahaja. Iaitu pada huruf Dzal yang mana sepatutnya adalah huruf Dal.

Berkait hal ini mengingatkan saya dengan lawak P. Ramlee di dalam Nujum Pak Belalang pada adegan teka-teki di manakah terletaknya kehebatan Hang Tuah. Iaitu pada huruf Taa-nya. Yakni pada titiknya. Benar P. Ramlee dalam hal ini.

Inilah salah satu keistimewaan Bahasa Arab yang mana memadai dengan tersilap satu titik sahaja sudah boleh membawa kepada salah faham makna. Ada cerita lain yang terkait juga dengan hal ini namun saya tidak berhasrat menaip panjang.

Berbalik kepada perbincangan kita, saya kira di dalam edisi jawinya memang ditulis Dal. Nanti saya semak semula. Namun jika salah tulis dengan Dzaal pada edisi jawinya pun hal ini perlu diperbetulkan.

Jadinya ia sepatutnya berbunyi: "Al-maklum minaddiin bi darurah" yang bermaksud "perkara2 dalam agama Islam yang semua orang Islam tahu". Contohnya kewajipan solat, haram arak dsb. Tanyalah orang sejahil-jahil orang Islam kaki maksiat yang fasiq dan tak pernah solat adakah solat 5 waktu itu wajib ditunaikan pastinya dia akan menjawab ya.

Dengan itu kalam Tuan Mufti yang dinukilkan itu sepatutnya berbunyi "Mereka itu (yakni tiang2 / prinsip2 / hukum2 asas agama Islam) dinamakan oleh ulama2 sebagai al-maklum minaddiin bi darurah (yakni perkara2 asasi di dalam agama Islam yang seluruh orang Islam memang sedia maklum).

Intaha (tamat).

Saya menyatakan kesilapan di atas bukanlah bermaksud mencari2 kesalahan penterjemah dan pengalih aksara. Namun ia hanya sebagai sedikit semakan yang berguna kepada mungkin sesiapa yang membaca posting ini dan memang memiliki edisi rumi naskhah ini atau berhasrat memilikinya.

Semoga saya dikurniakan Allah kesempatan untuk membuat semakan menyeluruh dan menambah baik mana2 yang kurang yang mungkin wujud selain dua yang saya nyatakan di atas untuk saya majukan kepada penerbit edisi rumi itu. Ameen.

Tetapi jika ada yang sudah mendahului usaha ini, baguslah. Mudah-mudahan.

Wallahu A'la wa A'lam. 




APA ADA DENGAN NAMA SAMARAN?



Menulis menggunakan nama samaran / nama pena / laqab dan lain2 yang bukannya nama sendiri tidaklah bererti si penulis seorang yang pengecut atau munafik atau apa saja sangkaan2 buruk yang lain.

Aku ada terbaca serangkap kata Sasterawan Negara, Dr. Baha Zain bahawa zaman dahulu para penulis kita (Melayu) banyak menggunakan nama samaran kerana yang penting bagi mereka adalah idea yang dikemukakan dan bukannya diri sendiri. Namun berbeza dengan zaman kini.

Hal ini aku nyatakan kerana beberapa waktu lepas ada terbaca sebuah tulisan seorang yang terkenal juga (zaman ini zaman mudah menjadi terkenal) di FB yang menyatakan penulis yang tidak diketahui identiti "di zaman penuh fasad ini, sama ada sang penulis itu baik hati tetapi sangat pengecut, atau berniat jahat tetapi bijak memangsakan massa."

Semoleknya tidaklah perlu kita terlalu menyesakkan benak dan kotak fikir kita dengan andaian2 dan sangkaan2 negatif. Semua kita dikurniakan akal, dengarkan atau baca, lalu menganalisa lantas pilih yang terbaik. Tinggalkan yang buruk, ambil yang baik2. Buang yang keruh, ambil yang jernih. 

Sungguh berapa banyak kata2 hikmah yang kredit dihujungnya pergi kepada Anonymous.

 


Wednesday, December 18, 2013

...



Biarkan semuanya terus naik.. 
Kerana kenaikan ini menjemput datang sebuah kejatuhan...

Ribut, jika makin hebat menghentam bererti semakin hampir redanya.
Hujan, jika makin melebat, petanda akan menyusul seriat.
Malam, tika makin pekat gelemat, petanda fajar makin mendekat.
"Bukankah subuh itu sangat hampir waktunya?"..




Saturday, December 7, 2013

BUKU #13 - MANUSIA TERKAYA DI BABYLON



Aku masih ingat.
Hari itu hari Ahad, aku turun ke JB dari Skudai dengan hasrat di hati hendak turun KL. Entah agaknya ada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC kalau tak silap.

Namun entah bagaimana aku tidak pula ke Larkin sebaliknya mengambil arah ke bandar. Sesampainya di JB aku berlegar2 dahulu di beberapa tempat dan kemudian ke KOTARAYA, tempat di mana akhirnya aku menemui naskhah yang membuatkan aku terus jatuh cinta pandang pertama.

Akhirnya duit tambang yang sepatutnya untuk tiket bas ke KL menjadi mahar untuk ditukarkan dengan buku yang 'rare' ini.








BANGSA MELAYU - MARILAH BERSATU !



Ini adalah sebuah rencana yang ditulis di dalam Majalah Qalam Bil.4, November 1950 di muka surat 35-37. Majalah ini saya dapatkan daripada peninggalan2 arwah Tok Ayah saya.

Qalam diterbitkan di Singapura di dalam tulisan Jawi. Sesiapa yang boleh membaca Jawi dipersilakan membaca dengan meng'klik' pada gambar dibawah.

Kulit hadapan Qalam bilangan 4 ini sangat2 menarik perhatian saya.
Lihat bagaimana penjajah Belanda yang beberapa tahun sebelum itu menjadi tuan di Indonesia terpaksa tunduk hormat kepada Presiden Indonesia, Sukarno.

Saya telah mengimbas dari kulit ke kulit majalah ini serta beberapa lagi majalah2 lama yang lain dan menjadikannya dalam bentuk PDF, namun masih belum berkesempatan memuat naik ke internet.

InsyaAllah akan dimaklumkan di blog ini jika telah dimuat naik supaya dapat pula dimuat turun dan dibaca oleh sesiapa yang berminat.






Friday, November 22, 2013

QASIDAH OH QASIDAH!



Qasidah sekarang di mana2. Sudah jadi trend pula.
Di TV, di Dataran Merdeka, di Putrajaya, di mana saja.
Bahkan di masjid2 pun riuh-rendah dengan qasidahnya.


Aku tidaklah ingin berbahas menolak atau mendokong. Kerana di laman2 sosial, forum2 dan blog2 pun sudah ada pihak yang saling berpolemik tentang hal ini dan tidak ke mana pun sebab kedua2 pihak mengeluarkan dalil2 lalu menarik kefahaman mengikut yang dikehendaki masing2.

Dari satu segi baguslah. Ada juga alternatif hiburan.

Cuma tentang riuh rendah berqasidah (dan nyanyian2 yang lain jugak) di dalam masjid dengan dentuman perkusi dan pembesar suara maka aku tertanya-tanya juga..
"Kalaulah Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafi'e, Imam Ahmad melihatnya, agaknya apakah mereka bersetuju atau bagaimana?"



Nota kecik:
(A) Awat hang nak hingaq pasai qasidah? Nu lagu2 dengan konsert2 lagho hang tak gaduh pulak?!
(B) Lagu2 ngan konsert2 lagho tu semua orang maklum dah. Tapi qasidah ni sebab dia pakai make-up agama..
(C) Aku tidak anti qasidah. Bahkan ada masanya mendengarkan dan berqasidah juga..



Saturday, November 2, 2013

BUKU #12 - DI SEBALIK IKHWAN MUSLIMIN


Alhamdulillah pagi tadi selesai membaca sebuah buku yang sangat menarik. Pengkisahan seorang tokoh Ikhwan yang sebelum ini bekerja di belakang tabir bagi menyemai benih keamanan dan membawa dunia ke satu takah kehidupan yang lebih baik.

Youssef Nada, demikian nama tokoh kita ini. Beliau adalah seorang Islamis, tokoh korporat tahap internasional, perunding keamanan dan bermacam lagi yang anda boleh namakan beliau melainkan pengganas.

Membaca buku ini membawa kita kepada satu lagi tahap pengetahuan tentang realiti sebenar liku-liku peristiwa2 penting dan bersejarah dunia daripada individu yang terlibat sendiri secara langsung di dalam beberapa peristiwa tersebut.

Carilah buku ini dan bacalah. Sekali anda menatap halaman pertamanya anda akan terasa sukar untuk meletakkannya sebelum sampai ke halaman terakhir. Ia ibarat anda menonton sebuah filem yang diadaptasi dari kisah benar. Dengan terjemahan yang berkualiti dan mencapai maksud, saya merekemen anda agar segera mendapatkannya.

Harga asal adalah RM29.90. Tetapi anda boleh mendapatkannya dngan harga yang lebih murah sekarang sekiranya anda membelinya di POPULAR dengan menggunakan kad keahlian POPULAR anda. Hanya RM22.90.

Dapatkan naskhah anda hari ini! :)








Tuesday, October 22, 2013

BUKU #11 - Losing My Virginity; The Autobiography





Buku ini adalah penceritaan jatuh bangun Richard Branson, Pengasas Virgin Company yang sangat terkenal dengan idea dan perangai gila2nya.

Ia adalah penceritaan beliau sendiri. Tentang bagaimana kehidupan kecilnya, keluarganya, apa yang memotivasikannya, prinsip hidupnya, asal mula perkataan Virgin menjadi nama syarikatnya dan 1001 macam lagi penceritaan yang sungguh mengujakan.

Ditambah sertakan pula dengan gambar2 menarik beliau dari zaman muda beliau yang hippies hingga terkini sewaktu buku ini ditulis.

Agaknya sesuatu yang menarik minat untuk membelinya pada kali pertama terpandang, selain pengisahan dan gambar2 tersebut adalah tajuknya itu sendiri.

Carilah buku ini.
Harganya? RM59.90.
Kalau anda berada di UK harganya tentulah lebih murah di dalam Pound Sterling. :)





Monday, October 21, 2013

BUKU #10 - Mereka Yang Telah Pergi



Buku ini berisi biografi para tokoh perjuangan Islam zaman moden. Ditulis oleh Syaikh Abdullah Al-Aqil rahimahullah.

Di dalamnya beliau menyenaraikan biografi para tokoh dengan dua syarat utama:
1- Tokoh tersebut telah ditemui oleh beliau secara peribadi.
2- Tokoh berkenaan telahpun meninggal dunia ketika buku ini disusun. Ini kerana orang yang masih hidup tidak selamat dari fitnah.

Carilah buku ini dan baca serta hayatilah. Anda pasti akan terasa kagum dan kerdil di hadapan sirah mereka apabila membandingkannya dengan sirah hidup kita sendiri.

Saya membeli buku ini di Pustaka Fajar Ilmu Baru (dulunya dikenali sebagai Pustaka Indonesia) di Tingkat Dua Wisma Yakin, Jalan Masjid India. Naik lif / tangga ke tingkat 2, keluar saja lif ambil kanan. Atau anda semua boleh ke laman web mereka di sini: FAJAR ILMU BARU.

Pemiliknya sangat friendly dan mahir dgn selok belok buku yang ada di kedai mereka. Terutamanya kakak (ah, saya sudah lupa namanya!) Anda boleh tanyakan satu2 judul buku, nanti beliau akan menyatakan sinopsisnya serta terbitan penerbit sekian2. Dan jika ada berbilang penerbit menerbitkan buku terjemahan yang sama beliau akan memperjelaskan kelebihan masing2 cetakan dan menyarankan yang terbaik.

Sudah lama saya tidak menjejak kaki ke sana.Seingatnya saya sudah ke sana semenjak 1998. Ketika mereka masih beroperasi di tingkat bawah. Kedai di tingkat bawah pun masih beroperasi, mungkin pengurusannya dipecahkan.

Jika kita memang pelanggan tetap akan dapat diskaun yang agak besar. Mungkin sehingga 20%.


Dulu2 jika bajet untuk buku saya sudah habis dan saya masih ketagihan membelek dan membaca buku2 yang baru, maka kedai ini adalah salah satu tempat lepak saya. Adakalanya menjadi orang terawal melangkah bersama pintu yang baru dibuka dan melepak untuk membaca sehingga mendekati maghrib dan keluar tanpa membeli sebuah buku pun. Anda boleh membaca di situ tanpa dijeling-jeling semacam, sama seperti yang anda boleh lakukan di Kinokuniya atau MPH sambil bersila di lantai.

Oh, kembali kepada buku kita, inilah saya tepekkan gambarnya di bawah. Boleh klik dan zoom in untuk lihat lebih jelas.

Harganya?

RM85.50

Dengan bilangan muka surat lebih kurang 700 m/s, bagi saya sangat murah jika nak dibandingkan dengan maklumat dan ilmu yang bakal diperolehi. Lagipun sebuah buku tidak akan basi biarpun disimpan 50 tahun. :)