Monday, August 26, 2013

MESIR, RABI'AH DAN BALIK KE RUMAH..



Saat ini majoriti bersemangat tentang Mesir.
Gambar2 profil facebook menayangkan isyarat Rabi'ah/Rab'ah...

Padaku, seruan sebahagian ulama yang menyeru kepada para penyokong Presiden yang dizalimi- Mursi- agar pulang ke rumah masing2 adalah seruan yang paling tepat dan penuh kasih sayang serta rahmat kepada umat.

Ramai yang tidak bersetuju dengan seruan ini. Bahkan menghunjamkan tohmahan dan caci maki kepada ulama serta mereka yang bersetuju dengan seruan ini.

Hari ini majoriti manusia memang begitu sifatnya. Kadang2 semangat yang menyala bisa menghanguskan apa sahaja.

Seruan tersebut bukanlah bermakna bersetuju dengan kezaliman tentera yang merampas kuasa. Seruan tersebut bukanlah bermaksud bersekongkol dengan regim yang menghalakan senjata kepada rakyat.

Namun seruan tersebut adalah seruan penuh kasih sayang, yang tidak ingin melihat darah kaum muslimin terus ditumpahkan.
Seruan yang tidak terbit selain daripada hati yang faham benar perjalanan zaman.
Seruan yang tidak mungkin bergema melainkan dari hati yang benar faham tipudaya dan makar musuh2 agama.

Adapun majoriti yang semangat telah mengaburi pandangan, maka seruan ini tidak dianggap melainkan penyerunya adalah sang pengecut.

Wahai orang yang bersemangat!

Anda yang lantang di facebook!
Anda yang lantang di laman2 maya!
Anda memuntahkan seruan2 semangat anda sambil bercanda, dengan minuman dan makanan enak, dengan dikelilingi isteri dan anak2, dengan menikmati tidur yang enak, dengan duit yang masih penuh di bank dan simpanan....

Bangun!
Pergi lihat peti sejuk anda! Buka dan lihat penuhnya dengan bahan2 makanan!
Pergi buka almari pakaian anda!
Lihat deretan pakaian yang bergantungan.
Pergi buka rak kasut anda!
Lihat deretan sepatu yang berjenama.
Lihat jam tangan anda, berapa agak harganya?
Malam ini anda tidur lena, selePas meluah kemarahan dan semangat di laman facebook anda.
Esok pagi anda bangun dan pergi kerja dengan bergaya.
Cukup bulan gaji masuk dengan tambahan OTnya.
Lalu anda mengajak anak isteri berbelanja di pasaraya2. Membawa mereka bersantai di sini sana. Berjaga lewat malam di kedai2 mamak sambil bercanda dan menonton lawan bola. Sambil2 jemari ligat mengemaskini laman efbi, meluah semangat lagi, sambil memekik: "Dey macha! Mana saya punya roti tara sampai lagi?!"

Kitalah itu.
Yang sangat bersemangat.
Sedang kepada saudara2 kita yang berhimpun di medan Rabi'ah kita katakan: "Teruskan himpunan kalian"! Jangan takut dan jangan gentar! Doa kami bersama kalian!"

Sedang saban waktu, setiap saat yang berlalu, maut mengintai mereka, nyawa bakal melayang bila2 masa!

Kita katakan: "Bertahan"!
Sedang kita sendiri tidak mampu bertahan andai nyenyak tidur kita diganggui ngauman ekzos motor anak2 muda yang merempit di jalan bersebelahan.

Kita hadir di himpunan2 ceramah membangkit semangat, meniup marak amarah dan mendakwa solidariti.
Kemudian, menangkap gambar sendiri sebagai bukti, untuk diposting pula di efbi.
Kita hadir dengan semangat dan santai, tanpa bimbang nyawa bakal melayang, kerana berhimpun dan bertempik di padang yang aman.
Kemudian, perit tekak dek kuatnya melaung teriakan, kita bergegas mencari gerai makan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan, lantas menghirup kopi secawan, sambil berehat menghilangkan kepenatan.
Kita menyangka kita telah memberi sumbangan kepada saudara2 kita di sana.
Kita menyangka dengan itu kita telah menunjukkan kasih kita buat mereka.
Benar2kah kita?

Kita ini sebenarnya apa?
Kita ini hanya munafik yang pandai memutar kata.
Mengindahkan susunan bahasa.
Membakar semangat anak muda.
Mengharap pujian dan sanjungan massa.
Haus dokongan dan "Suka" pada status efbi kita..
Sedang kita terus bercanda dan leka bergembira.
Saudara2 kita di sana terus menerus menyabung nyawa.

Maka, seruan yang menyuruh mereka kembali ke rumah adalah seruan mulia.
Bukan cenderung kepada kezaliman yang akan menyebabkan tersentuh api neraka.
Namun seruan yang berpijak kepada realiti.
Yang tidak ingin melihat darah muslim tumpah, walau setitik lagi.

Jika ingin terus melawan, suruh perempuan2 agar pulang. Jangan pertaruhkan nyawa anak2 kecil di medan. Bekalkan senjata kepada para pemuda. Biarkan mereka berperang seperti di Syria. Agar kuasa yang dirampas dapat dirampas semula.

Adapun berkumpul semata, dengan harapan para penzalim yang merampas kuasa mengembalikan semula rampasannya, maka itu adalah harapan yang tidak akan kunjung tiba. Kerana penzalim manakah yang bersedia mengembalikan rampasannya?

***
p/s: Ini tidak lain melainkan kerana belas kasih kepada saudara2 seagama di Mesir..






Monday, August 12, 2013

Suatu Cita Yang Dicita



"Jika pun ku miliki cita-cita,
Cita-citaku hanya ingin keluar dengan selamat dari dunia ini,
Sepertimana aku telah memasukinya dengan selamat sebelum ini.."


Sunday, August 11, 2013

SEMALAM YANG MENGUJI




Semalam, 
Senyum itu menyapaku lagi.

Semalam,
Renungan mata itu memanahku lagi.

Semalam,
Takdir mempertemukan kita lagi.

Takdir itu yang memisahkan,
Takdir itu jua kembali mengumpulkan.

Semalam,
Seakan segalanya sirna,
Yang wujud kau dan aku cuma.

Semalam,
Dan aku ingin agar waktu terhenti,
Agar bisa ku luahkan rasa hati.

Dan semalam,
Kita masih seperti dahulu,
Tetap malu dan malu-malu,
Meski lautan sukmaku,
Bergelora amukan cinta dan rindu.





Sunday, July 21, 2013

TETAMU RAMADHAN




Ramadhan datang dan pergi.

Ada yang Ramadhan belum datang,
 dia telah pergi.

Ada yang Ramadhan datang,
 lalu dia pergi.

Ada yang Ramadhan datang, 
Ramadhan belum pergi,
dia sudah pergi.

Ada yang Ramadhan datang, 
lalu pergi bersama Ramadhan.

Ada yang bersama Ramadhan, 
lalu mengiring Ramadhan pergi, 
sebelum ia sendiri diarak pergi.

Ada yang melambai Ramadhan yang pergi, 
bersama resah di hati; 
"Ramadhan mendatang bertemukah daku lagi..?"





Sunday, June 30, 2013

BEGITULAH HENDAKNYA...



Aku menaip ini di kala mata tidak mampu lagi lelap.

Apakah yang memotivasikan seorang ayah untuk mengheret diri bangun setiap malam pada pukul 2.30 pagi lalu membancuh susu setengah botol sebagai umpan agar anak kecilnya tidak membingit  mengejutkan jiran2 kemudian sepantas mekanik yang menukar tayar di dalam perlumbaan F1 ia terus menukar lampin si anak yang telah memberat...

Semuanya kerana inginkan tidur si anak lebih selesa, dan yang lebih utama lagi dia tidak mahu menanggung bahana lebih besar terpaksa membasuh tilam yang kebasahan dengan kencing dek lampin yang bocor.

Begitulah hendaknya seorang mukmin!

Menyanggupkan diri untuk bersusah payah sesaat untuk keselesaan hidup akhirat dan lebih utama lagi ia tidak mahu menanggung bahana lebih besar terpaksa menghuni neraka, walau sebentar..

Kawan,
Engkau patut menjadi putera akhirat yang memandang sesuatu dari dunia dengan iktibar lalu mengalihkan pandangmu ke negeri akhirat. Kerana hidup dunia adalah misalan dan tamsil ibarat yang hakikatnya hanya dapat disingkap oleh hati-hati perindu akhirat.

Adapun aku; aku hanyalah seorang tukang cerita..
Kerana demikianlah adanya.



Wednesday, June 26, 2013

DUA WAJAH


Para politikus itu,
yang bijak mengapi-api dan memujuk rayu massa,
kelmarin mereka duduk semeja,
bergelak ketawa,
mengadap hidangan sedap-sedap belaka.

marhaen yang rela diperbodohkan,
apa yang kalian dapatkan?

harga barang terus meningkat.
kehidupan makin sesak.
sesesak hidung yang tersumbat jerebu.

mereka itu,
yang bijak mengapi-api dan merayu-rayu,
istana mereka hebat bertingkat,
makan mereka sedap-sedap,
kereta mereka berkilat-kilat.

hadir mesyuarat mendapat elaun,
jadi wakil rakyat elaun lagi.
segala kemudahan tak pernah surut.
entah-entah tol pun tak perlu bayar kot?

kalian marhaen, apa yang dapat?

Berhimpun penuh semangat,
menjulang sepanduk “I love ..” berkibar-kibar,
sanggup bermandi air gatal dan rela ditangkap.

kawan,
jangan mudah terpedaya,
politikus itu, di mana pun sama saja,
sandiwara mainan mereka,
nasib hidup kita pun dipermain sama.



Wednesday, June 19, 2013

'IZZAH







"..... Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)....."  
(Surah Aali 'Imran: 140)


Thursday, June 13, 2013

MAJALAH "KEHIDUPAN" - EDISI MERDEKA






Kehidupan – Bil 19 – Ogos 1957 – Muharram 1377

Kita mengucap syukur kepada Allah bahawa hari ini Malaya telah merdeka politik, ekonomi dan kebudayaan.

Benarkah demikian?

Pada hakikatnya tentu belum semuanya. Kita telah diserahkan kemerdekaan politik, memang benar, tetapi ekonomi masih dikuasai dan kebudayaan masih dipengaruhi.

Oleh sebab itu, hari kemerdekaan 31 ogos 1957 ini bukanlah hari yang mengakhiri perjuangan kita yang telah 400 tahun hidup di bawah tekanan penjajahan, yang kita sambut secara besar-besaran hari ini ialah kemerdekaan politik, tetapi tak dapat tiada dialah anak tangga untuk mencapai kemerdekaan yang lain.

Kemerdekaan kita dikatakan telah dicapai secara perlembagaan. Tidak setitik pun darah yang mengalir untuk mencapainya. Namun, dalam proses untuk mencapainya banyak pengorbanan yang telah dilakukan.

Kemerdekaan adalah suatu nikmat daripada Allah. Oleh itu kita sebagai hamba Allah hendaklah memperlihatkan nikmat itu. Kita haruslah pandai menggunakan dan mengisi kemerdekaan itu hingga benar2 kita dipandang sebagai bangsa yang merdeka dari cengkaman asing.