Wednesday, November 2, 2011

BERSAMA AL-QURAN - #2

Bismillah

A001 

A002

Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;

Tuesday, November 1, 2011

HATI MATI

Menguak gerbang hati 
yang sekian lama terkunci mati,

Dan tiba-tiba kudapati 
"Dia" tiada di sini!

***

Monday, October 31, 2011

HIKMAH - #2

Ingat padaNya agar Dia ingat padamu.
Ingatanmu padaNya petanda ingatnya Dia padamu.

Lupakan sesuatu agar engkau ingat kepadaNya.
Tika mengingatNya, lupakan segala. 


Ingati Dia tatkala engkau lupa,
Mudah-mudahan sesuatu yang engkau lupa, Dia kembali mengingatkannya . *

***



* Iqtibas daripada firman Allah di dalam Al Quran Surah Al-Kahfi

وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰ أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَٰذَا رَشَدًا


Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada ini"

Wednesday, October 26, 2011

HIKMAH - #1

"Carilah tempatmu di sisi Allah,
engkau akan dapati tempatmu di hati-hati manusia"

***

Keterangan:
Riak dan mencari kemasyhuran tidak akan menjadikan seseorang disukai atau dicintai manusia. Sebaliknya jika seseorang hamba itu mengikhlaskan hati dan amal hanya kerana Allah, maka Allah akan menjadikan hati-hati manusia condong kepadanya sekalipun ia tidak mempedulikan hal itu.

Friday, October 21, 2011

PENANGAN CINTA


Seseorang ditanya:

“Mengapa aku melihatmu selalu hanya membaca ayat-ayat dari surah-surah lazim sahaja ketika menjadi Imam solat, sedangkan engkau menghafal keseluruhan Al-Quran?”

Jawabnya dengan nada lirih:

“Sungguh aku teringin benar untuk membaca ayat-ayat dari surah-surah yang panjang, namun hatiku tidak mampu menahan rasa, dan aku bimbang empangan airmataku pecah berderai. Dan aku tidak mahu mengganggu solat-solat kalian dengan tangisanku.”

"Oh Majnun!
Jika tembok-tembok kejiranan Layla saja bisa mengingatkanmu kepada Layla 
hingga dirimu disangkakan gila,
Maka aku tidak tahu bagaimana 
andai kau dapat mendengar kalamnya Layla!”

Wednesday, October 19, 2011

MUHASABAH UNTUK PAS - #1

وَلاَ تَنكِحُواْ الْمُشْرِكَاتِ حَتَّى يُؤْمِنَّ وَلأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ وَلاَ تُنكِحُواْ الْمُشِرِكِينَ حَتَّى يُؤْمِنُواْ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ أُوْلَـئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ وَاللّهُ يَدْعُوَ إِلَى الْجَنَّةِ وَالْمَغْفِرَةِ بِإِذْنِهِ وَيُبَيِّنُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita budak yang mu'min lebih baik dari wanita musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mu'min) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya budak yang mu'min lebih baik dari orang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke surga dan ampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (perintah-perintah-Nya) kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran. [Al-Baqarah; Ayat 221]


Meskipun ayat di atas menceritakan tentang pernikahan secara khusus, namun mari kita cuba memerhatikan pada petikan ayat ini iaitu: "Sesungguhnya hamba yang beriman itu lebih baik berbanding orang musyrik (yakni yang merdeka, bukan hamba) sekalipun si musyrik itu menarik hatimu.."

Seorang hamba pada zaman dahulu kebiasaannya adalah dari mereka yang berkulit hitam, berambut kerinting seperti kismis hitam, berhidung pesek dan berbibir tebal kebanyakannya dari Habsyah (Afrika). Maknanya tidaklah seperti orang Arab yang putih kemerahan, berwajah tampan, berambut ikal, mata bercelak, berlidah fasih dan lain-lain lagi.

Si Habsyi itu, dengan kekurangan lahiriahnya (pada penilaian kebanyakan manusia) bertaraf hamba pula! Manakala si Arab (sebagai contoh) dengan ketampanan dan kefasihan lidahnya seorang merdeka, tuan, majikan dan pemilik hamba pula.

Namun, si Habsyi itu dikurniakan Allah SWT cahaya iman, lalu martabatnya diangkat tinggi oleh Allah SWT.
Dan Allah SWT menyatakan kepada kita bahawa si Musyrik itu, meskipun lahiriahnya membangkitkan ketakjuban kita, ia tetaplah hina di sisi Allah, dan tidak lebih mulia daripada si hamba yang beriman itu.

Seorang mukmin yang sebenar mestilah mempunyai salah satu teras aqidah yang dinamakan Al-Wala' dan Al-Bara'. Kita sebagai orang yang mengakui menjadi Mukmin yang sejati patut menyayangi dan memuliakan sesiapa yang disayangi dan dimuliakan ALLAH. Dalam masa yang sama kita mesti membenci mereka yang menyekutukan Allah, yang kafir, yang musyrik, yang kufur dan menentang Allah.

Nah! Hari ini, di Malaysia ini kita melihat dengan mata kepala kita sendiri bagaimana politik kepartian melampau telah mencabut teras aqidah ini. Anda boleh mencari di dalam Youtube video-video ceramah LGE, Ketua Menteri Pulau Pinang di hadapan para penyokong parti "Islam". Lalu anda akan melihat bagaimana si kafir ini memutar lidah berbasa-basi kemudiannya mengutuk dan menyindir orang-orang Umno lantas disambut dengan sorakan yang gamat.

Apa ini?! Seorang kafir menghina muslimin yang lain lalu disokong pula dengan sorak sorai??!!

Si kafir ini juga yang mewar-warkan bantuan kepada SAR dan memuji Khalifah yang mulia Umar Abd Aziz dan bermacam lagi sehingga menarik kekaguman sebahagian muslim yang jahil taktik-taktik berpolitik dan jahil pula tentang ajaran Al-Quran dan Sunnah juga aqidah yang benar, lalu dipuji dan diangkat dan disokong si kafir ini dengan menyatakan si kafir ini lebih baik daripada si muslim (baca; pemimpin Umno) yang zalim!

Ini benar-benar gila! Mereka ini tidak sedar bahawa kenyataan sebegitu boleh menjadikan mereka redho dengan kekufuran dan menganggap kekafiran itu lebih baik daripada iman yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam murtad tanpa sedar.

Alangkah takjubnya zaman!

Aku bukanlah ahli atau penyokong Umno, bahkan aku membenci kemungkaran yang berleluasa dengan dianjurkan pula, tetapi cara PAS yang menolak perpaduan dengan Umno untuk bergabung dengan DAP adalah sesuatu yang tidak dapat diterima samasekali.

Menolak perdamaian yang dihulurkan lalu bergabung dengan kafir harbi bagi merampas kuasa daripada umat Islam. sekalipun Umno dianggap musuh di dalam sistem pilihanraya, maka lihatlah bagaimana Al Quran mengajar umat Islam tentang perdamaian dengan musuh yang kafir:

وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ


وَإِن يُرِيدُواْ أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللّهُ هُوَ الَّذِيَ أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ


Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mu'min, [Al-Anfaal; 61-62]

Ayat di atas adalah berkenaan dengan perdamaian dengan orang bukan Islam. Manakala ayat bagi sesama Islam ada yang lebih khusus lagi yang kita boleh membacanya di dalam Al-Quran surah Al-Hujuraat.

Namun siapakah yang akan mendengarkan ini? Kerana para pengikut parti jenama "Islam" yang taksub ini pasti akan berdalilkan dengan kata-kata Mursyidul Am dan Presiden parti mereka.

"Hampir-hampir saja langit akan runtuh! Aku menyebut firman Allah dan sabda Rasulullah lalu kamu menyebut kata Abu Bakar, kata Umar.." 
Demikianlah lebih kurang maksud kata-kata Ibn Abbas radhiyallahu 'anhuma.

Hari ini, ada pula kenyataan bahawa PAS tidak akan menyertai Himpunan Sejuta Ummat bagi menentang gejala murtad. Sesungguhnya rasa sayang, takut dan harap mereka kepada DAP lah yang telah menjadikan mereka begini, lalu Allah akan menghinakan mereka. Betapa mereka boleh menjadi golongan yang paling hadapan di dalam perhimpunan BERSIH, namun di dalam himpunan yang bertujuan membela agama mereka menjadi bagai suami yang terkena penangan 'nasi kangkang' isteri (baca;DAP).

Aku mendoakan agar dikalangan para pemimpin PAS akan ada yang bangun dengan tegas menyentuh hal-hal sebegini. Tarbiyyah telah hilang peranannya di dalam PAS bersama lajunya perputaran roda masa.

Seandainya Almarhum Ustaz Fadhil Noor masih hidup, kuat sangkaanku bahawa PAS tidak akan menjadi laksana lembu dicucuk hidung seperti hari ini. Namun benarlah bahawa "apa yang dikehendaki Allah pasti terjadi dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi".

Kepada Allah jualah kita mengadukan hal ini.

***

*aku adalah anak jati kawasan Parlimen Almarhum Ustaz Fadhil Noor.



Tuesday, October 18, 2011

MA'RIFAH



Tuhanku,
mengenalMu buat aku berani,
mengenalMu buat aku kaya hati,
mengenalMu buat aku yakin diri,
mengenalMu buat aku ingin "pergi"..

TUJUAN MENULIS

Menulis untuk memandaikan diri.
bukan menunjuk-nunjuk pandai diri.

Menulis untuk berkongsi,
Jangan pula aib diri turut dikongsi.

Menulis untuk mengasah bakat,
bukan untuk menunjuk hebat.

Menulis untuk melepas "beban",
jangan sampai menampakkan bebal.

Menulis kerana diri sendiri,
bukan untuk dipuja puji.

Menulis untuk bersyukur pada Ilahi,
keistimewaan yang hanya pada insani.

MUHASABAH DIRI

Tak ingin aku menjadi Al-Hafiz,
di dada Mushaf tersembam menangis,
di tengah rumah "fitnah" tak tertangkis.

Tak ingin aku menjadi Sufi peratib,
di majlis zikir fikiran ghaib,
di pintu sendiri Dajjal mengintip.

Tak ingin aku menjadi Wali suci,
"fana" di alam Cinta Ilahi,
anak dan isteri tergadai diri.

Tak ingin aku menjadi sang Da'ie,
di Jalan Allah berkeliling negeri,
ibu ayah sendiri tidak dipeduli.