Thursday, May 20, 2010

AL ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD LIL IMAM IBNI HAJAR

Daripada Jibril a.s: “Wahai Muhammad! Hiduplah semahumu kerana engkau akan mati juga akhirnya. Cintailah sesiapa saja, kelak engkau akan berpisah dengannya. Buatlah apa saja, engkau akan dibalas akhirnya”.


Bersabda Nabi SAW: “Tiga golongan yang akan dinaungi ‘ArasyNya pada hari yang tiada naungan selain naunganNya; mereka yang berwudhuk pada waktu-waktu yang sulit*, mereka yang berjalan ke masjid di tengah kegelapan malam dan mereka yang memberi makan orang yang kelaparan”.

*Seperti waktu tengah malam ketika orang lain nyenyak tidur, suasana sejuk pula. Atau ketika kita memang terasa amat berat untuk mengambil wudhu, contohnya mengambil wudhu setiap malam sebelum tidur amat sukar melainkan bagi sesiapa yang telah menjadikannya tabiat.



Ditanyakan kepada Nab Ibrahim a.s: “Kerana apakah Allah mengambilmu sebagai KhalilNya (KekasihNya)? “Dengan 3 perkara”; jawabnya. Aku mengutamakan perintah Allah daripada perintah selainNya. Aku tidak merasa terbeban dengan apa yang diperintahkanNya kepadaku. Dan aku tidak pernah makan malam dan bersarapan selain bersama tetamu”.



Daripada sebahagian hukamak: “3 perkara akan menghilangkan kedukaan; zikrullah, bertemu dengan wali-waliNya dan berbicara dengan para hukamak”.



Daripada Hasan al-Basri: “Tiada ilmu bagi orang yang tidak beradab, tiada agama bagi sesiapa yang tidak bersabar, dan tiada kedekatan (kepada Allah) bagi orang tidak menjaga diri (wara’)”.



Diceritakan bahawa seorang lelaki dari kalangan Bani Israil berhasrat untuk keluar menuntut ilmu. Lalu halnya sampai kepada pengetahuan salah seorang Nabi mereka, lantas Baginda segera menemui pemuda tersebut seraya berujar; “Hai pemuda! Aku akan mengkhabarkan kepadamu 3 perkara yang terangkum di dalamnya ilmu orang terdahulu dan orang kemudian:

  1. Takutilah Allah di kala keseorangan dan di tengah keramaian
  2. Tahanlah lidahmu daripada membicarakan makhluq selain kebaikan-kebaikan mereka
  3. Amatilah rotimu (makananmu) sehingga engkau tidak makan selain yang halal

Akhirnya si pemuda membatalkan hasratnya untuk keluar.



Diriwayatkan bahawa seorang daripada Bani Israil mengumpul 80 peti ilmu namun tidak dimanfaatkanya. Lalu Allah mewahyukan kepada sebahagian Nabi mereka untuk mengatakan kepada lelaki tersebut: “Kalaupun engkau menghimpun ilmu yang banyak, ia bukanlah bernilai apa-apa bagimu selagi engkau tidak mengamalkan 3 perkara:

  1. Janganlah mencintai dunia kerana ia bukanlah negeri (tempat kediaman abadi) bagi orang yang beriman
  2. Janganlah bersahabat dengan syaitan kerana ia bukanlah temannya orang mukmin
  3. Janganlah menyakiti seorang pun kerana ia bukanlah daripada sifat seorang mukmin



Daripada Abi Sulaiman Ad-Darani r.h: ia bermunajat: “Tuhanku, jika Engkau mendakwaku disebabkan dosa-dosaku, maka aku akan membela diri dengan pengampunanMu, seandainya Engkau menuntutku disebabkan kebakhilanku, akan ku sebutkan kepemurahanMu, dan sekiranya Engkau mencampakkanku ke dalam nerakaMu, akan ku khabarkan kepada para penghuninya betapa (dalamnya) kecintaanku kepadaMu…”

Oohh…


Bersambung lagi..

Monday, April 12, 2010

BUAT PEREMPUAN


Perempuan...
Biar rendah maharmu,
Namun tinggi maruahmu.

Perempuan..
Biar kecil nilai hantaranmu,
Asal besar harga dirimu.

Betapa ramai yang tinggi maharnya,
Namun sudah lenyap maruahnya...

Betapa ramai yang berpuluh ribu hantarannya
Sedang harga dirinya sudah lama tiada...

Aurat didedah,
Pergaulan asal mubah.

Bertepuk bertampar perempuan lelaki
Berduaan ke sana ke mari
Tiada siapa ambil peduli
Lalu terjadilah apa yang terjadi...

Lalu tiba masanya pertunangan,
Harga diletak setinggi bangunan,
Sedang diri hanya murahan
Berpindah tangan jantan ke jantan...

Duhai perempuan,
Harga dirimu bukan
Pada tingginya hantaran;
Namun pada akhlak dan sopan,
Serta malu bertunjangkan iman...




Wednesday, March 17, 2010

Fitnah vs "fitnah"

Salaam.

Mungkin kebanyakan dari kita sering terdengar di dalam ceramah- ceramah agama hatta di televisyen sekalipun, terkadang apabila si penceramah mengulas tentang fitnah lalu ia pun membawakan ayat "wal fitnatu asyaddu minal qatli" atau "wal fitnatu akbaru minal qatli".

Kemudian ia pun berpanjang lebar mengulas ayat tersebut dengan mengatakan dosa fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh kerana pembunuhan mungkin hanya melibatkan satu orang tetapi api fitnah yang dinyalakan akan boleh membakar ribuan nyawa yang tidak berdosa dan bla bla bla...

Namun tahukah anda bahawa si penceramah itu telah mentafsirkan Al Quran dengan hawa nafsunya semata-mata?

Sesungguhnya kalimah fitnah di dalam bahasa Arab tidaklah sama sekali membawa maksud fitnah di dalam bahasa Melayu! Fitnah di dalam pengertian Bahasa Melayu itu di dalam Bahasa Arab adalah dikatakan Buhtaan atau Ifk atau lainnya.

Adapun kalimah fitnah di dalam bahasa Arab seperti di dalam ayat Al Quran itu adalah bermaksud ujian, cubaan, syirik, kekufuran. Lihatlah kitab-kitab tafsir, terjemahan atau kitab ma'aanil Quran yang lain, tidak satupun yang merujukkan perkataan fitnah itu kepada fitnah yang dimaksudkan sang penceramah.

Semoga entry yang ringkas ini memberi peringatan kepada sesiapa yang membacanya agar lebih berhati-hati di dalam memperkatakan sesuatu di dalam urusan agama ini. Dan kami juga berharap agar setiap kita yang mendengar satu ucapan membuka minda dan akal dan menapis setiap yang masuk ke dalam corong telinganya dengan tapisan Al Quran dan Sunnah serta tafsiran para ulama yang mu'tabar.

Semoga kita menjadi di kalangan mereka "yang mendengar perkatan-perkataan lalu mengikuti yang terbaik di antaranya". Ameen.

Monday, March 15, 2010

MEMBULAT TEKAD

Jika engkau lelaki;
Jadilah sebenar laki-laki!
Jangan ujian menjadikan engkau undur diri!

Jika engkau punya cita-cita ;
Gantungkan ia di kejora sana !

Seandainya engkau benar laki-laki ;
Bersedia, dan jangan lari !

Jalan kepada cita-cita penuh pancaroba,
Laluannya sempit ; beronak pula.

Sekali melangkah teruslah melangkah !
Badai menerpa tabahlah !

Rebah bangun sendiri !
Bangun untuk berlari lagi !

Friday, March 12, 2010

JIKA HARI INI AKU MENANGIS...


Jika aku menangis hari ini..
Biarlah aliran air mata ini menjadi kali,
Melembabkan tanah
Menyuburkan pamah
Menumbuhkan bungaan nan indah
Mewangikan taman nan megah.


Jika aku menangis hari ini..
Biarlah air mata ini menjadi
Guyuran hujan di siang hari
Membasahi bumi kering mati
Menggembirakan hati sang petani
Dan kanak-kanak yang riang berlari..


Dan jika aku menangis hari ini..
Ah ! Mungkinkah aku menangis hari ini ?
Kerana tiada sebab wajar ku tangisi,
Kerana diriku lelaki sejati!

Wednesday, March 10, 2010

JADILAH BERANI!

Jadilah berani!
Depanilah realiti!
Jadilah laki-laki!


Jangan asyik mencari alasan
Melarikan diri dari kenyataan
Menidakkan keupayaan sendiri.

Dirimu adalah laki-laki ;
Jangan sesekali berhati berhati lemah !
Sekali melangkah teruslah melangkah !

Aku telah melihat kejayaan
Namun tidak ku temui yang akan menempanya !

Ku lihat keagungan tergantung di kejora
Tetapi manakah mereka yang ingin menggapainya?

Ku dapati ketinggian di puncak tinggi;
Apa masih adakah yang tega mendaki?

Engkau tidak ingin dihina;
Namun kemalasanmu menjadikanmu hina!

Engkau marah pabila dikata;
Tetapi kesungguhan tekad; tidak kau milikinya!

Hanya yang dapat ku lihat;
Adalah para banci yang luntur semangat,
Mandul tekad dan tiada matlamat!

Sungguh perut bumi itu lebih baik bagimu dari permukaannya;
Wahai engkau yang lemah jiwa!

Tuesday, March 9, 2010

MEMAAFKAN vs MELUPAKAN


Memaafkan... 
itu mudah;
 
Melupakan... 
itu payah!

Tuesday, February 9, 2010

re: SEORANG LELAKI


Seorang lelaki
Adalah yang merentasi hidup sebagai seorang pahlawan.

Kehidupan ini adalah gelanggangnya,
Dan dia tidak akan keluar darinya
Melainkan sebagai seorang wira!


Jangan mudah untuk berkongsi air mata kesedihanmu dengan seseorang.
Kerana setiap peribadi mempunyai masalah mereka sendiri-sendiri.

Jika kesulitan menjengah wajahnya,
Hadapilah ia dengan tenang dan ramah.

Berharaplah akan rahmat belas Tuhanmu.

Seandainya hidupmu ini
Engkau tidak miliki seorang sahabat pun selain Nya, Memadailah Ia bagimu.


“seandainya aku ingin mengambil seseorang sebagai teman rapat, pastilah Abu Bakar adalah orangnya, namun yang mungkin
Hanyalah persaudaraan di dalam Islam yang suci.

Teman Yang Maha Tinggi,
Teman Yang Maha Tinggi…”

Monday, February 8, 2010

re: HIDUP ADALAH HIMPUNAN PERSEPSI


Suatu waktu dahulu,
Di Dunia Yang Tidak Terlihat..:

“Jiwa-jiwa adalah seumpama tentera-tentera yang berbaris.
Mana-mana yang saling menghadap akan saling berkasihan,
mana-mana yang saling membelakang akan berjauhan”

Antara kita telah ada yang saling berkenalan dahulu.

Kerana itu terkadang engkau akan dapati dalam kehidupan ini
Sekali-sekala, bilamana engkau berjumpa
Seseorang buat pertama kalinya,
Namun jiwamu terasa dekat dengan jiwanya,
Bahkan engkau merasa seakan-akan pernah melihatnya Tetapi hanya engkau tidak pasti bila dan di mana…

Déjà vu

Ya, itu perkataan yang terkenal untuk menyatakannya..

Pernahkah engkau terfikir atau berfikir sejenak, mungkinkah engkau telah mengenalinya
‘suatu waktu dahulu’?


Di dunia ini ada lelaki-lelaki yang saling mengasihi
Dan bahkan mencintai,
Bukan kerana nafsu syaitani,
Bukan pula kerana ingin bermaksiat kepada Ilahi..


Malam-malam yang panjang telah mereka rentasi 
Bersama-sama merenung langit dan bintang-bintang, 
Lalu jiwa mereka terbang
Ke Alam Yang Tidak Terjangkau.

Keagungan Tuhan mereka resapi,
Dan jiwa-jiwa menjadi bertambah cinta…


Dunia ini penuh keajaiban,
Dan dalam dirimu terdapat alam yang lebih luas
Berserta keajaiban-keajaiban yang mencengangkan.

“Dan pada dirimu, apakah kamu tidak memerhatikan?”