Monday, November 2, 2009

SATU KELUHAN..

Tuhan,
Setiap orang berbicara tentang dirinya
maka di manakah orang yang berbicara 'tentangMu'?


Tuhan,
Setiap orang mengajak manusia kepada dirinya
maka di manakah mereka yang mengajak kepadaMu?

JOM BELAJAR SEJARAH !

Salaam.

Di antara subjek yang amat menarik perhatian saya adalah Sejarah. 
Meskipun menyalin nota ( kalau di sekolah dahulu ) amatlah membosankan, namun memerhati dan menyelami peristiwa-peristiwa yang berlaku sangatlah mengujakan. 

Tidak kira sama ada sejarah bangsa, agama, biografi tokoh, pergerakan, negara dan lain-lainnya; semuanya membangkitkan keterujaan bagi sesiapa yang menelaahnya dengan minda yang berfikir.

Terkadang kita akan temui keajaiban-keajaiban yang tidak terjangka, keanehan-keanehan yang tidak terjangkau dek minda, bahkan tidak kurang kejadian-kejadian yang sama seperti yang kita baca di dalam lembaran sejarah tersebut berulang di hadapan mata kepala kita. 

Bak sebuah ungkapan "history repeat itself". Lakonannya masih sama, cuma pelakonnya yang berbeza.

Sekarang apa kata kita sama-sama menelaah rakaman sejarah yang pada saya amat menarik untuk diperhatikan. Saya tidak ingin membuat sebarang spekulasi nakal berkaitan hal ini, tetapi kita biarkan saja Imam As Suyuti rahimahullah bercerita kepada kita melalui terjemahan yang saya sodorkan untuk tuan-tuan dan puan-puan ini:

Telah menulis Imam As Suyuti rahmatullah ‘alaih di dalam muqaddimah kitab Tarikh Khulafa ( cet pertama 1988, Darul Kutub Al ‘Ilmiyyah, Lubnan; m/s 15 dan 16 ) pada fasal : hal-hal yang berselerakan di dalam biografi....

Telah berkata Ibnul Jauzi rh; telah menyebutkan Ash Shuli rh bahawa manusia mengatakan: “setiap pemimpin yang keenam akan dijatuhkan / dipecat / digulingkan”. 


Berkata ( Imam Ibnul Jauzi rh ): "Maka aku memerhatikan dengan saksama tentang hal ini, lalu aku kehairanan ( dengan kebenaran perkataan tersebut )!".
Urusan pemerintahan berada di tangan Nabi kita SAW, kemudian Abu Bakr r.anh, kemudian Umar r.anh, kemudian Usman r.anh, kemudian Ali r.anh, kemudian Al Hasan r.anh, lalu beliau dijatuhkan.

Kemudian Muawiyah r.anh, Yazid bin Muawiyah, Muawiyah bin Yazid, Marwan, Abdul Malik bin Marwan, Ibn Zubair r.anh, lalu dia digulingkan. Kemudian Al Walid, Sulaiman, Umar Ibn Abdul Aziz rh, Yazid, Hisyam, Al Walid lalu dia digulingkan. Kemudian urusan pemerintahan tidak lagi teratur di tangan Bani Umayyah.

Maka memerintah pula ( daripada Bani Abbasiyah ) As Saffah, Al Mansur, Al Mahdi, Al Hadi, Ar Rasyid, Al Amin, lalu dia digulingkan. Kemudian Al Makmun, Al Mu’tashim, Al Watsiq, Al Mutawakkil, Al Muntashir, Al Musta’iin lalu dia digulingkan.

Kemudian Al Mu’tazz, Al Muhtadi, Al Mu’tamid, Al Mu’tadhid, Al Muktafi, dan Al Muqtadir, lalu dia digulingkan sebanyak dua kali kemudiannya dibunuh. Kemudian Al Qahir, Ar Radhi, Al Muttaqi, Al Mustakfi, Al Muti’, dan At Thoi’, lalu di digulingkan. Kemudiannya Al Qadir, Al Qaim, Al Muqtadi, Al Mustazhhir, Al Mustarsyid, dan Ar Rasyid, lalu dia digulingkan. Tamat perkataan Ibnul Jauzi.

( Kemudian Imam As Suyuti rahmatullahi ‘alaih menyebutkan kritikan Imam Az Zahabi kepada kata-kata Ibnul Jauzi tersebut, lalu dijawab kritikan itu oleh Imam As Suyuti.)

Kemudiannya beliau meneruskan:
Dikatakan sebagai tambahan kepada apa yang telah disebutkan oleh Imam Ibnul Jauzi rh:

Memerintah selepas Ar Rasyid adalah Al Muqtafi, Al Mustanjid, Al Mustadhi, An Nashir, Az Zhahir, dan Al Mustanshir iaitu yang keenam, namun dia tidak digulingkan, kemudian Al Mu’tashim yang dibunuh oleh Tatar. Maka itulah akhirnya kekhalifahan.

Seterusnya terputuslah ( kosonglah ) kekhalifahan selama 3 ½ tahun. Kemudian dinaikkanlah Al Mustanshir, namun tidak sempat memerintah. Ia dibai’ah di Mesir, lalu ia mara ke Iraq lantas ditentang oleh Tatar dan dibunuh. Lalu kerusi khalifah menjadi kosong lagi selama 1 tahun.

Setelah itu didirikan pula kekhalifahan di Mesir. Maka yang pertama memerintah adalah Al Hakim, lalu Al Mustakfi, Al Watsiq, Al Hakim, Al Mu’tadhid, dan Al Mutawakkil iaitu yang keenam, lalu dia digulingkan. Memerintah pula Al Mu’tashim (1), lalu dia digulingkan setelah lima belas hari dan dikembalikan Al Mutawakkil namun digulingkan lagi. Lalu dibai’ah pula Al Watsiq, kemudian Al Mu’tashim (2), lalu dia digulingkan dan dikembalikan lagi Al Mutawakkil yang memerintah sehingga mangkat.

Kemudian Al Musta’iin, Al Mu’tadhid, Al Mustakfi, dan Al Qaim iaitulah yang keenam daripada Al Mu’tashim yang pertama (1) dan Al Mu’tashim yang kedua (2) lalu dia digulingkan. Kemudian Al Mustanjid yang sedang memerintah ( pada zaman Imam As Suyuti rh ) dan dia adalah khalifah yang ke 51 daripada Bani Abbasiyah.  


Tamat perkataan Imam As Suyuti.


Hmm.. 
Apa sebabnya saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan sekalian menjenguk sejenak tulisan Imam as Suyuti ini? 
Sekadar bahan berfikir.

Akhir kata, err.. mari kita pakat-pakat mengira bilangan Perdana Menteri Malaysia..
p/s: Will history repeat itself..again ? ;)


*****

p/s: Artikel ini tidak bertujuan mengajak pembaca menggulingkan pemerintah.

Thursday, October 29, 2009

AL ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD LIL IMAM IBN HAJAR

( Sambungan.. )

Dikatakan lagi: “ Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan hawa nafsunya sebagai tawanan. Sementara celakalah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan”.


“ Sesiapa yang meninggalkan dosa lembutlah hatinya. Sesiapa yang meninggalkan perkara yang haram dan memakan yang halal jernihlah fikirannya. Allah telah mewahyukan kepada sebahagian NabiNya: “Taatlah kepadaKu pada apa yang telah Aku perintahkan dan janganlah bermaksiat kepadaKu pada apa yang telah Aku nasihatkan”.


“Kesempurnaan akal adalah menuruti redho Allah dan menjauhi kemurkaanNya”.


“Tiada keterasingan bagi orang yang memiliki keutamaan dan tiada negeri / tempat tinggal bagi pemilik kejahilan”.


“Pergerakan untuk melakukan ketaatan adalah simbol (makrifah kepada Allah) sepertimana gerakan badan menandakan hidupnya pemilik badan tersebut”.


Sabda Nabi SAW: “Pangkal seluruh kejahatan adalah cinta dunia dan pangkal segala fitnah adalah menahan pemberian (al-‘usyr) dan zakat”.


Dikatakan: “Orang yang mengakui kekurangan selamanya terpuji. Pengakuan akan kekurangan (diri / amalan) adalah petanda diterima (amalan)”. Dikatakan lagi: “Mengingkari ni’mat itu tercela, bersahabat dengan orang bodoh pula membawa celaka”.

Berkata seorang penyair:

“ Wahai orang yang disibukkan dengan dunianya,
Sungguh! Panjang angan-angan telah menipunya,
Sentiasalah ia di dalam kelalaian,
Sehingga ajal hampir menjelang,
Maut pun datang tanpa amaran,
Kubur menjadi peti amalan,
Bersabarlah menempuh cubaan dunia,
Tidakkan mati sebelum ajalnya”….
Tamat Bab 2 perkara.

Thursday, October 22, 2009

DUHAI WANITA ! PERHIASANMU UNTUK SIAPA?

Tubuhmu disalut perhiasan,
Ditambah pula semburan wangian,
Jalanmu melenggang-lenggang,
Bagai itik pulang petang.

Oh perempuan!
Untuk siapakah dirimu engkau peragakan?
Apakah untuk dipuji teman-teman?
Ataukah ‘tuk menarik perhatian,
Jantan-jantan di jalanan?

Katamu; ini satu tuntutan,
Zaman sekarang beginilah keadaan,
Jika tidak berhias dipandang semacam,
Bukankah kecantikan itu nikmat Tuhan,
Dan nikmat itu patutlah ditonjolkan.

Hujahmu lagi; Islam itu agama keindahan,
Dan bercantik-cantik itu anjuran Tuhan,
Berbedak, bergincu dan berwangi-wangian,
Takkanlah itu pun satu kesalahan?

Kataku; dengarkan!
Berhias memang dibolehkan,
Berwangian juga tidak dilarang,
Berbedak bergincu; ah! Silakan!

Namun semuanya ada sempadan,
Berhiaslah bukan untuk tontonan,
Bukan pula untuk dibanggakan,
Tabarruj jahiliyyah; itulah yang Jangan!

Wednesday, October 21, 2009

KHUSYU' ITU APA?

Khusyu’ itu kerja hati. 

Terkadang tandanya nampak pada zahir namun adakalanya tidak nyata. 
Empunya diri lebih mengetahui perihal dirinya.

Sering kali kita mendengar khusyu’ itu begini dan begitu. 


Contohnya di dalam solat. 

Ada yang membayangkan khusyu’ didalam solat itu adalah dengan tunduk sehingga dagu menyentuh dada, tidak mendengar sebarang bunyi atau tidak lagi perasan dengan apa yang berlaku di sekitar apabila takbiratul ihram dimulakan, bahkan sehingga tidak terperasan siapa yang bersolat di kiri dan kanan etc..

Rasulullah SAW adalah orang yang paling khusyu’ di dalam solatnya. 

Tetapi Baginda juga pernah meringkaskan solatnya kerana mendengar tangisan seorang anak kecil. 

Baginda juga pernah melamakan sujudnya kerana belakang Baginda dinaiki oleh cucunya Hasan dan Husain. Baginda juga pernah bersolat sambil mendukung seorang anak kecil (cucu Baginda) bernama Umaimah. 

Baginda juga pernah mengisyaratkan dengan tangannya apabila mendengar salam yang diberikan oleh Ibn Mas’ud. 

Baginda juga pernah membukakan pintu untuk ‘Aisyah ketika sedang bersolat.

Baginda juga pernah memegang Ibn Abbas yang menjadi makmum di sisi kiri Baginda lalu memindahkannya ke sisi kanan Baginda.

Dan contoh-contoh lain yang banyak lagi.

Apakah ini semua menghalang khusyu’? 


Ataukah ada yang berkata itu adalah kekhususan Baginda SAW dan hati Baginda SAW tidaklah sama seperti hati-hati kita yang dipenuhi kelalaian dsb. 

Apapun, tegasnya khusyu’ itu adalah amalan hati.

Iaitu tumpuan yang bulat atau fokus yang jitu kepada apa yang menjadi maksud atau tujuan kita.

Pernahkah kita mencari satu perkataan di dalam sebuah kamus? 

Bukankah kita melewati helaian demi helaian dan perkataan demi perkataan, namun semua itu seolah tidak wujud -meskipun kita menyedari- dikeranakan di dalam minda kita hanya wujud satu perkataan, itulah perkataan yang kita sedang mencari maksudnya. 

Demikianlah bandingan khusyu’.
Atau pernahkah kita bertemujanji dengan seorang kawan untuk bertemu dengannya di tempat yang ramai orang, contohnya Suria KLCC atau pasar malam ? 

Betapa banyaknya wajah yang kita temui dan betapa ramainya manusia yang kita berselisih bahu, namun semuanya seakan tidak wujud, -meskipun kita menyedari- kerana di dalam minda kita hanya ada satu wajah, itulah wajah teman yang sedang kita cari. 

Itulah perumpamaan khusyu’.

Begitulah. 

Jika kita berdiri untuk bersolat, biar apapun yang kita lewati dan apapun yang berlaku –meskipun kita menyedari- , atau apapun yang kita lakukan, jadikan ia seolah tidak wujud, kerana di dalam hati kita hanya ada satu ‘Wajah’..
 

"Maka, ke mana saja engkau berpaling, maka di sana ada "Wajah" Allah"..

Dan walaupun engkau berdiri tegak seumpama tiang di dalam solatmu, namun biarkan hatimu menerobos awan mengembara di Alam Tinggi Yang Tak Terlihat. Kerana solatmu adalah "Mi'raj"!


Dan engkau melihat gunung-ganang lalu menyangka ia kaku di tempatnya, padahal ia bergerak sepertimana bergeraknya awan ( An Naml 88 )

Monday, October 19, 2009

AL ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD - Lil IMAM IBN HAJAR

( Sambungan )


Daripada sebahagian hukamak: “Jangan sesekali meremehkan kecilnya dosa kerana daripadanyalah bertunas dosa-dosa yang besar”.

Daripada Nabi SAW: “Tidak dinamakan dosa kecil jika ia berterusan dilakukan, dan tidak dinamakan dosa besar jika disertai penyesalan”.

Dikatakan: “Kesibukan para ’arifin itu adalah memuji Allah, sementara kesibukan para zahidin adalah berdoa kepada Allah. Ini kerana kesibukan orang ‘arif itu adalah Tuhannya sedangkan kesibukan orang zahid itu adalah dirinya sendiri”.

Daripada sebahagian hukamak: “Sesiapa yang menyangka ada pembela selain Allah, itu petanda kurangnya ma’rifah tentang Allah. Barangsiapa yang menyangka ada musuh yang patut dimusuhi melebihi hawa nafsunya, maka itu petanda kejahilannya akan nafsunya sendiri”.

Daripada Abi Bakr As-Siddiq r.anh berkenaan firman Allah swt; “telah timbul kerosakan di laut dan di darat disebabkan perbuatan manusia…: “daratan ialah lidah dan lautan adalah hati. Apabila rosak lidah maka rosaklah hati, dan apabila rosaknya hati menangislah para malaikat”.

Dikatakan: “Sesungguhnya syahwat akan menjjatuhkan raja ke taraf hamba, sedangkan kesabaran (mengawal nafsu) akan menabalkan seorang hamba sebagai raja. Apakah tidak engkau perhatikan kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha?’.

( Bersambung.. )



Sunday, October 18, 2009

BINGUNG...

Apakah yang sedang menimpa hatiku oh kawan?
Adakah ia sudah hilang pedoman?

Hatimu sedang dilamun cinta
Bagaimanakah dapat menafikan
Tandanya jelas kelihatan
Biarpun sejuta kali engkau menafikan


Oh masa, hentikan putaranmu
Kembalikan aku kepada masa lalu
Ketika aku telah meninggalkankan diriku
Di satu persimpangan dalam hidupku


Oh diri! kembalikan kesedaranmu
Engkau kini bukan lagi seperti dahulu
Keremajaan telah lama menghilang
Dan kini kedewasaan mendatang


Raihlah kemuliaan
Burulah cinta Tuhan
Kerana sampai masanya engkau kan pulang
Ke tempat dari mana engkau datang.


Hidup ini bukanlah apa-apa
Sekadar mengumpul bekalan
Sebelum meneruskan perjalanan
Sebuah permusafiran yang melelahkan.


Kematian akan menjelang
Kekasih akan ditinggalkan
Yang meneman hanya amalan
Dan cinta sebenar kepada Tuhan..

Thursday, October 15, 2009

AL ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD - Lil IMAM IBN HAJAR

Tulisan berwarna biru adalah ulasan penterjemah- Harap maklum.

Bab Ats-tsana'i ( Bab 2 perkara)
*[ aku tak mendapati perkataan yang tepat untuk menterjemahkan bab-bab kitab ini, jadi aku hanya meletakkan bab 2 perkara, bab 3 perkara dan seterusnya]

Diriwayatkan daripada Nabi SAW: “ Dua sifat yang tiada satu pun dapat menandingi kelebihannya, iaitu beriman kepada Allah dan melimpahkan manfaat kepada sesama muslim. Manakala dua sifat yang tiada sesuatu yang lebih buruk daripadanya ialah syirik kepada Allah dan mendatangkan kemudaratan kepada orang Islam”.

*Perkara yang disebutkan merangkumi pokok HablumminaLLAH dan Hablumminannaas.

Sabdanya lagi SAW: “Hendaklah kamu melazimkan duduk-duduk bersama para ulama dan mendengarkan perkataan para hukama (cendekiawan). Sesungguhnya Allah akan menghidupkan hati yang mati dengan nur hikmah (cahaya daripada kata-kata para hukamak) sepertimana Dia menghidupkan tanah yang gersang dengan siraman hujan”.

Daripada Abi Bakr As-Siddiq r.anh: “Sesiapa yang memasuki kubur tanpa bekalan (amal soleh beserta keimanan) adalah seumpama ingin belayar di lautan tanpa kapal”.

Daripada Umar Al-Khattab r.anh: “Kemuliaan (hidup) di dunia adalah dengan harta, sedangkan kemuliaan di negeri akhirat adalah dengan amal soleh yang dibawa”.

*[ Sesiapa yang mengamati keadaan zaman ini khususnya, pasti akan mendapati kebenaran ungkapan Umar r.anh di atas, betapa orang yang berharta dimuliakan sekalipun ia tidak langsung layak untuk dimuliakan. Alangkah banyaknya orang yang hartanya daripada jalan menipu, rasuah, elaun menjadi pengarah syarikat2 judi dan arak etc namun tetap dipandang tinggi dan diundi.]

Daripada Uthman bin Affan r.anh: “Kerisauan terhadap dunia menggelapkan hati; sementara kerisauan kepada akhirat memberi sinar pada hati”.

*Sesiapa yang fikirnya hanya dunia semata akan mendapati hatinya keras dan jauh daripada pintu hidayah.

Daripada Ali kwj: “Sesiapa yang mencari ilmu maka syurga akan mencarinya; barangsiapa yang mencari maksiat maka neraka akan mencarinya”.

Daripada Al-A’masy rh: “Barangsiapa yang modalnya adalah taqwa, maka lidah-lidah (manusia) akan menyebut keberuntungan agamanya. Barangsiapa yang modalnya adalah dunia, maka lidah-lidah (manusia) akan menyebut-nyebut betapa rugi agamanya”
*[sebutan di sini mungkin bermaksud selepas kematian seseorang]

Daripada Sufyan Ats-Tsauri rh: “Setiap maksiat yang berpunca daripada syahwat adalah diharapkan untuk beroleh keampunan. Manakala setiap maksiat yang berakar daripada kesombongan sukarlah diharapkan keampunannya. Ini kerana maksiat yang dilakukan iblis berpunca daripada rasa sombongnya, sementara kehinaan Adam a.s adalah kerana menuruti hawa nafsunya”.

*orang yang bermaksiat kerana kalah kepada hawa nafsunya lebih mudah kembali kepada Allah dan menginsafi kesalahannya berbanding orang yang kedua.

Daripada sebahagian zahid (orang yang zuhud): “Sesiapa yang melakukan dosa dengan tertawa, Allah akan menghumbankannya ke dalam neraka dalam keadaan menangis. Barangsiapa yang melakukan ketaatan sedangkan ia menangis, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dalam keadaannya tertawa”.


(bersambung)

TERJEMAHAN KITAB - PENGENALAN

Salaam.

Dah lama aku berhasrat nak menterjemah kitab-kitab ke dalam Bahasa Melayu, tapi usaha tersebut selalunya terhenti di pertengahan jalan saja disebabkan aral yang pelbagai.

Walaubagaimanapun aku akan cuba menyiarkan melalui blog ni sedikit demi sedikit terjemahan kitab2 Arab atau buku2 berbahasa Inggeris yang aku fikir menarik. Aku sebenarnya tak kisah pun samada orang nak baca atau tak. Yang penting bagiku adalah insyaAllah satu hari nanti aku berjaya juga sekurang-kurangnya menterjemah sampai habis walaupun sebuah kitab yang kecil lagi nipis.

So, sebagai permulaannya aku memilih untuk menyiarkan terjemahan dari kitab yang kecil dan nipis sahaja daripada karangan Al Hafizh Ibn hajar Al 'Asqolani yang bertajuk Al Isti'daad li Yaumil Ma'aad ( Persediaan/Bekalan Untuk Hari Yang Dijanjikan/Akhirat ). Kitab ini sarat dengan mutiara hikmah daripada pelbagai sumber. Ayat-ayatnya ringkas, namun menjadi panjang apabila diinterpretasikan ke dalam bahasa Melayu.

Meskipun Al Hafizh Ibn Hajar rahimahullah adalah seorang Amirul Mukminin di dalam ilmu Hadith, yang mana berupaya untuk mendatangkan sanad-sanad hadith, namun beliau di dalam kitab ini tidaklah menyebut sanad bagi hadith atau atsar yang dibawakan.

Aku tidaklah akan menterjemah kata demi kata (translate) seperti gaya bahasa kitab2 lama tetapi menginterpretasikan ayat2nya. Segala kekurangan adalah harap dimaafkan dan aku mengalu-alukan kepada sesiapa yang terbaca blog ni dan menemui kesalahan dalam terjemahanku agar memaklumkan untuk dapat diperbetulkan.

InsyaAllah bahagian pertama terjemahan akan menyusul dalam entry selepas ni pada hari ni jugak.