Monday, March 3, 2014

MENGENANG SAHABAT



Tak mengapalah..
Sekurang-kurangnya aku tahu bagaimana dan di mana harus aku mencarimu
tatkala masa menentukan waktunya sudah tiba untuk kita bertemu..

Sehingga itu kita biarkan segalanya berlaku mengikut kehendak Waktu,
dan kita jalani hari-hari seperti dahulu..
Engkau dengan hidupmu, dan aku dengan kehidupanku.
Destinasi kita mungkin sama, namun laluannya boleh jadi berbeza...



Tuesday, January 7, 2014

SATU PERSOALAN


Wahai orang yang telah dipakaikan pakaian kemuliaan!
Apakah yang membuatmu sanggup melumurinya dengan najis kemaksiatan?


NOTA-NOTA: FIQH AL-USRAH


Nikah Mut'ah..

Syeikh menerangkan panjang lebar tentang mengapakah mut'ah itu diharamkan. Setelah membentangkan dalil2 daripada Hadith2, maka dibentangkan pula dalil2 ma'qul (iaitu dalil2 aqli).

Apakah logiknya mut'ah itu diharamkan?
Kerana salah satunya ia menghilangkan kehormatan dan kemuliaan wanita yang diangkat tinggi oleh Islam.

Seorang wanita, ketika ia kecil dan meningkat remaja, ia dipelihara dan dijaga oleh bapanya. Sekiranya bapanya meninggal, maka tanggungjawab itu berpindah kepada datuknya atau saudara2 lelakinya atau bapa2 saudaranya sebelah ibu atau ayahnya.

Setelah ia berkahwin, maka ia berada pula dibawah penjagaan suaminya. Lalu ditakdirkan mereka memiliki anak2, maka seandainya suaminya meninggal terlebih dahulu, anak2nya akan mengambil alih tugas menjaga dan mengurusinya. Seandainya anak2nya telah meninggal dan ia memiliki cucu-cicit, maka mereka pula yang akan menjaganya. Si ibu atau nenek ini ibarat permaisuri di dalam keluarga itu.

Demikianlah yang ditetapkan Islam sekiranya ia berlaku di atas perkahwinan yang sah. Namun, apakah hal ini akan berlaku pada perkahwinan mut'ah?

Tidak sama sekali. Bahkan nikah mut'ah hanya menjadikan perempuan2 ibarat barang jualan yang sangat murah nilainya. Percayalah, wanita2 yang rela dimut'ahkan tidak akan dipandang mulia baik oleh masyarakat mahupun oleh lelaki2 yang bermut'ah dengannya.

Sampai bilakah ia akan dimut'ahkan? Selama mana kecantikannya masih wujud sahaja. Ketika umur sudah meningkat, kulit tidak lagi tegang, wajah tidak lagi berseri, mata tidak lagi bersinar ceria, ia tidak lagi bernilai di pasaran mut'ah.

Alangkah jauh bezanya wanita ini dengan wanita yang melalui pernikahan yang sah di sisi syarak.

Kata Syeikh lagi:

Seorang Dr. kawan saya (Misri juga) bercerita ketika beliau berada di sebuah negara di Eropah. beliau telah melihat seorang perempuan tua yang terketar-ketar ingin mengupas epal dan memakannya. Peristiwa ini berlaku di dalam sebuah keretapi bawah tanah (syeikh menyebutnya Metro).

Melihat keadaan wanita tua berkenaan, kawan saya ini menolong nenek tua tersebut mengupas dan menyuapnya. Lantas tiba2 wanita tua itu menangis dengan sebuah tangisan yang meruntun.

Lalu kawan saya seraya bertanya: "Apakah yang membuatmu menangis begini wahai ibu?"

"Saya punya beberapa anak, dan hingga saat ini sudah hampir 30 tahun saya tidak dipedulikan oleh mereka. Dan kini seorang asing (kawan saya itu) melakukan hal yang sungguh saya terfikir ini kepada saya. Hal ini menjadikan saya begitu hiba.." ujar nenek tersebut.

Apakah yang membuatkan anda melakukan hal ini kepada saya seorang yang tidak pun anda kenali? tanya wanita tua itu.

Kawan saya berkata:
"Demi Allah! Jika di negara kami, wanita2 seusia puan tidak akan dibiarkan begini. Bahkan mereka adalah sebenarnya dianggap Ratu di dalam rumah2 kami. Saya ketika memandang puan teringatkan kepada ibu saya yang hampir seusia puan. Dan agama kamilah yang mengajarkan kami hal sebegini".

"Apakah agama kamu yang mengajarkan hal ini?" tanya nenek tersebut.

Syeikh berkata: Dan inilah penyebab yang menjadi masuknya wanita tersebut ke dalam agama Islam..

Dan saya sendiri -sambung Syeikh-, ketika mula2 datang ke Malaysia, saya terlihat seorang perempuan tua yang bongkok mengayuh basikal dan terketar-ketar pergi ke pasar untuk membeli sayur2an dan buah2an.

Ini adalah kerana ia adalah seorang perempuan Buddha (Cina). Seandainya ia adalah seorang perempuan Muslimah, tentunya hal itu tidak berlaku kerana akan ada anak2nya yang menguruskan segala keperluannya.

Begitulah kemulian yang diperolehi oleh seorang wanita apabila ia melalui perkahwinan yang sah. Dan nikah mut'ah menafikan kemuliaan ini daripada seorang wanita...

Dan Syeikh terus menyambung penjelasannya..

Namun waktu tidak mengizinkan aku menyambung catatan ini buat masa ini..


~alfindani~ 
12.39 pm. 07 Januari 2014. Selasa


Thursday, January 2, 2014

MENGHAFAL AL-QURAN DAN PEMIKIRAN SISTEMATIK


Hari ini sudah masuk dua hari pada tahun baru 2014. Mudah-mudahan aku akan lebih produktif menulis di sini. Sekali-sekala ingin juga menulis panjang2 dengan gaya yang lebih akademik (kununnya).

Apapun aku lebih selesa menulis dengan gaya sendiri yang apa adanya saja. Kadang2 tulisan biasa2 pun ada nilai dan kadang2 ada juga tulisan yang nampak akademik dan penuh rujukan (copy paste) tapi hampeh! Harap2 jangan ada ahli akademik yang terasa sebab ia tidak merujuk kepada tuan2 semua.

~~~~

Otak Sistematik vs Otak Pasembor*

Berfikir secara sistematik, berfokus dan terpandu merupakan satu masalah bagi sebahagian manusia. Mereka yang gagal berfikir secara sistematik memiliki satu pola dan gaya berfikir yang bercelaru dan cacamarba atau saya katakan sebagai "Otak Pasembor".

Menjenguk-jenguk dan melepak-lepak di laman2 efbi dan forum2 perbincangan agama dan politik menampakkan gejala ini jika diperhatikan pada komen-komen yang terpapar. Suatu status atau topik perbincangan yang dibuka akhirnya akan keluar topik kepada macam2 perkara yang kita lantas akan terdetik "Aduh, apekebenda ni?!".


Si pemilik otak pasembor ini kebiasaannya tidak mengesani bahawa dirinya mengidap kecelaruan berfikir bahkan akan menafikan dan menyanggah lantas menyerang balik pula jika hal itu jika diberitahu kepadanya.

Menghafal Al-Quran dan Pemikiran Sistematik

Otak kita bolehlah diibaratkan seperti komputer yang anda tatap sekarang. Tentunya komputer anda memiliki drive C dan D. Kemudiannya di dalamnya diisi pula dengan folder2 tertentu yang di dalamnya pula mengandungi fail2 yang bersesuaian dengan folder berkenaan.

Demikian juga otak kita perlu dioperasikan. Jika pada komputer anda semua file tidak difolderkan bahkan dicampak semuanya di bahagian "Desktop" tentunya menyakitkan mata. Atau juga diletak tanpa folder di drive C atau D ikut sedap -"ikut dan" kata org Kedah- pastinya akan menyukarkan mencarinya di saat memerlukan nanti.

Begitulah halnya dengan otak kita. Jika semua maklumat dan masukan ilmu tidak difolderkan atau dilacikan secara sistematik, kita akan mengalami kesukaran yang sama ketika berhajat kepadanya bila2 masa.

Menghafal Al-Quran adalah salah satu cara paling berkesan membina pemikiran yang sistematik dan terpandu. Sebuah buku tebal berhalaman 600 muka surat, tanpa gambar, hanya tulisan semata-mata dengan bahasa asing kini terletak di hadapan anda. Bayangkan sukarnya untuk anda menghafalnya!

Namun, para ulama Islam yang sangat bijaksana telah mencipta kaedah2 sehingga memudahkan lagi pekerjaan mengahafal Al-Quran tersebut. Jika kita perhatikan, Al-Quran memangnya tersusun dengan surah2. Ada surah yang panjang dan ada surah yang pendek2 serta ada pula yang pertengahan. Ini adalah sesuatu yang tawqifi (ketentuan wahyu) dan bukannya susunan dan rekacipta para ulama atau sahabat Nabi SAW.

Akan tetapi, para ulama kemudian telah membahagi-bahagikan pula Al-Quran itu kepada juzuk2 yang kita ketahui bilangannya 30 juzuk. Ini adalah sebenarnya berasal daripada kebiasaan sesetengah ulamak yang istiqamah mengkhatamkan Al_Quran dalam masa sebulan. Kemudian, di dalam setiap juzuk pula mengandungi rubu'2 yang mana setiap setengah juzuk memiliki 4 rubu'. Ini adalah bagi Mushaf Rasm Uthmani. Bagi Mushaf jenis lama (Quran Majid/ Mushaf India) pula terdapat ruku'2 yang bertanda huruf 'ain.

Setiap juzuk dan setengah juzuk serta rubu' itu memiliki tandaan2 yang tersendiri.

Jadi, bagi pelajar2 tahfiz, mereka akan menghafal (mengikut kebiasaan) berpandukan kepada rubu'-rubu' dan ruku'-ruku' ini. Bermakna mereka menyusun setiap hafalan harian mereka mengikut fail2 tertentu, di dalam folder2 tertentu pada laci2 tertentu di dalam minda mereka.

Jika boleh kita gambarkan susunan memori mereka dalam bentuk tulisan adalah sebegini :

 rubu' sekian2 - juzuk sekian2 - surah sekian2 -

Atau lebih terperincinya seperti berikut:

rubu' sekian2 ( contohnya rubu' wa idzistasqa Musa) - halaman sebelah kanan/kiri - kedudukan ayat pada halaman samada atas, bawah atau tengah2 halaman - beberapa perkataan terawal pada ayat paling atas muka surat berkenaan - juzuk sekian2 -surah sekian2. 

Itu belum lagi tentang photographic memory yang terhasil ketika menghafal dan akibat ulangan2 hafalan yang padu sehingga menjadikan minda ibarat scanner yang mengimbas keseluruhan tanda2 dan gambaran yang terdapat pada setiap halaman. Kemudian minda mereka bertukar pula menjadi ibarat projektor yang memancar kembali imbasan2 imej tadi ke mana2 sahaja mereka memandang sambil mulut mereka kumat-kamit mengulang2 hafalan.

Kerana itu jika anda berpeluang melawat ke pusat2 tahfiz cuba anda perhatikan ketika mereka galak mengulang hafalan, anda dapat melihat mereka memandang ke dinding, kadang2 memandang kepada anda -namun seolah-olah tidak melihat anda- sambil boleh pula tersenyum dan mengangkat tangan kepada anda dan mulutnya terus2an kumat-kamit membaca.

Untuk menambah fokus, maka kerana itu jugalah umumnya madrasah2 dan pusat2 tahfiz tidak menambah pelajaran2 lain selain hafazan dan beberapa pelajaran yang berkaitan dengan Al-Quran juga seperti tajwid dan tafsir bagi mengelakkan bercelarunya tumpuan fikiran yang akan mengakibatkan kualiti dan kuantiti hafazan harian terjejas dan lambat.

Ini adalah satu perkara penting yang sangat2 perlu difahami oleh ibu bapa yang menginginkan anak2 mereka menghafal di usia muda. Namun disayangkan sungguh ramai ibu bapa yang tidak faham hal ini dan memandang serong dengan menyangka madrasah2 dan pusat2 tahfiz ini meminggirkan akademik dan membuang dunia.

Kembali kepada topik.

Demikianlah sedikit sebanyak bagaimana proses menghafal dan mengulang2 hafalan Al-Quran dapat menjana pemikiran yang sistematik bahkan melampaui sehingga menghasilkan pemikiran fotografik. Dan itu adalah cerita lain.

Walhasil, sekiranya anda memiliki anak2, asuh mereka untuk minat menghafal Al-Quran, dan mulakan hidup mereka di awal usia dengan memberi mereka menghafal Al-Quran. Beri mereka masa untuk fokus menghafal Al-Quran 3,4 atau 5 tahun, kemudian beri mereka belajar yang lain2 dan anda akan dapati mereka mampu mengatasi rakan2 sebaya mereka.

Anda boleh memilih untuk percaya atau tidak, juga untuk bersetuju atau tidak bersetuju.

Dengan itu saya menutup kes ini.


02 Januari 2014, Khamis 10.00 pagi.


Nota kecik:
*_ Pasembor adalah makanan popular Pulau Pinang (Kedah juga) yang segala jenis bahan dicampur gaul sekali daripada cucur udangnya, timunnya, sengkuangnya dan lain2 lagi.

Ketika memikirkan orang yang memiliki pemikiran cacamerba ini entah mengapa tiba2 teringatkan pasembor, lantas terpacul di minda istilah Otak Pasembor ini. Dan saya belum lagi menjumpai atau terbaca di mana2 akan istilah ini.. Kalau ada terjumpa nanti maka tahulah aku yang si penulisnya pernah membaca blogku ini. Haha




Monday, December 23, 2013

UPDATE BUKU#5 - TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR


Sebelum ini aku ada mengepos entry berkenaan buku tulisan HAMKA dengan tajuk di atas di SINI.
Ketika itu aku masih belum menemui edisi ruminya.

Beberapa minggu sudah, ketika meninjau-ninjau sudut buku di ISTAFA Jalan Sultanah, Alor Setar sambil menunggu orang rumah membeli barang aku terserempak dengan edisi rumi buku berkenaan.

Apa lagi! Terus aku sambar senaskhah daripada hanya dua naskhah sahaja yang terdapat di rak.



Sebagai catatan, HAMKA hanya mengambil masa selama lima (5) hari sahaja bagi menulis buku ini! Tepatnya bermula pada hari Ahad, 17 Muharram 1378 bersamaan 03 Ogos 1958 dan selesai pada hari Jumaat 22 Muharram 1378 bertepatan 08 Ogos 1958 di Jakarta.

Naskhah aslinya bertulisan jawi adalah terbitan Persatuan Muhammadiyah Pusat Singapura.

Dengan harga RM15, buku terbitan semula Pustaka Dini pada tahun 2010 ini berbaloi untuk dimiliki.

Menariknya pada kata pengantar pengalih aksara dan penyunting istilah buku ini oleh Djamal Tukimin, beliau menyifatkan buku Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor adalah "The Lost Manuscript" HAMKA.

Berikut saya petik sedikit permulaan pengantar beliau di sini:

Sebenarnya buku yang satu ini dari karya Allahyarham Prof. Dr. Abdul Malik bin Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Prof. Dr. Hamka dan Buya Hamka saja tidak terdapat di mana-mana dalam daftar buku-bukunya yang pernah diterbitkan sepanjang hayatnya.

Pada baris yang lain beliau berkata:
Buku polemik dan tangkisan ini merupakaan buku yang dianggap sebagai The Lost Manuscript yang sama sekali tidak diketahui ramai orang baik di Indonesia, Malaysia mahupun di Singapura.

Kata pengantar beliau diakhiri dengan ayat berikut:
Namun demikian saya bertanggungjawab sepenuhnya atas karya Buya Hamka yang diterbitkan ini setelah mengalami masa ghaibahnya sebagai "The Lost Manuscript" sekitar 50 tahun yang kini kembali ke rumah khazanah Islamiyah di Alam Melayu Nusantara ini. Kecuali, salah dan silap, harap maaf.



Sehingga ke saat entry ini ditaip saya masih belum berkesempatan menghabiskan bacaan edisi rumi ini -edisi Jawinya sudah habis dibaca lama dulu- dan memperbandingkan dengan naskhah asli bertulisan jawi peninggalan Almarhum Tok Ayah yang ada dalam simpanan saya.

Namun ketika berkesempatan menyelak beberapa mukasuratnya saya telah bertemu dengan alih aksara yang salah dan gantinama yang wajar disertakan nota kaki kerana perbezaan bahasa dulu2 dengan kini. Iaitu pada mukasurat 14 edisi ini yang mana menukilkan kembali salinan kenyataan Mufti Johor yang ada disertakan gambar asal edisi jawinya.


Ia berbunyi seperti berikut:

"Kaum kaum - muda ini mengambil fatwa-fatwa mereka dari Qadiani dan Hassan Bandung dan mereka tidak percaya kepada beberapa tiang-tiang agama Islam. Mereka ini dinamakan ulama-ulama "al-maklum minalaziina bi darurah," kata Datuk itu.

Pada kata yang ditebalkan oleh saya di atas yang pertama adalah gantinama "Mereka ini". Molek sekali jika disertakan tambahan penjelasan di dalam kurungan atau nota kaki sebagai ( yakni perkara2 tersebut) yang mana kembali kepada tiang2 agama Islam agar tidak disalah kembalikan oleh sebahagian pembaca yang tidak mesra interaksinya dengan gaya bahasa klasik gantinama tersebut kepada Kaum kaum - muda yang disebut di awal ayat.

Perkataan kedua yang dihitamkan adalah "al-maklum minalaziina bi darurah".
Ini adalah salah faham yang berpunca dari satu titik sahaja. Iaitu pada huruf Dzal yang mana sepatutnya adalah huruf Dal.

Berkait hal ini mengingatkan saya dengan lawak P. Ramlee di dalam Nujum Pak Belalang pada adegan teka-teki di manakah terletaknya kehebatan Hang Tuah. Iaitu pada huruf Taa-nya. Yakni pada titiknya. Benar P. Ramlee dalam hal ini.

Inilah salah satu keistimewaan Bahasa Arab yang mana memadai dengan tersilap satu titik sahaja sudah boleh membawa kepada salah faham makna. Ada cerita lain yang terkait juga dengan hal ini namun saya tidak berhasrat menaip panjang.

Berbalik kepada perbincangan kita, saya kira di dalam edisi jawinya memang ditulis Dal. Nanti saya semak semula. Namun jika salah tulis dengan Dzaal pada edisi jawinya pun hal ini perlu diperbetulkan.

Jadinya ia sepatutnya berbunyi: "Al-maklum minaddiin bi darurah" yang bermaksud "perkara2 dalam agama Islam yang semua orang Islam tahu". Contohnya kewajipan solat, haram arak dsb. Tanyalah orang sejahil-jahil orang Islam kaki maksiat yang fasiq dan tak pernah solat adakah solat 5 waktu itu wajib ditunaikan pastinya dia akan menjawab ya.

Dengan itu kalam Tuan Mufti yang dinukilkan itu sepatutnya berbunyi "Mereka itu (yakni tiang2 / prinsip2 / hukum2 asas agama Islam) dinamakan oleh ulama2 sebagai al-maklum minaddiin bi darurah (yakni perkara2 asasi di dalam agama Islam yang seluruh orang Islam memang sedia maklum).

Intaha (tamat).

Saya menyatakan kesilapan di atas bukanlah bermaksud mencari2 kesalahan penterjemah dan pengalih aksara. Namun ia hanya sebagai sedikit semakan yang berguna kepada mungkin sesiapa yang membaca posting ini dan memang memiliki edisi rumi naskhah ini atau berhasrat memilikinya.

Semoga saya dikurniakan Allah kesempatan untuk membuat semakan menyeluruh dan menambah baik mana2 yang kurang yang mungkin wujud selain dua yang saya nyatakan di atas untuk saya majukan kepada penerbit edisi rumi itu. Ameen.

Tetapi jika ada yang sudah mendahului usaha ini, baguslah. Mudah-mudahan.

Wallahu A'la wa A'lam. 




APA ADA DENGAN NAMA SAMARAN?



Menulis menggunakan nama samaran / nama pena / laqab dan lain2 yang bukannya nama sendiri tidaklah bererti si penulis seorang yang pengecut atau munafik atau apa saja sangkaan2 buruk yang lain.

Aku ada terbaca serangkap kata Sasterawan Negara, Dr. Baha Zain bahawa zaman dahulu para penulis kita (Melayu) banyak menggunakan nama samaran kerana yang penting bagi mereka adalah idea yang dikemukakan dan bukannya diri sendiri. Namun berbeza dengan zaman kini.

Hal ini aku nyatakan kerana beberapa waktu lepas ada terbaca sebuah tulisan seorang yang terkenal juga (zaman ini zaman mudah menjadi terkenal) di FB yang menyatakan penulis yang tidak diketahui identiti "di zaman penuh fasad ini, sama ada sang penulis itu baik hati tetapi sangat pengecut, atau berniat jahat tetapi bijak memangsakan massa."

Semoleknya tidaklah perlu kita terlalu menyesakkan benak dan kotak fikir kita dengan andaian2 dan sangkaan2 negatif. Semua kita dikurniakan akal, dengarkan atau baca, lalu menganalisa lantas pilih yang terbaik. Tinggalkan yang buruk, ambil yang baik2. Buang yang keruh, ambil yang jernih. 

Sungguh berapa banyak kata2 hikmah yang kredit dihujungnya pergi kepada Anonymous.

 


Wednesday, December 18, 2013

...



Biarkan semuanya terus naik.. 
Kerana kenaikan ini menjemput datang sebuah kejatuhan...

Ribut, jika makin hebat menghentam bererti semakin hampir redanya.
Hujan, jika makin melebat, petanda akan menyusul seriat.
Malam, tika makin pekat gelemat, petanda fajar makin mendekat.
"Bukankah subuh itu sangat hampir waktunya?"..




Saturday, December 7, 2013

BUKU #13 - MANUSIA TERKAYA DI BABYLON



Aku masih ingat.
Hari itu hari Ahad, aku turun ke JB dari Skudai dengan hasrat di hati hendak turun KL. Entah agaknya ada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC kalau tak silap.

Namun entah bagaimana aku tidak pula ke Larkin sebaliknya mengambil arah ke bandar. Sesampainya di JB aku berlegar2 dahulu di beberapa tempat dan kemudian ke KOTARAYA, tempat di mana akhirnya aku menemui naskhah yang membuatkan aku terus jatuh cinta pandang pertama.

Akhirnya duit tambang yang sepatutnya untuk tiket bas ke KL menjadi mahar untuk ditukarkan dengan buku yang 'rare' ini.








BANGSA MELAYU - MARILAH BERSATU !



Ini adalah sebuah rencana yang ditulis di dalam Majalah Qalam Bil.4, November 1950 di muka surat 35-37. Majalah ini saya dapatkan daripada peninggalan2 arwah Tok Ayah saya.

Qalam diterbitkan di Singapura di dalam tulisan Jawi. Sesiapa yang boleh membaca Jawi dipersilakan membaca dengan meng'klik' pada gambar dibawah.

Kulit hadapan Qalam bilangan 4 ini sangat2 menarik perhatian saya.
Lihat bagaimana penjajah Belanda yang beberapa tahun sebelum itu menjadi tuan di Indonesia terpaksa tunduk hormat kepada Presiden Indonesia, Sukarno.

Saya telah mengimbas dari kulit ke kulit majalah ini serta beberapa lagi majalah2 lama yang lain dan menjadikannya dalam bentuk PDF, namun masih belum berkesempatan memuat naik ke internet.

InsyaAllah akan dimaklumkan di blog ini jika telah dimuat naik supaya dapat pula dimuat turun dan dibaca oleh sesiapa yang berminat.