Wednesday, February 8, 2012

HIKMAH - #4

"Memuji Allah di waktu senang dan susah
adalah petanda sempurnanya Ma'rifah"

HIKMAH - #3

"Berfikirlah untuk mendapatkan ilmu,
sebelum kurnia ilmu tanpa berfikir datang kepadamu"

DEAD END


Hati, 
kalau sudah lama terdedah kepada udara kehidupan yang tercemar, 
ia akan layu dan hampir mati.

Kalau begitu,
Minta cuti 3 hari. 
Deal dengan isteri; "Beri saya 3 hari untuk bersendiri."
Tiada akhbar, tiada tivi, tiada rokok, tiada call dan SMS, tiada internet...

Cuma baca Al-Quran dan terjemahannya setiap hari.
Ditambah dengan membaca kisah Nabi dan Sahabat Nabi.

Ambil masa sebentar asingkan diri.
Sendiri..

Setiap waktu solat, ke masjid hadirkan diri.
Cuba jadi orang yang terawal sampai dan yang terakhir pulang dari masjid.

Kunci mulut rapat2.
Jangan bercakap selain yang sangat perlu diucap.
Jika ada yang menyapa, jadikan senyuman sebagai jawapannya.

Kurangkan makan, kawal pandangan.
Kurangkan pergaulan selain dengan Al-Quran.

Akal dan hati, kawal!
Jangan biarkan ia menerawang, selain ingatan kepada hidup yang kekal.

Selepas berjemaah Isyak, tidurlah.
Di akhir malam bangunlah.

Selepas berlalu 3 hari, periksa hatimu.
Kau akan dapati ia sangat berbeza dengan hari ini.

Jika hatimu masih seperti hari ini,
Berdoa kepada Tuhan; "Ya Allah! Hatiku telah benar2 mati. Berikan aku ganti!"


***

Jika terlalu banyak ikatan yang menyangkut pada hati, kita akan dilalaikan dari maksud hidup yang hakiki. 

Orang yang ketagihan twitter & facebook, hatinya dipenuhi ingatan kepada twitter & facebook. 
Orang yang ketagihannya politik, ingatannya kepada sensasi2 politik. 
Orang yang obsesinya artis & gossip2, ingatannya dipenuhi artis2 & gossip2. 
Orang yang ketagihan ber'SMS' dan ber'BBM', terjaga dari tidur saja, yang pertama menerjah ingatannya adalah handphone. 
Dan begitulah seterusnya.

Lalu, ingatan kepada Allah pudar.
Akhirat terasa hambar.
Agama terasa terlalu mengikat.
Solat dirasa membebankan.

Andai hati ingin dikembalikan kepada fitrahnya, cantas segala ikatan2 itu.
Jika hatimu sebuah rumah, jangan biarkan semua itu melepasi pintu!
Bahkan jangan benarkan ia melintasi pagar rumahmu!
Kerana di dalam hatimu ada Cinta Ilahi, sedang mereka semua para pencuri!

Wednesday, February 1, 2012

KEJUTAN BUDAYA

Kalau seseorang dari hujung desa, pertama kali disapa angin kotaraya lalu terkena kejutan budaya, itu agak kurang bahayanya.

Namun, jika seseorang yang tersasar haluan hidupnya, lalu kembali tersedar dan kembali mencari lorong cahaya, tanpa panduan yang kena gaya, kejutan budayanya lebih bahaya. Sehingga habis semua orang lain akan disesatkan dan dibid'ahkannya, bahkan dikafirkannya pun ada juga.

Serasa seperti semua umat buta dan hanya dirinya di bawah cahaya.

Kejutan budaya ada di mana-mana. Dalam hal dunia, dan hal akhirat juga. Medan ilmu dan medan agama juga ada kejutan budaya di sana.

Bersederhana, bersederhana dan bersederhana..

Monday, January 23, 2012

DI MANAKAH PINCANGNYA DEMOKRASI? - 3

Sambungan dari SINI dan SINI.

Maafkan saya sekiranya entry ini mengganggu perasaan anda dengan bahasa yang agak mungkin kedengarannya kasar.

Namun saya di sini membincangkan sesuatu yang jika tidak dinyatakan seperti mana keadaannya yang sebenar boleh jadi ia gagal menterjemahkan maksud apa yang ingin saya sampaikan. Dengan itu saya memulakannya dengan memohon ribuan kemaafan anda.

Kita kini pada perbincangan dimanakah pincangnya sistem demokrasi yang diamalkan kini? Telah saya jelaskan di dalam dua siri sebelum ini tentangnya dan kini adalah fakta yang seterusnya.

Sistem demokrasi berpilihanraya seperti yang diamalkan kini mewujudkan kerajaan yang PENAKUT.

Sebelum sesiapa melontarkan kemarahannya dengan kenyataan dan perkataan itu, biar saya katakan bahawa ini adalah realiti yang tidak dapat disangkal sesiapa termasuk anda yang sedang membaca!

Mari kita lihat dahulu kepada situasi yang lebih sederhana.

Gambarkan seorang ayah yang mempunyai anak remaja yang sedang membesar. Oleh kerana kegagalan si ayah mendidik si anak atau entah pengaruh kawan-kawan si anak, maka anak bertukar menjadi liar dan sukar dikawal.

Anak ini balik rumah lewat malam dan menjerkah agar dibukakan pintu rumah yang berkunci, lalu si ayah bangun membuka pintu untuk anaknya. Anak pula memarahi si ayah kerana lambat membuka pintu dan si ayah diam sahaja.

Anak perempuan keluar rumah mendedah aurat, dibawa lelaki membonceng motosikal ke hulu ke hilir dan si ayah tidak berani hendak menegur.

Bahkan sehingga ada yang lebih teruk lagi, kawan lelaki anak perempuannya itu berani datang ke rumah mengambil anak perempuan ini untuk diusung ke sana ke mari tanpa si ayah menegah sepatah pun.


Anak lelaki bahkan perempuan juga berpakaian seluar pendek, boxer, mini skirt di dalam dan di luar rumah, anak lelaki memakai rantai tidak mampu ditegur atau dimarahi oleh si ayah.

Anak tidak solat, tidak puasa dan tidak pergi bersolat Jumaat sambil terlentang menonton tivi atau tidur terbongkang di rumah, si ayah takut untuk menegur.


Dan bermacam2 lagi contoh yang banyak jika hendak disenaraikan.

Apakah pendapat anda tentang seorang ayah yang seperti itu?

Ayah jenis apakah itu?

Penakut dengan anak sendiri sehingga membiarkan kemungkaran dan kerosakan perangai anaknya tanpa ditegur dan dididik sepatah kata?


Alasannya terlalu sayang mungkin.
Takut anak lari dari rumah mungkin.
Tidak mahu kecoh-kecoh kerana nanti anak melawan cakap akan mendatangkan malu kepada jiran mungkin.
Mengharap anak berfikir sendiri, insaf dan kemudian berubah mungkin.

Apakah alasan2 dapat diterima bagi menjustifikasikan tindakan yang tidak langsung menggambarkan kedudukan seorang ayah itu?

Bagi saya tidak samasekali!

Seorang ayah patut bersifat sebagai seorang ayah. Ia perlu kepada ketegasan walaupun ia juga perlu mendengar dan menyelami fikiran, hasrat dan cara berfikir anaknya namun kendali keputusan dan tindakan adalah terletak di tangannya.

Tidak semestinya mendengar dan meraikan fikiran dan pandangan anaknya memestikan ia mengikut telunjuk anaknya, bahkan ia lah yang semestinya mendidik dan memandu cara berfikir anaknya dengan menunjukkan baik dan buruk berdasarkan pengalaman hidup dan pengetahuannya serta kedudukannya sebagai bapa dan pemimpin keluarga.

Jika anak sudah di peringkat remaja yang masih tinggal bersama namun tidak bersolat 5 waktu misalnya, si ayah patut mengambil tindakan tegas menghalau saja keluar dari rumah itu setelah disuruh dan dinasihati sebaiknya.

Ada ayah yang berani melakukan sebegitu?
Zaman dahulu ada yang melakukannya.. Zaman kini? Si ayah pun 2 X 5 tidak bersolat.

Penyakit takut tak bertempat ini kini semakin merebak pula kepada guru2 di sekolah yang takut untuk menegur murid yang melakukan kesalahan dan pelanggaran disiplin.

Takut disaman, keluar berita di dalam akhbar, kereta dicalarkan, dibelasah di luar pagar sekolah dan sebagainya......

Nah, sampai di sini kita mengalihkan kembali pandangan kepada skop perbincangan kita yang sebenarnya iaitu kepincangan demokrasi sehingga mewujudkan sebuah kerajaan yang TAKUT kepada rakyatnya sendiri.

Sama seperti keadaan si ayah tadi, maka kerajaan yang terlahir daripada sistem undian majoriti 5 tahun sekali seperti di negara kita ini sentiasa di dalam kebimbangan dan ketakutan untuk melaksanakan satu-satu tindakan.

Kita boleh melihat unsur2 ketakutan dan kebimbangan itu di dalam tindak-tanduk perlaksanaan satu-satu dasar.

Ada dasar yang diwar-warkan berdegar-degar hendak dilaksanakan, namun akibat desakan sesetengah golongan maka akhirnya ia lenyap begitu sahaja. Contohnya banyak sekali. Anda yang sering membaca akhbar pasti akan teringat contoh2 yang saya bayangkan itu.

Kemungkaran2 yang dipromosikan terbuka di media2, billboard2 iklan serata negara, hiburan melampau di media2 dan lain2 lagi, ada kerajaan mengambil langkah menghentikannya beransur2? Ataukah semakin berleluasa jadinya?

Apakah punca ketakutan tersebut?
Kehilangan populariti yang membawa kepada kekurangan sokongan seterusnya kekurangan undi lalu BOOM! Tumbangnya kerajaan!

Itulah mimpi ngeri yang tidak mahu dialami oleh mana2 pihak pun yang berada di tampuk kuasa. Baik yang sedang berkuasa mahupun yang sedang mengidam kuasa.

Ketakutan ini mendorong sesebuah kerajaan itu melakukan sesuatu mengikut telunjuk dan kemahuan masyarakat terbanyak sekalipun kemahuan masyarakat terbanyak itu sungguh sesuatu yang tidak baik samsekali.

Tidak mampu untuk menegur, tidak mampu untuk mengambil tindakan...

Kerajaan jenis apa ini yang takut kepada rakyatnya sendiri dalam melaksanakan kebaikan, mendisipilinkan kehidupan dan menegur kesalahan mereka?


*****



Malam ini adalah malam Tahun Baru Cina 2012.
Saya memiliki seorang bayi berusia 2 bulan yang baru sahaja dapat tidur setelah semenjak petang tadi memeningkan kepala ibunya akibat kembung perut yang menyerangnya.

Tidak sampai setengah jam ia tidur, dan jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam dan tiba2 berdentum di sana sini dengan bunyi mercun sehingga mengejutkan bukan sahaja bayi bahkan orang2 tua dan sesiapa sahaja yang sedang tidur atau berehat!

Saya angkat topi dan tabik hormat kepada anda jika anda di kedudukan saya dan anda tidak merasa marah sedikit pun!
Tetapi saya amat marah!

Hal sebegini sudah lama. Bukan sahaja di malam Tahun Baru Cina seperti malam ini, malam Awal Tahun Baru, malam 2 Hari Raya, Deepavali, Krismas dan macam2 perayaan lagi pasti akan ada letupan mercun yang membingitkan dan sangat mengganggu di waktu malam.

Bakaran mercun, ceramah2 dan konsert2 di tempat terbuka, bacaan2 Al Quran yang diperdengarkan sebelum masuk waktu di masjid2 dan surau, lagu2 dan muzik2 ketika kenduri kahwin, khutbah Jumaat, solat dan wirid yang memakai speaker luar dan lain2 lagi yang mana sistem bunyi semua itu  mengganggu ketenteraman awam patutlah dilarang sama sekali. Lebih2 lagi di waktu malam hari.

Kecuali azan yang mengambil masa tidak sampai 5 minit setiap kali, maka semua yang tersebut di atas dan seumpamanya mestilah dikenakan denda yang tinggi atau penjara beberapa hari atau apa saja tindakan yang difikir perlu bagi sesiapa yang ingkar.

Tetapi saya ragu2 bahawa kerajaan akan mengambil langkah seperti itu.

Anda fikir mengapa kerajaan tidak menggubal dan melaksanakan satu undang2 yang tegas dalam hal ini?

Bersambung..

Thursday, January 19, 2012

BUKU #2 - PERANG SALIB DI ALAM ISLAMI


Ini adalah satu buku yang sangat bagus untuk dibaca bagi sesiapa yang ingin mengetahui lanjut berkenaan Perang Salib. 

Ia memuatkan penilaian yang objektif dan tidak berlandaskan kebencian kepada bangsa Eropah sekalipun penulisnya adalah seorang Muslim. Buktinya adalah ia turut memuatkan kritik kepada umat Islam yang saling bercakaran sesama sendiri sehingga membawa untung kepada pihak lain. Juga dicatatkan sama petikan2 yang diambil dari tulisan2 para penulis Barat tentang perang yang masyhur ini.

Hal ini amat berbeza sekali dengan kalangan Orientalis yang turut mengarang mengenai Perang Salib, namun menyelitkan unsur kebencian dan kemarahan mereka kepada umat Islam di celah fakta2 yang turut sama sesetengahnya diselewengkan dan diberi persepsi yang salah.

Karya ini boleh dikatakan sempurna kerana ia bukan saja menceritakan tentang Perang Salib yang berlaku di sekitar Timur Negara2 Kaum Muslimin, bahkan ia turut menghimbau ekspedisi tentera salib dan peperangan yang berlaku di Barat Negara2 Kaum Muslimin seperti di Maghribi, Tunisia dan Andalusia.

Bagi sesiapa yang meminati sejarah tentunya buku ini amat menyelerakan, namun bagi yang sebaliknya saya nasihatkan untuk tabahkan diri juga membacanya. Kerana dengan sejarah dapat kita mengambil iktibar seterusnya mempelajari kelemahan dan kelebihan kita sebagai satu umat bagi merangka strategi dan menyusun langkah untuk mengembalikan keunggulan Islam.

Buku ini sudah lama dikarang, iaitu pada tahun 1373H / 1953 M dan terjemahannya yang seperti gambar di atas juga sudah lama iaitu cetakan pertama pada tahun 1998.

Pengarangnya adalah Syeikh Muhammad Al-'Arusiy Al-Matwiy, seorang Ustaz (Professor) di Pusat Pengajian Tinggi Zaytunah yang masyhur di Tunisia itu.

Carilah di kedai2 buku berdekatan. Mungkin ada cetakan yang baru, saya tidak tahu.  Kata sebuah pepatah : "Sesiapa yang mencari akan berjumpa dan sesiapa yang berusaha akan berjaya."

Wallahu a'lam.


Wednesday, January 18, 2012

HUDUD, PAKCIK TAKSUB & PEMUDA "A"

Pakcik Taksub: Haram kita sokong kerajaan sekarang sebab depa zalim dan tolak Islam!

Pemuda A: Macammana yang kata depa tolak Islam tu pakcik?

Pakcik taksub: Depa tolak dan tak mau laksana Hudud!

Pemuda A: Depa bukan tak mau laksana Hudud tu pakcik, tapi belum berkemampuan lagi. Nak kena bagi kefahaman agama kat rakyat dulu, kena latih hakim2 dulu, macam2 lagi la. Tapi tu bukan bermakna depa tolak Hudud tu.

Pakcik: Hisy! Mana boleh?! Kerajaan dah ada kuasa, dah 50 tahun lebih merdeka. Alasan nak tunggu rakyat faham baru nak buat, sampai bila2 pun tak akan dapat buat Hudud kalau macam tu!
Hudud ni kena buat dulu, lama2 rakyat faham sendiri la.

Macam kita naik motor tiba2 kena tahan dengan JPJ dan dia saman kita. Walaupun kita buat alasan tak tau undang2, saman tetap kena bayar jugak. Lepas tu kita jadi faham sendiri la undang2 tu.

Pemuda A: Hmm, pakcik dah pi haji ka belum?

Pakcik: Awat yang hang tiba2 pi ubah tajuk ni? Pakcik tak pi haji lagi la sebab tak cukup duit lagi. Haji kan untuk orang yang mampu saja. Lagipun haji ni bukan macam semayang yang kita dok buat hari2 tu. Kena pi kursus dulu semua..

Pemuda A: Kalau macam tu, kira pakcik ni tolak Islam la sebab tak pi Haji lagi, kan? Rukun Islam ke 5 lagi tu!!

Pakcik: ???...

Thursday, January 12, 2012

MUHASABAH UNTUK PAS - #2

"Jangan engkau mengeji zaman,
kerana zaman tidaklah rosak,
melainkan yang rosak adalah manusianya".

Mungkin ada di antara kita yang telah menonton atau tertonton video aksi muslimat PAS bernyanyi riang meraikan keputusan mahkamah yang semua sedia maklum baru-baru ini.

Sungguh memalukan apabila menyaksikannya. Sungguh tidak dapat dibayangkan pula seandainya mereka itu ibu2, adik2 atau kakak2 kita.

Perkara seterusnya adalah tentang apa yang dinyanyikan itu sendiri. Ada daripada laungan tersebut berbunyi: "Mampus Umno" yang diulang-ulang.

Aduhai, sungguh cetek dan dangkal sekali akal mereka..

Politik demokrasi yang disertai PAS kini adalah memerlukan undi rakyat. Di antara rakyat teramai adalah para penyokong Umno. Jika begitu yang dilaungkan apakah PAS akan berjaya menarik hati dan memikat pengundi-pengundi Umno untuk beralih arah menyokong mereka?

Tentunya tidak samasekali!

Politik antaranya adalah seni memikat dan menawan hati rakyat. Sama juga seperti dakwah. Maka dalam hal ini PAS telah gagal sebenarnya untuk menunjukkan kewibawaannya berpolitik secara matang.

Selama 50 tahun terjun dalam kancah politik demokrasi nampaknya tidak menjadikan PAS semakin matang, bahkan sebaliknya semakin cacamerba dan memburukkan citra Islam itu sendiri.

Islam adalah sesuatu yang indah, namun PAS telah menghuduhkannya.

Jika anda ke restoran yang mempunyai masakan teramat sedap, namun layanan sangat zero, pastinya kelazatan makanan tersebut tidak akan mampu menjadikan anda berkunjung lagi akibat sakit hati dengan sikap pelayannya.

Begitu juga Islam yang sangat indah ini, dibawa dan ditampilkan oleh PAS yang mengaku sebagai pejuang Islam dengan cara yang sangat buruk  menjadikan Islam itu tidak dipandang indah lagi.

Dalam hal ini, ia hanya membuktikan satu perkara, iaitu PAS telah mengabaikan satu teras penting jemaahnya iaitu tarbiyah.

Dapat disimpulkan berdasarkan tindak-tanduk ahli dan penyokong PAS dekad terakhir ini begitu berbeza samasekali berbanding PAS era 80-an yang meriah dengan tarbiyah dengan segala bentuk pengisiannya.

Apakah igauan dan mimpi indah ingin menakluk Putrajaya telah menjadikan PAS seperti hari ini?

Ataukah bersekedudukannya PAS dengan DAP dan PKR secara sumbang itu mungkin penyebabnya?

Wallahu a'lam.

*****
"Bebaskan diri daripada belenggu taksub".

Monday, January 9, 2012

MAKNA ADIL

Tahukah anda apa makna adil?

Adil ertinya apabila kemenangan atau keuntungan berpihak kepada kita. Jika sebaliknya, maka itu bukanlah suatu keadilan samasekali!

Heh!

***

p/s: Dunia semakin nyanyuk..