Monday, February 8, 2010

re: SEBUAH PERTEMUAN


Semalam, 13 April 2008, 
PWTC, Pesta Buku Antarabangsa
Pertemuan tak disangka
Dengan seorang sahabat lama.

Aku kagum melihat kejernihan wajahnya.
Aku yakin ianya adalah pancaran nur Al Quran
Yang menerangi hatinya sentiasa
Lantas terpancar melalui wajah dan kilau sinar matanya.


Kaget sehingga kami tidak berpelukan seperti biasanya
berbual kami sebentar cuma,
Terlalu singkat bagi sebuah pertemuan yang hangat.
Dan sepanjang pertemuan itu
Tangannya erat menggenggam tanganku
Seakan tidak mahu melepaskan


Aku dapat merasakan aliran cinta
Yang mengalir melalui genggam jemarinya
Aku dapat merasakan hangat rindunya
Setelah lamanya perpisahan
Dan betapa aku telah berubah banyak
Sedang dia masih istiqamah seperti dahulunya


Mungkinkah dia sendiri merasa
Bahawa aku telah tersasar
Dan genggamannya yang erat membawa isyarat
“kembalilah menjadi dirimu yang dahulu wahai sahabat..


Mungkinkah dari pengalaman kami bersahabat
Serta pancaran kejernihan hatinya
Lalu ia melihat
Nur pada wajahku sudah mula memudar
Dan genggaman erat jemarinya berbicara
“Kembalikanlah nur Al Quran yang dahulunya
Di wajahmu sentiasa terpancar sinarnya..”


Dan kami berpisah
Setelah aku menanyakan arah
Dan akhirnya kami berpelukan
Setelah itu meneruskan langkahan..


Semenjak saat itu dan sehingga kini
Aku tidak lepas berfikir dan bermuhasabah
Ohhh… betapa aku telah hilang arah
Sedang para sahabatku telah jauh melangkah..


Di ruang ini aku bertafakur
Sampai bila aku ingin terus-terusan begini
Bagai mengejar fatamorgana di tengah hari
Seolah berlari mengejar pelangi

Ku capai semula mushaf kecilku
Lama benar tidak ku sentuh “dirimu”
Dan aku mula membaca
Ayat-ayat suci ini benar-benar meruntun jiwa…


Oh engkau!
Milikilah sahabat yang benar
Yang mana melihatnya sahaja sudah mengingatkanmu
negeri akhirat
bergaul dengannya menjadikan dirimu sentiasa ingat
ujarannya adalah ibarat
perbuatannya adalah teladan
renungannya sahaja cukup menjadikanmu rindukan TUHAN…


Ohh Mentari Kehidupanku!
Himpunkan kami seperti dahulu…

RE: ANEKDOT LAYAAN..

Satu hari Juha berjalan masuk ke pasar ( zaman Baghdad 1001 malam nih ).

Juha berdiri di tengah-tengah pengunjung pasar lalu berteriak,
"Mari-mari! ada berita penting Juha nak beritahu!"
Manusia-manusia mula mengerumuni Juha.

"Adakah tuan-tuan semua tahu apa yang saya akan beritahu
tuan-tuan hari ini?", soal Juha.
"Manalah kami tahu sebab engkau belum pun beritahu
kami!", orang ramai membalas separuh bengang.

"Huh! kalau begitu maka kamu semua orang yang jahil
kerana orang jahil ialah orang yang tidak tahu!
dan aku tidak suka berbicara dengan orang jahil!"
kata Juha
dengan selamba sambil berlalu pergi.

Esoknya Juha datang lagi ke pasar dan berteriak seperti semalam.
Orang ramai mula mengelilingi Juha semula.
"Apakah tuan-tuan tahu apa yang akan saya beritahu tuan-tuan
ini?" ujar Juha.
Mengingatkan peristiwa hampeh semalam maka mereka menjawab,
"ya, ya, kami sudah tahu!"
"Huh!" dengus Juha.
"kalau begitu tak perlu lah aku beritahu kamu
semua kerana kamu sudah tahu semuanya"
, Juha berkata
sambil berjalan pergi dengan selamba..

Esoknya Juha datang lagi ke pasar danberteriak lagi seperti
selalunya.
Para pengunjung mula mengelilinginya. Kali ini mereka
semua berpakat untuk mengenakan Juha pula.
"Tuan-tuan semua. Adakah tuan-tuan sudah tahu apa yang
akan saya beritahu hari ini?"
ujar Juha.

Mendengar itu, orang ramai pun menjalankan helah mereka.
"Kami tidak tahu!" jawab sebahagian mereka dan
sebahagian yang lain pula berkata
"Ya, ya kami sudah
tahu!". "Juha pasti akan terkena hari ini"
, fikir mereka.

Namun Juha hanya tersengih.

"Huh! kalau begitu, hendaklah orang yang tidak tahu bertanya
kepada yang tahu dan orang yang tahu hendaklah
memberitahu kepada sesiapa yang tidak tahu".

Juha tersenyum sendiri sambil berjalan pulang
dengan keselambaan beliau... Heh!






p/s: Juha adalah watak pandir yang cerdik di dalam
cerita-cerita Arab klasik.

Re: JIKA ENGKAU PUNYA AKAL, MAKA FIKIRKANLAH

Suatu malam, di zaman bekalan elektrik belum masuk lagi di sebuah kampung terpencil..

Seorang anak kecil di pangkuan bapanya dan sebuah pelita yang menerangi rumah buruk mereka..Cuaca malam itu sejuk..Si Ibu sudah tertidur dengan seutas
tasbih masih erat di jemari..Sekali sekala
angin berhembus ke dalam rumah melalui sela-sela dinding yang
sememangnya menanti roboh akibat sudah lama dimakan bubuk..

Si ayah masih leka menatap kitab tuanya..Kitab jawi..Entah apa yang ditelaahnya,
si anak kecil tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu..Matanya lebih tertarik
kepada api pelita yang meliuk lintuk seolah-olah menari
dengan satu irama yang tersendiri lagi unik..Si anak kecil seolah-olah sedang berfikir...

Malam makin larut..Si ayah makin larut di dalam pembacaannya..Dan si anak kecil
kelihatan tenang sedang matanya masih terpaku pada api yang meliuk lintuk..
Entah apa yang difikirkannya, sang ayah tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu..

Sekali-sekala agas menerpa api lantas terbakar mati..
Sang ayah mengangkat pandangannya sekilas apabila
terdengar bunyi agas yang terbakar oleh nyala api pelita...
"hmmm...tak mengantuk lagi ke?". Ayah ada sikit lagi nak dihabiskan ni." si anak kecil memandang ayahnya sekilas,
sekadar menjawab dengan senyuman..

Malam mula menginjak tua..Riang-riang yang galak berbunyi
sudah tidak kedengaran lagi nyanyiannya..Tiba-tiba
angin berhembus agak kuat. Api pelita kelihatan condong ke kiri dan ke kanan,
sebentar ke kiri, sebentar ke kanan, lantas tiba-tiba terpadam.Kelam.
Namun agak berbalam-balam kerana dibantu cahaya bulan
13 haribulan. "Huh!" dengus sang ayah.
"InnaliLLAHi wa inna ilaihi raaji'uun.." sambil meraba-raba kotak mancis,
mulut si ayah mengucap kata.. Si anak kecil diam sahaja.
"ha, ada pun mancis ni" ujar si ayah seolah-olah bercakap kepada anak kecilnya itu..

Ruang itu terang kembali setelah sang ayah menyalakan semula
pelita.. Si ayah ingin mula membaca semula
namun terhenti oleh sebuah pertanyaan dari si anak kecilnya.
"ayah, ke mana api itu pergi
bila pelita tadi padam, dan dari mana pula
api tu datang bila ayah nyalakan semula pelita tu?"



Si ayah diam seketika. Kaget sejenak..
"Dah la, ayah pun dah mengantuk ni, jom kita tidur lah". "hmm, jom!"

Malam itu sang ayah masih terkebil-kebil di dalam kegelapan, dan
anak kecilnya telahpun nyenyak dibuai mimpi..Si ayah masih berfikir,kemanakah perginya api.....................

Re: PERKENALKAN DIRIMU DAN KENALILAH DIRIMU

Assalamualaikum warahmatuLLAH..

"Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu saling beriman, dan kamu tidak dikira (benar-benar) beriman sehingga kamu sayang menyayangi. Apakah kamu suka jika aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang mana jika kamu lakukan maka timbul kasih sayang di antara kamu? sebarkanlah salam di antara kamu" -hadith

"Jadilah kamu di dunia ini seumpama seorang yang asing atau seperti seorang yang sedang melalui satu jalan." berkata ibnu Umar r.a, "jika kamu berada di waktu pagi maka janganlah kamu mengharap akan bertemu waktu petang, dan jika kamu berada di waktu petang maka janganlah kamu berharap akan hidup lagi di waktu pagi esoknya"...

"Life is very short, there is no time for fussing and fighting my friend...." -lirik lagu The Beatles nih-



Hairan bin ajaib...pernahkah anda melihat orang membina rumah di atas jambatan? dunia adalah jambatan ke akhirat...

MEMO

Salam.

Oleh kerana saya akan menutup blog yang lama, jadi saya akan mengepos kembali entry-entry di dalamnya ke dalam blog ini. Entry-entry itu akan saya tandakan dengan perkataan Re: yang bermaksud Reposted. That's all.

Sunday, February 7, 2010

AL ISTI'DAD LI YAUMIL MA'AAD - LIL IMAM IBN HAJAR

Bab 3 Perkara

Bismillah


Diriwayatkan* daripada Nabi SAW sabdanya: "Barangsiapa berpagi-pagi mengeluh tentang kesempitan hidupnya (dunianya), maka ia seolah-olah mengeluhkan Tuhannya (mengkritik Tuhannya). Barangsiapa yang berpagi-pagi merasa dukacita tentang urusan dunianya, maka seolah-olah memarahi Allah. Barangsiapa yang merendahkan diri kepada seorang kaya untuk memenuhi hajatnya, maka telah hilang dua pertiga agamanya”.


Daripada Abi Bakr As-Siddiq r.anh: “Tiga perkara yang tidak akan diperolehi dengan tiga perkara; kekayaan dengan angan-angan, kemudaaan dengan mewarnakan uban dan kesihatan dengan pengubatan”.

Ertinya, sekalipun sembuh dengan berubat, namun kesihatannya tidak lagi sama seperti sebelum sakit itu.


Daripada Umar r.anh: “Bagusnya pergaulan dengan manusia separuh daripada aqal (kecerdikan), bagusnya soalan separuh daripada ilmu, bagusnya pengurusan (tadbir) separuh daripada kehidupan”.


Daripada Utsman r.anh: “Barangsiapa meninggalkan dunia dicintai Allah; barangsiapa meningggalkan dosa, para malaikat mencintainya; barangsiaa meninggalkan ketamakan kepada milik kaum muslimin akan beroleh cinta mereka”.


Daripada Ali kwj: “Seandainya engkau menginginkan nikmat dunia, maka cukuplah Islam sebagai nikmat bagimu; jika engkau mencari kesibukan maka cukuplah ketaatan sebagai kesibukanmu; jika engkau mengharapkan nasihat, maka cukuplah maut sebagai penasihat bagimu”.


Daripada Ibn Mas’ud r.anh: “Betapa ramai orang yang beroleh ni’mat namun berupa istidraj. Berapa ramai pula yang beroleh pujian, namun sebagai ujian. Betapa ramai lagi yang ditutup dosa-dosa mereka sehingga tertipu dengannya (sehingga menjadikan berterusan melakukan dosa)”.


Daripada Nabi Dawud a.s: “Diwahyukan di dalam Zabur: “Menjadi hak ke atas seorang yang beraqal untuk tidak menyibukkan dirinya selain pada tiga perkara: “Berbekal untuk hari kemudian (akhirat), mencari keperluan untuk kehidupan dan mencari kenikmatan pada yang dihalalkan”.


Daripada Abi Hurairah r.anh katanya bahwa Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang membinasakan; tiga perkara yang menaikkan darjat dan tiga perkara yang menghapuskan dosa-dosa:


Adapun tiga yang menyelamatkan adalah:

  1. Takut kepada Allah ketika berseorangan atau di tengah keramaian
  2. Bersikap sederhana (al-qashdu) di waktu faqir atau kaya
  3. Berlaku adil ketika redho atau murka


Adapun tiga yang membinasakan adalah:

  1. Bakhil yang terlampau
  2. Hawa nafsu yang dituruti
  3. Bangga dengan pendapat sendiri


Adapun tiga perkara yang mengangkat darjat adalah:

  1. Menyebarkan salam
  2. Memberi makan (orang yang kelaparan)
  3. Bersolat malam di waktu manusia tidur


Adapun tiga yang menghapus dosa-dosa adalah:

  1. Menyempurnakan wudhuk pada malam yang sangat sejuk
  2. Melangkahkan kaki untuk bersolat jamaah
  3. Menanti solat setelah solat


* Kemungkinan terdapat hadith-hadith yang tidak mencapai darjat sohih disebutkan di dalam kitab ini, namun Al-Hafizh Ibn Hajar telahpun mengisyaratkan melalui penggunaan lafaz "Diriwayatkan" sebagai contoh. Hal ini adalah tidak asing lagi buat sesiapa yang mempelajari ilmu Mustholah Hadith. Harap maklum.


Bersambung...

Friday, February 5, 2010

Berdiam Diri


Seandainya berkata-kata itu adalah perak,
Maka sesungguhnya diam itu adalah emas..


Saturday, December 19, 2009

SUNNATULLAH DAN MAGHFIRAH

Jangan biarkan,
Seorang kanak-kanak terperangkap
Di dalam tubuh seorang pemuda!
Atau seorang remaja
Terperangkap dalam jasad seorang dewasa

Matang sebelum usia
Bagus zahirnya
Namun hakikatnya binasa!

Biarkan saja
Setiap sesuatu mengikut ketetapanNya..

“Sunnatullah. Dan engkau tidak akan dapati perubahan
pada sunnahNya”

Kanak-kanak nakal?
Itu biasa..
Remaja mencuba-cuba?
Tiada yang peliknya…
Berbuat salah;
Itu sifat manusia..
Terbuat dosa;
Itukan kita semua…?

Janganlah jemu meminta padaNya
Dan jangan berputus asa daripada rahmatNya
Gerbang maghfirahNya terbuka sentiasa
Tiadakah hasratmu ‘tuk melewatinya?

TAQDIR vs TADBIR

Oh jiwa! 
Apakah yang membuatmu berduka?
Bukankah telah kering lembaran?
Dan pena pun telah diangkatkan?
Lantas apa yang mengundang laramu?

Oh engkau !
Taqdir Tuhan pada lembaran keabadian,
Siapakah dapat menjangkakan ?
Kerana ianya tersembunyi,
Tiada siapa dapat mengetahui.

Apakah yang engkau takutkan?

Buruknya kesudahan,
Itulah yang aku bimbangkan..

Kerana amal menurut kesudahan,
Meski beribadah sepanjang zaman,
Namun tersungkur di penghabisan,
Tiada balasan selain kecelakaan!

Oh… Tuhan..
Di manakah keselamatan?

“Beritahukan kepada hamba-hambaKu
Bahawa Aku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,
Dan azabKu, pedihnya tiada yang menandingi!”