Tuesday, October 6, 2009

KHEMAH TAUBAT

Oh hamba yang berdosa!
Pancangkan khemah taubatmu
Di hadapan gerbang keampunanNya.

Kemaskan ikatan penyesalan
Padukan simpulan istighfar
Berdirilah memohon rahmat.

Setiap saat badai ujian menerpa
Tetapkan telapak kakimu di sana,
Jangan peduli!
Moga-moga kesalahanmu diampuni…

ZIKRULLAH

Mengingati Tuhan dengan lisan
Ketahuilah! itu satu kebaikan.

Namun mahukah engkau,
Aku tunjukkan yang lebih utama?
 
Engkau mengingatiNya,
Tatkala dirimu
Ingin bermaksiat kepadaNya.

CINTA DUSTA

Seandainya benar cintamu
Takkan engkau menderhakaiNya.
 
Bukankah kekasih itu
Sentiasa mentaati kekasihnya ?

Monday, October 5, 2009

RAHSIA TAQDIR

Tuhan !
BagiMu segala puji
Tanpa henti-henti.

Engkaulah yang mengajar kami
Untuk lebih memahami
Lewat KalamMu yang Suci…

“Katakanlah, segalanya dari Allah semata,
Maka mengapakah mereka itu
Masih tidak memahaminya?”

“Apa sahaja kebaikan yang datang kepadamu,
Ianya daripada Allah.
Dan apa jua keburukan yang menimpa,
Maka tiada lain hanya,
Akibat dirimu semata”

TAWAKKAL

Langit mendung,
Dan hujan bakal turun.
Air di tempayan, biarkan!
Kerana takdirnya tersembunyi,
Dan iradatNya tak dapat dipasti!

HIJAB HATI

Kabus pagi,
Alam terselubung.
Begitu kabus pada wajah hati ini
Menghijab cahaya alam samawi..

Ah! Bersabarlah!
Bukankah kabus itu cuma sebentar
Setelah kabus fajar kan menyinar.

Saturday, October 3, 2009

LENTERA HATI

Cahaya lentera hati
Kian malap
Setiap detik berlalu
Dan sinarnya pun makin memudar…

Oh! Dimana dapat ku cari tambahan minyaknya
Agar nyalanya terang sentiasa
Seumpama “cahaya di atas cahaya”.

BELENGGU DOSA

Dosa-dosa merantai kaki
Seorang pengembara
Pada bumi penuh tipu daya..

Apalah daya,
Seorang yang tak berdaya
Mengepak sayap menuju angkasa
Kerana kakinya masih terbelenggu
Pada bumi dosa-dosa..

LARA PENCINTA

Gambaran cinta pada wajah Sang Kekasih
Percikan nyala kasihnya membakar hangus dosa-dosa
Guyuran hujan airmata kerinduan
Memadam bara nafsu kehaiwanan..

Tuhan…
Aku bukanlah sebenar pencintaMu
Namun sering mengharap,
Agar Engkau mencintaiku…