Monday, October 5, 2009

RAHSIA TAQDIR

Tuhan !
BagiMu segala puji
Tanpa henti-henti.

Engkaulah yang mengajar kami
Untuk lebih memahami
Lewat KalamMu yang Suci…

“Katakanlah, segalanya dari Allah semata,
Maka mengapakah mereka itu
Masih tidak memahaminya?”

“Apa sahaja kebaikan yang datang kepadamu,
Ianya daripada Allah.
Dan apa jua keburukan yang menimpa,
Maka tiada lain hanya,
Akibat dirimu semata”

TAWAKKAL

Langit mendung,
Dan hujan bakal turun.
Air di tempayan, biarkan!
Kerana takdirnya tersembunyi,
Dan iradatNya tak dapat dipasti!

HIJAB HATI

Kabus pagi,
Alam terselubung.
Begitu kabus pada wajah hati ini
Menghijab cahaya alam samawi..

Ah! Bersabarlah!
Bukankah kabus itu cuma sebentar
Setelah kabus fajar kan menyinar.

Saturday, October 3, 2009

LENTERA HATI

Cahaya lentera hati
Kian malap
Setiap detik berlalu
Dan sinarnya pun makin memudar…

Oh! Dimana dapat ku cari tambahan minyaknya
Agar nyalanya terang sentiasa
Seumpama “cahaya di atas cahaya”.

BELENGGU DOSA

Dosa-dosa merantai kaki
Seorang pengembara
Pada bumi penuh tipu daya..

Apalah daya,
Seorang yang tak berdaya
Mengepak sayap menuju angkasa
Kerana kakinya masih terbelenggu
Pada bumi dosa-dosa..

LARA PENCINTA

Gambaran cinta pada wajah Sang Kekasih
Percikan nyala kasihnya membakar hangus dosa-dosa
Guyuran hujan airmata kerinduan
Memadam bara nafsu kehaiwanan..

Tuhan…
Aku bukanlah sebenar pencintaMu
Namun sering mengharap,
Agar Engkau mencintaiku…

Friday, October 2, 2009

BICARA JIWA LARA

Kasih cintaNya
Mendampingiku sentiasa
Semenjak daku bernama janin
Di dalam kegelapan alam rahim.

Dia yang Maha Pengasih
Begitu menjagaku
Di dalam kegelapan alam itu
Maka apakah Dia kan membiarkanku
Mengharungi perjalanan ini
Tanpa limpahan rahmani?

Oh!.. jiwa yang lara berbicara
Butiran kata tanpa suara
Mengadu hanya kepadaNya
Akan kedaifan seorang hamba.

“Tuhan! Perjalanan ini sangat melelahkan.
Kurniakan daku seorang teman..”

Oh engkau!
Masihkah ada tersisa teman,
Pabila kafilah Rasul dan Sahabat pilihan
Telah lama berlalu meninggalkan…… ?

KISAH KASIH KITA

Detik-detak jarum jam
Melarikan ingatanku
Ke daerah silam
Bersamamu..

Kau dan aku,
Kita semua
Mengumpul pengalaman
Menyimpul persaudaraan
Di sebuah permusafiran

Kita semua, tiada beza
Tanpa kasta,
Hati-hati bertaut,
Kasih dan sayang dipupuk
Berat sama dipikul,
Ringan sama dijinjing..

Kau dan aku
Kini terpisah ribuan batu,
Namun cinta kita
Tiada batasnya ruang dan waktu…

Thursday, October 1, 2009

RASA BERDOSA

Rasakanlah sentiasa
Dirimu itu bersalut dosa
Meskipun engkau
Sepanjang masa mentaatiNya
Kerana itulah sifat hamba
Merasa berdosa
Walau tidak berbuat dosa

Boleh jadi saja
Seorang hamba merasa
Telah berbuat baik pada tuannya
Sedang tuannya murka
Yang belum lagi dihamburkannya.

Namun seorang hamba
Berbaik sangka, itulah kewajipannya
Di samping berjaga-jaga
Jangan sampai tuannya murka
Akibat kelalaian yang kecil disangka.

Ah! Maha Suci Tuhan kita
Untuk dibandingkan dengan sesiapa,
Dialah Sang Tuan yang Maha mulia
Belas kasihNya tiada tara..

Tuhan! Limpahkan kami belas kurnia
..