Saturday, October 3, 2009

BELENGGU DOSA

Dosa-dosa merantai kaki
Seorang pengembara
Pada bumi penuh tipu daya..

Apalah daya,
Seorang yang tak berdaya
Mengepak sayap menuju angkasa
Kerana kakinya masih terbelenggu
Pada bumi dosa-dosa..

LARA PENCINTA

Gambaran cinta pada wajah Sang Kekasih
Percikan nyala kasihnya membakar hangus dosa-dosa
Guyuran hujan airmata kerinduan
Memadam bara nafsu kehaiwanan..

Tuhan…
Aku bukanlah sebenar pencintaMu
Namun sering mengharap,
Agar Engkau mencintaiku…

Friday, October 2, 2009

BICARA JIWA LARA

Kasih cintaNya
Mendampingiku sentiasa
Semenjak daku bernama janin
Di dalam kegelapan alam rahim.

Dia yang Maha Pengasih
Begitu menjagaku
Di dalam kegelapan alam itu
Maka apakah Dia kan membiarkanku
Mengharungi perjalanan ini
Tanpa limpahan rahmani?

Oh!.. jiwa yang lara berbicara
Butiran kata tanpa suara
Mengadu hanya kepadaNya
Akan kedaifan seorang hamba.

“Tuhan! Perjalanan ini sangat melelahkan.
Kurniakan daku seorang teman..”

Oh engkau!
Masihkah ada tersisa teman,
Pabila kafilah Rasul dan Sahabat pilihan
Telah lama berlalu meninggalkan…… ?

KISAH KASIH KITA

Detik-detak jarum jam
Melarikan ingatanku
Ke daerah silam
Bersamamu..

Kau dan aku,
Kita semua
Mengumpul pengalaman
Menyimpul persaudaraan
Di sebuah permusafiran

Kita semua, tiada beza
Tanpa kasta,
Hati-hati bertaut,
Kasih dan sayang dipupuk
Berat sama dipikul,
Ringan sama dijinjing..

Kau dan aku
Kini terpisah ribuan batu,
Namun cinta kita
Tiada batasnya ruang dan waktu…

Thursday, October 1, 2009

RASA BERDOSA

Rasakanlah sentiasa
Dirimu itu bersalut dosa
Meskipun engkau
Sepanjang masa mentaatiNya
Kerana itulah sifat hamba
Merasa berdosa
Walau tidak berbuat dosa

Boleh jadi saja
Seorang hamba merasa
Telah berbuat baik pada tuannya
Sedang tuannya murka
Yang belum lagi dihamburkannya.

Namun seorang hamba
Berbaik sangka, itulah kewajipannya
Di samping berjaga-jaga
Jangan sampai tuannya murka
Akibat kelalaian yang kecil disangka.

Ah! Maha Suci Tuhan kita
Untuk dibandingkan dengan sesiapa,
Dialah Sang Tuan yang Maha mulia
Belas kasihNya tiada tara..

Tuhan! Limpahkan kami belas kurnia
..

Tuesday, September 29, 2009

"JANGANLAH MENSUCIKAN DIRIMU"

Terima kasih Tuhan
Dalam setiap keadaan
Meskipun terjebak ke lembah kedosaan

Kerana terkadang
Sebuah kemaksiatan bisa menghampirkan
Seorang hamba kepada Tuhan..

Sang hamba yang berdosa
Serta merasa hina
Lantas bertaubat dari dosanya
Lebih mulia dari mereka
Yang merasa diri tidak berdosa..

Apakah engkau tidak membaca
Di dalam Al Quran yang mulia
“maka janganlah engkau mensucikan dirimu,
Kerana Dia, lebih mengetahui siapa yang lebih bertaqwa
"

WAHAI JIWA YANG MENCARI!


Wahai jiwa yang mencari!
Betapa hampirnya Dia kepadamu
 
Oh.. .
Betapa jauh pula diriku dariMu..

PANGERAN HARI INI

Menghitung hari
Menghisab kekurangan diri
 
Lupakan masa lalu
Kerana engkau adalah
Pangeran hari ini
 
Semalam telah pergi
Kembalilah kepada Tuhan
Dan melangkahlah kepadaNya hari ini
Agar besok tidak kau menyesal lagi…

PANGERAN HARI INI

Menghitung hari

Menghisab kekurangan diri

Lupakan masa lalu

Kerana engkau adalah

Pangeran hari ini

Semalam telah pergi

Kembalilah kepada Tuhan

Dan melangkahlah kepadaNya hari ini

Agar besok tidak kau menyesal lagi…