Sunday, September 16, 2018

SELAMAT HARI LAHIR BUAT AYAH.

Hari ini 16 September. Hari Malaysia. Juga hari lahir ayahku, yang lahir pada tahun 1939 di Sungai Rambai, Merlimau, Melaka. Ertinya ayah telah berumur 79 tahun jika mengikut kalendar Masihi. Kalau kalendar Hijrah sudah 80 tahun lebih sikit.

Kelmarin, entah siapa punya idea, dibuatlah sedikit majlis makan2 keluarga, konon2nya meraikan hari lahir ayah. Tidak pernah dalam keluarga kami diadakan majlis sambutan hari lahir sesiapa pun.

Kalau kebetulan jatuh hari lahir pada hari tertentu dan kami berkata sekadar memberitahu dan melawak, "Ha! Hari ni hari jadi cik. Kena sambut harijadi ni."
Maka ayah akan memberi jawapan epiknya, "Tadi jamu makan nasik dah. Campoq hat menyerok pagi tadi. Kira dia la tu!" Lalu kami sama2 ketawa.

Sebiji kek air tangan anak menakanku diletakkan di depan ayah dan mak. Kemudian kami meminta ayah dan mak sama2 memotong kek itu. Situasi yang agak lawak. Tapi mak dan ayah sambil gelak2 sama2 memotong kek.

Sebelum makan, ayah membacakan doa yang diaminkan kami semua. Ada sebak dan tangis dalam doa itu. Entah apalah agaknya yang dirasakan dalam hati ayah. Semoga kami semua dikumpulkan semula di syurga nanti sepertimana janji Allah dalam Al-Quran (Surah At-Thur: Ayat 21).

Aku dapat menyaksikan rahmat kasih sayang Allah serta berkatNya dalam kehidupan ayah dan mak. Melihat mereka berdua sama2 menunggang motorsikal (sesekali berkereta) ke masjid saja pun memberi impak rasa yang tak terungkap.

Ayah seorang yang sangat rajin membaca Al-Quran. Semua kami anaknya diajar membaca Al-Quran dan tajwid sehingga khatam. Sering ayah mengulang memberitahu bahawa memang niat ayah sejak dulu lagi iaitu, "Anak aku, semua mesti habih Quran dengan aku."

Satu tabiat ayah berkait dengan Al-Quran ini dari dulu lagi yang ku ingat adalah apabila ayah berbaring berbantal lengan untuk tidur siang maka akan kedengaranlah alunan Al-Quran ayah dengan tarannum ala2 arwah Ismail Hashim. Jika tiba2 sebentar kemudian tidak terdengar lagi, tahulah kami yang ayah sudah terlena.

Banyak lagi jika hendak dituliskan. Mungkin di masa depan dapat ku sambung lagi. Apapun, semoga Allah memberkati kedua orang tuaku, juga kita semua. Amin ya Rabb.


Sunday, September 9, 2018

OPTIMIS

Biarpun kehidupan makin perit,
Waktu makin sempit,
Usah biar asamu putus,
Atau harapanmu bungkus,
Kerana niat seorang Mukmin,
Lebih baik berbanding amalnya.
Kiranya kiamat tiba,
Sedang di tanganmu benih sedia,
Tanamlah!
Kerana rahmatNya melimpah,
Dan Dia Maha Pemurah.

Friday, May 11, 2018

SEKILAS TERSINGKAP.

Ketara sekali,
Dia melajukan gerak kerja,
Berkali ganda,
Barangkali kerana yakin,
Masanya berbaki sedikit cuma.

Hitunglah dua tahun dari sekarang,
Jika engkau mahu!
Apabila waktunya tiba,
Langit mencurahkan air mata,
Dan bumi tidak sabar2 untuk memeluknya,
Ribuan berduka hiba,
Dirinya bersukacita,
Bertamu kepada Pencipta.

Barang yang ghaib itu di sisiNya,
Di sisi kita, ghaib itu relatif jua,
Pada seorang, ianya ghaib,
Pada yang lain, ianya nyata.

Di hari itu tahulah semua,
Hakikat sebenar dirinya,
Seorang wali di sisiNya,
Tersembunyi pada khalayak jelata,
Dikenal oleh yang sepertinya.

Hanya pabila dia berangkat pergi,
Sesal pun tidak berguna lagi,
Kerana tiada menghargai,
Sewaktu masih di sini.

Ketahuilah!
Sesungguhnya para wali Allah itu,
Tiada takut dan tiada pula berduka.

Jumaat,
11 Mei 2018,
2:32 petang.