Wednesday, October 2, 2013

Adab Dan Personaliti



Barangsiapa membesar di rumah adab,
akan terus mempraktikkan adab,
sekalipun berdepan manusia paling biadab.



Tuesday, September 24, 2013

AKU dan BUKU



Membaca sangat mengasyikkan.

Alangkah takjubnya diriku mendapati seorang manusia yang tidak suka membaca.
Bagaimana akan tajam mindanya?
Bagaimana akan luas ufuk fikirnya?
Bagaimana akan terbuka pemikirannya?
Bagaimana akan lapang dadanya?
Bagaimana akan lepas dari belenggu kejumudannya?
Bagaimana akan terlerai simpulan ketaksubannya?
Bagaimana dan seribu satu bagaimana lagi..

Membaca karya2 pemikir dan sarjana, ulama dan orang ternama, menjadikan dirimu seolah berteman dengan mereka, berbicara dan mendengar hikmah daripada mereka. Apakah teman daripada kalangan manusia sebaik mereka?

Membaca karya jenaka, penghibur jiwa, rekreasi minda menjadikan kekusutanmu terungkai, sesak dadamu sirna, penatmu reda.

Membaca karya2 sastera membangkitkan rasa, mengindahkan bicara, memolekkan penggunaan kata.

Pendek kata tiada yang sia2.

Bacalah pelbagai genre penulisan yang ada. Biografi, autobiografi, agama, falsafah, hukum-hakam, motivasi, santai, serius, kitab, komik, kartun. Apa saja.

Sehingga engkau kelak dapat mendepani manusia dengan penuh lapang dada, kerana memahami karakter manusia yang pelbagai rencamnya melalui pembacaanmu yang bermacam ragam.

Sehingga engkau kelak akan mahir untuk meletakkan bicara sesuai tempat dan lawan bicara.



BUKU #7 - Al Amru Bil Ma'ruf Wa An Nahy 'Anil Munkar




Ini adalah kitab yang nipis / kecil yang mengandungi ilmu2 yang sangat besar dan agung. Ia adalah susunan Al-Imam Abu Bakr Al-Khallal (w. 311 H) yang merupakan seorang rawi ternama bagi mazhab Imam Ahmad bin Hanbal.

Naskhah ini mengandungi dua kitab (atau lebih sesuai dikatakan dua bahagian) sebenarnya.

Bahagian pertama berkenaan Amar Ma'ruf dan Nahy Munkar. Berisi perkataan2 Rasulullah dan Salafussoleh yang sangat patut kita berteladan kepada mereka.

Di sana dibahaskan apakah kriteria munkar yg patut diubah, bagaimana mahu mengubah, siapa yg patut mengubah, apa kriteria yang patut ada bagi yang mahu mengubah dan lain2 lagi. Ringkasnya semua yang bersangkut paut dengan hal itu mempunyai syarat2 dan keadaan yang perlu diteliti.

Bahagian kedua kitab ini pula adalah bahasan mengenai membaca Al-Quran di kubur, boleh atau tidaknya, harus atau sebaliknya, bid'ah atau apa? Membaca bahagian ini akan melapangkan dada dan memadamkan sengketa pendapat2 yang bermunculan sekitar hal ini oleh sebahagian orang yang ...

Melalui kitab kecil ini secara keseluruhannya dapat kita perhatikan ketelitian para Salaf dan sikap mereka yang berpandu ilmu. Sungguh benar sekali bahawa ilmu itu sebelum perkataan dan perbuatan. Semata-mata semangat tanpa ilmu yang benar boleh jadi bakal membuatkan kita tergeleceh dari jalan yang benar.

Semoga Allah memandu kita semua ke jalan yang benar. Amin.


Tuesday, September 17, 2013

BUKU #6 - MANAQIB IMAM ASY-SYAFI'E

Ini adalah sebuah kitab karangan Imam Al-Baihaqi yang terdiri daripada dua jilid menceritakan secara lengkap berkenaan peribadi Imam Asy-Syafi'e.

Membaca kitab ini adalah sangat mengasyikkan. Banyak kata2 hikmah dan kisah2 yang indah terdapat di dalamnya.

Imam Al-Baihaqi menggunakan cara ahlil Hadith dan ahli Tarikh (sejarah) Islam dengan membawakan kebanyakan kata2 dan cerita dengan menampilkan sanadnya sekali.

Sesiapa yang ingin mengenali lebih dekat peribadi yang digelar Penolong Sunnah (Naashir As-Sunnah), Imam Asy-Syafi'e patutlah sangat membelek dan menelaah kitab ini.

Aku tidak tahu jika ada yang sudah diterjemah ke dalam bahasa Melayu atau Indonesia (bab terjemah buku Indonesia lebih terkehadapan daripada Malaysia). Kalau ada memang sangat bagus dan bagus sangat. :) Semoga ada insyaAllah.

BUKU #4 - IRSYAADUL FUHUL

Monday, August 26, 2013

MESIR, RABI'AH DAN BALIK KE RUMAH..



Saat ini majoriti bersemangat tentang Mesir.
Gambar2 profil facebook menayangkan isyarat Rabi'ah/Rab'ah...

Padaku, seruan sebahagian ulama yang menyeru kepada para penyokong Presiden yang dizalimi- Mursi- agar pulang ke rumah masing2 adalah seruan yang paling tepat dan penuh kasih sayang serta rahmat kepada umat.

Ramai yang tidak bersetuju dengan seruan ini. Bahkan menghunjamkan tohmahan dan caci maki kepada ulama serta mereka yang bersetuju dengan seruan ini.

Hari ini majoriti manusia memang begitu sifatnya. Kadang2 semangat yang menyala bisa menghanguskan apa sahaja.

Seruan tersebut bukanlah bermakna bersetuju dengan kezaliman tentera yang merampas kuasa. Seruan tersebut bukanlah bermaksud bersekongkol dengan regim yang menghalakan senjata kepada rakyat.

Namun seruan tersebut adalah seruan penuh kasih sayang, yang tidak ingin melihat darah kaum muslimin terus ditumpahkan.
Seruan yang tidak terbit selain daripada hati yang faham benar perjalanan zaman.
Seruan yang tidak mungkin bergema melainkan dari hati yang benar faham tipudaya dan makar musuh2 agama.

Adapun majoriti yang semangat telah mengaburi pandangan, maka seruan ini tidak dianggap melainkan penyerunya adalah sang pengecut.

Wahai orang yang bersemangat!

Anda yang lantang di facebook!
Anda yang lantang di laman2 maya!
Anda memuntahkan seruan2 semangat anda sambil bercanda, dengan minuman dan makanan enak, dengan dikelilingi isteri dan anak2, dengan menikmati tidur yang enak, dengan duit yang masih penuh di bank dan simpanan....

Bangun!
Pergi lihat peti sejuk anda! Buka dan lihat penuhnya dengan bahan2 makanan!
Pergi buka almari pakaian anda!
Lihat deretan pakaian yang bergantungan.
Pergi buka rak kasut anda!
Lihat deretan sepatu yang berjenama.
Lihat jam tangan anda, berapa agak harganya?
Malam ini anda tidur lena, selePas meluah kemarahan dan semangat di laman facebook anda.
Esok pagi anda bangun dan pergi kerja dengan bergaya.
Cukup bulan gaji masuk dengan tambahan OTnya.
Lalu anda mengajak anak isteri berbelanja di pasaraya2. Membawa mereka bersantai di sini sana. Berjaga lewat malam di kedai2 mamak sambil bercanda dan menonton lawan bola. Sambil2 jemari ligat mengemaskini laman efbi, meluah semangat lagi, sambil memekik: "Dey macha! Mana saya punya roti tara sampai lagi?!"

Kitalah itu.
Yang sangat bersemangat.
Sedang kepada saudara2 kita yang berhimpun di medan Rabi'ah kita katakan: "Teruskan himpunan kalian"! Jangan takut dan jangan gentar! Doa kami bersama kalian!"

Sedang saban waktu, setiap saat yang berlalu, maut mengintai mereka, nyawa bakal melayang bila2 masa!

Kita katakan: "Bertahan"!
Sedang kita sendiri tidak mampu bertahan andai nyenyak tidur kita diganggui ngauman ekzos motor anak2 muda yang merempit di jalan bersebelahan.

Kita hadir di himpunan2 ceramah membangkit semangat, meniup marak amarah dan mendakwa solidariti.
Kemudian, menangkap gambar sendiri sebagai bukti, untuk diposting pula di efbi.
Kita hadir dengan semangat dan santai, tanpa bimbang nyawa bakal melayang, kerana berhimpun dan bertempik di padang yang aman.
Kemudian, perit tekak dek kuatnya melaung teriakan, kita bergegas mencari gerai makan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan, lantas menghirup kopi secawan, sambil berehat menghilangkan kepenatan.
Kita menyangka kita telah memberi sumbangan kepada saudara2 kita di sana.
Kita menyangka dengan itu kita telah menunjukkan kasih kita buat mereka.
Benar2kah kita?

Kita ini sebenarnya apa?
Kita ini hanya munafik yang pandai memutar kata.
Mengindahkan susunan bahasa.
Membakar semangat anak muda.
Mengharap pujian dan sanjungan massa.
Haus dokongan dan "Suka" pada status efbi kita..
Sedang kita terus bercanda dan leka bergembira.
Saudara2 kita di sana terus menerus menyabung nyawa.

Maka, seruan yang menyuruh mereka kembali ke rumah adalah seruan mulia.
Bukan cenderung kepada kezaliman yang akan menyebabkan tersentuh api neraka.
Namun seruan yang berpijak kepada realiti.
Yang tidak ingin melihat darah muslim tumpah, walau setitik lagi.

Jika ingin terus melawan, suruh perempuan2 agar pulang. Jangan pertaruhkan nyawa anak2 kecil di medan. Bekalkan senjata kepada para pemuda. Biarkan mereka berperang seperti di Syria. Agar kuasa yang dirampas dapat dirampas semula.

Adapun berkumpul semata, dengan harapan para penzalim yang merampas kuasa mengembalikan semula rampasannya, maka itu adalah harapan yang tidak akan kunjung tiba. Kerana penzalim manakah yang bersedia mengembalikan rampasannya?

***
p/s: Ini tidak lain melainkan kerana belas kasih kepada saudara2 seagama di Mesir..






Monday, August 12, 2013

Suatu Cita Yang Dicita



"Jika pun ku miliki cita-cita,
Cita-citaku hanya ingin keluar dengan selamat dari dunia ini,
Sepertimana aku telah memasukinya dengan selamat sebelum ini.."


Sunday, August 11, 2013

SEMALAM YANG MENGUJI




Semalam, 
Senyum itu menyapaku lagi.

Semalam,
Renungan mata itu memanahku lagi.

Semalam,
Takdir mempertemukan kita lagi.

Takdir itu yang memisahkan,
Takdir itu jua kembali mengumpulkan.

Semalam,
Seakan segalanya sirna,
Yang wujud kau dan aku cuma.

Semalam,
Dan aku ingin agar waktu terhenti,
Agar bisa ku luahkan rasa hati.

Dan semalam,
Kita masih seperti dahulu,
Tetap malu dan malu-malu,
Meski lautan sukmaku,
Bergelora amukan cinta dan rindu.