Tuesday, July 19, 2011

POLITIK BIJAKSANA


Kerajaan tak sentiasa betul selamanya,
Pembangkang pula jangan membangkang segalanya.

Membangkang biarlah berfakta,
Menyokong pula jangan membabi buta.

Yang ringan sama dijinjing,
Yang berat sama dipikul.

Berganding bahu di dalam kemakrufan,
Bertolong bantu mencegah kemungkaran.

Saudara seIslam patutlah diutamakan,
Seruan perpaduan jangan tak diendahkan.

Dengan Non-Muslim boleh kerjasama,
Jangan prinsip digadaikan pula.

Agama bukan sekadar jenama,
Lihat juga isi dan rasanya.

Berpolitik perlukan bijaksana,
Bukannya ceramah gegak gempita.

Politik itu ilmu mentadbir,
Bukannya ilmu ta'bir menta'bir.

Pandai berceramah belum tentu pandai mentadbir.
Kerana modal ceramah hanya lidah dan bibir.

Mengkritik dan membangkang memang mudah,
Bertindak dan mengurus, itu yang payah.

Ulama mendidik penguasa,
Penguasa melaksana suruh agama,
Rakyat taat tanpa prasangka.

Itu barulah politik bijaksana,
Negara kan maju, Allah pun redha.




Tuesday, July 12, 2011

DI MANAKAH PINCANGNYA DEMOKRASI? - 2

Baiklah!

Aku akan menulis secara ringkas sahaja dulu. Jika ada waktu yang memadai barulah aku akan cuba memperpanjang lebarkannya, insyaAllah.

Di antara kepincangan-kepincangan demokrasi adalah:-

1. Memberi hak memilih pemimpin kepada setiap orang.

Ini adalah kepincangan yang sangat bertolak belakang dengan cara memilih yang digaris bawahkan secara umum oleh ajaran Islam. Perlu kita bezakan, hak memilih pemimpin tidaklah boleh disamakan dengan hak menasihati pemimpin. Menasihati pemimpin tidaklah akan menyebabkan kepimpinan berada pada kemungkinan boleh terlepas kepada genggaman orang yang tidak layak, berbeza dengan hak memilih pemimpin dengan cara mengundi yang diamalkan sistem demokrasi.

Kenapa kita katakan hak mengundi yang akan menabalkan seseorang pemimpin berdasarkan bilangan undi terbanyak adalah satu kepincangan demokrasi? Alasannya seperti berikut:-

1. Urusan kepimpinan adalah satu urusan yang sangat agung seperti yang telah disinggung di dalam mukaddimah. Sedangkan hak mengundi membolehkan setiap golongan masyarakat yang terdiri daripada orang awam menabalkan pemimpin. Di dalam ajaran Islam, memilih pemimpin bukanlah semudah memangkah pada kertas undi sahaja. Ia memerlukan pengetahuan dan pemahaman yang mendalam berkenaan kriteria kelayakan seorang pemimpin seperti yang digariskan oleh Islam. Ia turut memerlukan kefahaman ilmu usul bagi menimbang manfaat dan mudharat, ilmu jarh wa ta'dil dalam menilai peribadi calon yang difikir layak dan lain-lain cabang ilmu yang banyak.Secara ringkasnya ini adalah martabat para ulama. Para ulama lah yang sepatutnya mengangkat pemimpin, seterusnya memandu mereka di atas panduan Islam. Itulah cara yang sebenar. Sedihnya, di dalam Parti berlabel Islam pun menggunakan sistem undian suara terbanyak ini di dalam pemilihan pemimpin mereka.

Hak memilih pemimpin yang diberikan kepada orang awam mengikut sistem demokrasi menjadikan urusan diserahkan kepada mereka yang bukan ahlinya (urusan memilih pemimpin) yang akhirnya menyebabkan urusan kepimpinan itu sendiri akan diserahkan kepada bukan ahlinya. Lalu terjadilah apa yang disebut Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila amanah diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah As-Sa'ah" ( segolongan ulama menafsirkan saat disini adalah saat kehancuran urusan tersebut. Manakala majoriti ulama mengatakan maknanya adalah kiamat).

Bersambung...

Monday, July 11, 2011

DI MANAKAH PINCANGNYA DEMOKRASI? - MUKADDIMAH

Bismillah.

Urusan kepimpinan adalah urusan yang sangat agung dan penting. Kerana itulah ia dikenal dengan sebutan "Imamatul 'Uzhma". Dek kerana begitu agungnya urusan ini di dalam agama, maka para Sahabat telah mendahulukan urusan melantik pemimpin -iaitu Khalifah- sebelum urusan menyemadikan jasad Baginda SAW yang mulia itu.

Bermula itu, dilantiklah Abu Bakr radhiyallu 'anhu sebagai Khalifah Umat Islam yang pertama. Beliau digelar Khalifah yang bererti Pengganti, kerana kedudukannya sebagai pengganti tugas-tugas Nabi SAW di dalam menguruskan Umat dan menegakkan agama, iaitulah apa yang disebut sebagai "Iqaamatuddin wa Siyasatuddunya" yang bermaksud "Menegakkan agama dan mentadbir dunia". Ini disebabkan para Rasul sebelum Nabi kita SAW, tatkala wafat seorang mereka, maka akan disusuli oleh Nabi dan Rasul yang lain. Namun, oleh kerana Rasulullah SAW adalah Penutup Segala Nabi dan Rasul yang tiada lagi sesudah Baginda Nabi yang lain, maka yang akan meneruskan tugas yang mulia itu adalah Para Khalifah, yakni Pengganti Nabi SAW di dalam segala tugasnya melainkan saja Kenabian tidak akan diberikan kepada mereka.

Demikianlah. Aku menyebutkan sejarah disebalik munculnya penggunaan perkataan Khalifah itu, kerana ada segolongan manusia yang bersemangat mengembalikan Sistem Kekhalifahan -dan itu adalah niat yang murni baik- dengan membataskan pemimpin itu dengan perkataan Khalifah sahaja. Maka itulah sebabnya aku catitkan sebagai ingatan. Sedangkan yang benar adalah disebutkan pemimpin itu sebagai Imam. Adapun gelarnya, boleh jadi saja seorang Presiden, Perdana Menteri, YDP Agong, Sultan, Raja, Cansellor dan sebagainya, tertakluk kepada konteks negara, zaman dan suasana. Berkenaan seorang Imam tunggal mentadbir dunia sejagat di bawah sistem Islam, maka ia tidak akan berlaku lagi sehinggalah ditabalkan Imam Mahdi. Ini bukanlah ungkapan pesimis, tetapi berdasarkan realiti dan pemahaman hadith oleh para ulama.

Nah! Kita akan cuba memfokuskan, bagaimanakah Para Khalifah bermula Sayyidina Abu Bakr itu dipilih. Dan kita akan cuba pula membandingkan apakah sistem demokrasi yang diamalkan di dalam banyak negara di dunia termasuk negara kita ini dengan pemilihan yang ditunjukkan Para Sahabat dan generasi kurun yang terbaik itu lebih bagus di dalam urusan ini atau sebaliknya. Seterusnya kita akan cuba mencari ide melakar jalan bagaimanakah seharusnya pemilihan yang terbaik patut diamalkan di dalam konteks Malaysia.. Dan lain-lain lagi, insyaAllah.

Thursday, June 23, 2011

ILMU JARH WA TA'DIL DI DALAM POLITIK

Bismillah.

Di antara salah satu cabang ilmu di dalam ilmu hadith adalah apa yang dinamakan ilmu Al Jarh wa Ta'dil.

Ilmu ini membahaskan kecacatan (sifat/perangai perawi yang menyebabkan periwayatannya ditolak) dan 'adalah ( keadaaan perangai/sifat para perawi yang membolehkan periwayatannya diterima).

Jika kita meneliti sejarah ilmu ini, akan kita dapati para ulama terdahulu sangat mengambil berat berkenaan ilmu ini dengan memperingatkan kepada penuntut ilmu agar tidak mengambil riwayat daripada fulan ini atau fulan itu yang terdapat kecacatan di dalam keperibadian mereka.

Kini kita dapati ilmu hadith seolahnya bersemarak di merata-rata di negara kita.

Nah! Kita dapati ada di kalangan yang dikenal (di kalangan pengkagumnya) sebagai pakar hadith atau tokohnya sering saja berdegar-degar menyatakan kedhaifan hadith sekian dan sekian dengan menyebut kecacatan/ menjarh para perawi yang telah pun meninggal ratusan tahun dahulu.

Dengan itu juga, mereka ini memperingatkan orang ramai bahawa hadith ini dhaif, hadith itu maudhu', perawi ini dhaif, perawi itu cacat dan sebagainya.

Namun, yang ingin dipertanyakan di sini, apakah ilmu Jarh wa Ta'dil ini hanya terpakai untuk menjarh atau menta'dilkan para perawi yang telah meninggal ratusan tahun dahulu sahaja?

Yang ada dikalangan mereka itu (para perawi yang didhaifkan) tercatat di dalam sejarah dengan sumbangan seorang daripada mereka terhadap agama lebih banyak daripada sumbangan seribu orang yang digelar ulama zaman ini.

Seharusnya ilmu ini patutlah dibawa ke tengah masyarakat semula oleh mereka yang digelar tokoh/sarjana ini dengan menggunakan neraca Al Jarh wa Ta'dil dalam mengingatkan masyarakat dan menyelamatkan mereka daripada kebohongan-kebohongan dan kecacatan para ahli politik di negara kita.

Kita dapat mendengar kata-kata mereka itu yang menyebut nama fulan dan fulan sebagai dhaif, sedangkan nama yang disebutkan itu merupakan tokoh ulama yang besar pada zamannya. Mungkin saja ia dhaif dari segi hafalannya yang bercampur di akhir usia.

Tetapi yang ingin ditekankan di sini adalah betapa lidah itu amat mudah untuk menyebut kecacatan perawi yang telah lama meninggal dahulu. Mungkin ada di antara nama yang disebutkan itu telah melangkahkan kakinya ke dalam syurga.

Kita seringkali dapat mendengar orang mengkritik tokoh-tokoh ulama lampau. Maka mengapakah lidah itu bertukar menjadi kelu untuk menjarh ta'dilkan para politikus dan pengeksploit agama yang berkeliaran di dalam masyarakat di negara kita hari ini sehingga dengan itu masyarakat menjadi selamat daripada tipu daya mereka? 

Apakah ilmu ini sekadar terbatas untuk menilai para perawi hadith semata-mata?

Sedangkan pada zaman kita ini, para politikus dan pengeksploit agama itulah yang sepatutnya lebih layak ditimbang di dalam neraca Jarh wa Ta'dil berbanding orang lain.

اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه. وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه
"Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kebatilan itu sebagai kebatilan, dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya".

Alangkah banyaknya orang yang mengetahui kebenaran namun tidak dapat atau tidak ingin mengikutinya. Dan betapa ramai pula yang mengetahui kebatilan, namun tidak pula dapat atau ingin menjauhinya.

Sesungguhnya amat menghairankan melihatkan orang yang digelar ulama dan orang agama yang bersilat lidah menafikan terang kebenaran hanya kerana ingin membela kebatilan seorang fulan dan khayalan indahnya mabuk anggur kekuasaan lalu membawa dalil-dalil dan istilah-istilah arab bagi menjustifikasikan tindakan yang jelas menconteng arang ke wajah Islam.

Kepada Allah jualah kita memohon keselamatan. Wallahua'lam.

Monday, June 20, 2011

NYANYIAN BUKANLAH JALAN MENUJU TUHAN...

Nyanyian terkadang boleh menjauhkan seseorang daripada Tuhan.

Hati yang (terlalu) disibukkan dengan selain ingatan kepadaNya akan mewariskan kekesatan dan kekasaran serta keliaran daripada meraih limpahan cinta dan kasihNya.

Sebuah gelas yang penuh berisi air tidak mungkin dapat lagi diisi, melainkan air keruh ingatan kepada selainNya ditumpahkan bagi digantikan dengan air cintaNya yang bening dan suci.

Aku pernah menulis berkenaan nyanyian di sini dan sini, bukanlah bertujuan mengajak sesiapa untuk memenuhkan ruang hatinya dengan lagu-lagu atau menghabiskan umurnya dengan mendengar lagu-lagu semata. Kalla wa Haasya.

Aku menulisnya sekadar untuk menjernihkan keruh pemikiran sesetengah manusia yang melulu mengharamkan apa saja yang bernama nyanyian dan lagu-lagu.

Demikianlah..

Nyanyian bukanlah jalan menuju Tuhan. Ia hanyalah kekadang penghilang lelah di dalam perjalanan. Seumpama para penanggung barang di limbungan kapal, yang melantunkan nyanyian bagi melupakan kelelahan dan letihnya badan, lalu barang-barang diangkut satu demi satu berterusan seolah ringan.

Jalan menuju Tuhan itu panjang. Laluannya pula penuh ranjau dan jurang. Maka sekali-sekala diperlukan nyanyian sekadar menghilangkan kelelahan mengarung sebuah kembara yang akhirnya adalah syurga.

PILIHANRAYA KE -13

Kali ke -13 pilihanraya,
Para penyokong Pakatan bergembira.

Gegak gempita seluruh Malaysia,
Barisan tumbang, Pakatan berkuasa.

Namun gembira bertukar duka,
Kala Si Dajjal menampakkan muka.

Penyesalan di mana-mana,
Apa daya, Si Dajjal pandai bermain kata.

Berkelahi sesama bangsa,
Orang lain merebut laba.

Jika waktu itu sudah tiba,
Seseorang usah mencela, selain dirinya semata.




BAGAIMANA ANDA MENDENGAR LAGU?

"Jika anda berpendapat lagu itu haram, sila abaikan entry ini. Terima kasih".


Di bawah adalah lirik sebuah lagu daripada kumpulan The Beatles bertajuk : "The Long And Winding Road" .

The long and winding road
that leads to your door
will never disappear
I've seen that road before
It always leads me here
Lead me to you door

The wild and windy night
that the rain washed away
Has left a pool of tears
crying for the day
Why leave me standing here
let me know the way

Many times I've been alone
and many times I've cried
Any way you'll never know
the many ways I've tried

But still they lead me back
to the long winding road
You left me standing here
a long long time ago
Don't leave me waiting here
lead me to your door


Baiklah! Apa yang anda rasakan setelah mendengar lagu tersebut? Atau membaca lirik di atas.
Jawapannya terpulang kepada anda. Apa yang anda fikirkan dan apa yang anda bayangkan. Jika anda teringatkan kekasih lama, anda akan terbayangkannya. Jika anda terkenangkan kawan lama, anda akan teringatkannya.

Nah! Ada pula sebahagian manusia yang hatinya penuh dengan ingatan kepada Allah, hari akhirat, sengsara perpisahan, hangat kerinduan kepada Tuhan dan akhirat, kelelahan menempuh jalan pencarian yang panjang dan penuh ranjau untuk menuju Allah etc.... Maka, seorang yang seperti ini, mendengar lagu sebegini pun akan membawa perasaannya kepada ingatan-ingatan tersebut.

Sebahagian orang menafikan hal-hal seumpama ini, dan ada pula yang melihat asal saja dari Barat semuanya Haram, maka "janganlah kamu berkata dengan lidah-lidah kamu yang dusta itu :ini halal dan ini haram; untuk mengada-ngadakan kedustaan ke atas Allah.."

Jadi, jika engkau tidak tahu, baiklah engkau diam!


p/s: Ini adalah terpakai bagi hal-hal yang mubah/harus (dibenarkan) sahaja. Maka jika ada orang yang melihat kepada aurat wanita atau sesuatu yang diharamkan dengan beralasan untuk menghayati keindahan ciptaan Allah, sesungguhnya itu adalah berakar daripada kejahilan atau mempermainkan agama.

BAGAIMANA MENGHAFAL AL-QURAN - 1




(Jika anda ingin terus kepada cara2 praktikal menghafal sila terus klik siri terakhir di SINI )


Hafal Quran? Senang ke?

"Err, senang le jugak! Tapi, biasa la kan! Kat dunia ni mana ada yang senang! Nak senang-senang ni tunggu kat syurga le"..

Macammana kau boleh hafal Quran sampai 30 juzuk eh? Respek ar..! (kagum)

"Alah, biasa je tu! kau pun boleh hafal sebenarnya. Semua orang pun boleh. Cuma nak dengan tak nak je. Then cepat atau lambat je. Boleh tu, semua boleh insyaAllah..".

Ada teknik istimewa ke nak hafal ni? Boleh kongsi?

"Hurmm... Ok!

Firstly, kena bersihkan hati dulu. Ibaratkan macam bekas la. Kalau bekas tu kotor, macammana kau nak isikan megi, betul tak? Kena basuh dulu.

Haa..! Hati kita pun macam tu la jugak. Nak isi Quran ni, tapi dah penuh dengan sampah sarap maksiat bagai. So, kena clean up dulu apa-apa yang patut. Dah bekas tu cuci bersih, baru bleh letak megi, eh, Quran kat dalam.

Ok? Tu first step.. nanti kita lihat seterusnya, insyaAllah..".

SILA KLIK LINK BERIKUT UNTUK SIRI SETERUSNYA:-
SIRI 2
SIRI 3 ( CARA2 MENGHAFAL )

Friday, June 17, 2011

TENTANG BERSIH.. ( INI BUKAN BICARA 9 JULAI )


Semua heboh tentang BERSIH.
Apa saja yang mahu diBERSIHkan?

Bersihkan hatimu!

Bersihkan jiwamu!

Bersihkan qalbumu!

Bersihkan akhlakmu!

Bersihkan mindamu!

Bersihkan aqalmu!

Bersihkan fikiranmu!

Bersihkan niatmu!

Bersihkan tubuhmu.

"Bersihkan pakaianmu. Dan kedosaan, maka hindarkanlah!
Dan janganlah engkau memberi untuk mengharapkan
pulangan yang lebih banyak.
Maka dengan Tuhanmu, bersabarlah!
"