Thursday, October 4, 2012

Kembara Membaca...


Seingat aku, -dan seringkali juga diceritakan oleh ayah dan ibuku- aku mula membaca seawal usia empat tahun. Bermula dengan membaca Jawi.

Seringnya berada diribaan ayah ketika beliau membaca akhbar Utusan Melayu (Jawi) dan lain2 bahan bacaan adalah penyebabnya. Kerana itu juga aku tidak ke tadika.

Dan sejak aku dapat membaca itu, aku gila membaca! Alhamdulillah aku diberi rasa lazat apabila dapat membaca. Aku bahkan sampai merasa hairan mengapa  ada manusia yang tidak gemar membaca..

Aku telah membaca sewaktu di sekolah rendah lagi tulisan Dr. Haron Din, Dr. Mahmud Zuhdi dan adik beliau Dr. Kamil Abd Majid dan lain2 lagi di dalam majalah Utusan Qiblat yang banyak di rumah.

Semua kami adik beradik diajar membaca Al-Quran dengan tajwid yang sempurna (ayahku guru Al-Quran tajwid sekolah agama petang). Setiap kami dimestikan khatam sebelum ke sekolah menengah.

Selepas membaca beberapa muka kami akan ditanya hukum tajwid on the spot. Ayahku main tunjuk saja mana2 kalimah/ayat dalam mukasurat yang telah dibaca tadi. Lalu kami diminta menerangkan apa hukum tajwidnya.

Kalau jawapan tepat diberi, akan ada soalan2 susulannya pula. Contohnya jika jawapannya Ikhfa' Haqiqi, maka akan ditanya bagaimana cara membacanya, dengungnya berapa harakat, hurufnya berapa. Dijawab 15 akan disuruh sebutkan hurufnya pula satu persatu. Fuhh! :)

Dapat menjawab dengan tepat menjadi satu kepuasan. Jika tidak dapat ayahku tidak akan menghukum, tetapi beliau menerangkan lagi dan lagi. Sehingga kami ingat betul2. Maka tajwid telah menjadi sebati dengan kami. Mengalir di dalam darah dan terkumpul di dalam ingatan kami, alhamdulillah.

Ayah tak pernah berkira jika kami meminta beliau membeli suratkhabar atau majalah. Cuma di rumahku memang tidak ada samasekali dibeli majalah2 hiburan. Entahlah, tapi kami sendiri pun rasa malu untuk membaca majalah2 sebegitu. Apalagi membeli dan menyimpannya di dalam rumah. Rugi duit rasanya.

Majalah Gila-Gila, kemudiannya Ujang, Lanun, Varia Lawak, PKK dan lain2 majalah humor dan komik banyak. Juga ketika itu ada majalah2 Islamik terbitan Jemaah Al-Arqam (kini telah diharamkan) seperti An-Nasihah, Al-Qiadah, Al-Munir, Al-Mukminah etc.

Buku2 memang banyak juga lah. Di usia kanak2 sekolah rendah itu aku telah membaca buku yang berbicara hal2 dan gagasan2 yang besar seperti buku Maududi (Asas2 Islam tajuknya jika tak silap), buku2 Allahyarham Ustaz Ashaari, pengasas Al-Arqam seperti disebut di atas, dan rencana2 topik2 yang berat2 di dalam majalah2 Islamik di atas, Qiblat dan lain2.

Menginjak usia remaja aku menghabiskan kebanyakan masa ketika ke masjid untuk membaca buku2 yang terdapat di masjid pula. Ada yang aku pinjam untuk dibaca di rumah.

Ketika itu aku telah membaca antaranya Hidayatus Salikin (milik ayahku), Fiqh Awlawiyyat, Sifat Solat Al-Albaani terjemahan Ust Abdullah Al-Qari, sebahagian Al-Umm, buku2 Hamka, keseluruhan Ihya' Ulumiddin, terjemahan Al-Quran seluruhnya (ketika cuti selepas SPM), Ahlullah oleh Khalid Muhammad Khalid, Wali2 Allah dan Wali2 Syaitan oleh Ibn Taymiyyah, Fadhail A'mal Syeikh Zakariyya seluruhnya dan banyak lagi yang tak aku ingati judulnya.

Masuk ke DQ setelah maktabah dibuka, aku pasti akan ke sana sehingga Kak Fatimah (librarian) dah kenal sangat. Antara buku yang paling aku ingati membacanya adalah "Kurnia Rabbani Limpahan Rahmani" terjemahan kitab Syeikh Abd Qadir Jilani yang sangat mengetuk hati. Aku masih ingat meminjamnya lebih kurang jam 10 pagi lalu balik ke bilik terus membacanya tanpa henti kecuali solat berjemaah di surau di bawah dan ke bilik air sehinggalah tamat membaca pada pukul 1 pagi lebih sedikit malam itu juga. Khalid tentu ingat ini. :) Seingatku aku tidak makan tengahari dan malam hari itu dek kerana kenyang membaca buku itu.

Membaca buku kita perlu membacanya dari kulit ke kulit. Tidak kira berapa lama masa yang diambil untuk menghabiskannya. Kerana dengan cara itu sahaja kita akan memiliki pandangan yang adil dan berlaku adil pula terhadap pengarangnya. Jika kita membacanya dengan tebuk sana sini, lalu memetik kata2 pengarang, akan berlaku salah faham yang banyak. Bahkan akan menzalimi pengarang itu sendiri.

Apa sebabnya demikian. Mari kita fahami hal berikut:-
Ketika menulis kadangkala sesuatu idea/pandangan/ilham hanya datang ketika di tengah2 penulisan atau di akhir penulisan. Kalau menggunakan komputer seperti sekarang boleh saja kita cut dan paste di tajuk yang bersesuaian.Zaman dahulu tidak.

Katakan contohnya seseorang ulama  menulis perbahasan fiqah berkenaan solat. Lalu beliau terus menulis sehingga masuk ke kitab berkenaan Munakahat berkaitan sifat wali fasiq sebagai contoh, lalu disebut apa2 yang berkaitan sehingga perkara solat lalu teruslah dibahas pula panjang lebar. Masuk lagi berkenaan macam2 perkara.

Sampai di dalam kitab Jinayat pula ada pula perbincangan tentang hukuman bagi orang murtad. Ada lagi berkenaan orang meninggalkan solat. Ini sudah di hujung2 kitab. Jadi perkaranya tidak akan kita dapati di dalam kitab solat, tetapi di dalam kitab Munakahatdan Jinayat. Maka jika kita membaca kitab solat sahaja lalu kita pun menyimpulkan pendapat ulama tersebut maka kita akan tersilap.

Seperti Imam Ibn Taymiyyah. Orang yang memusuhi tasawwuf secara melampau memetik kata2 beliau sebagai alasan "Lihat! Ibn Taymiyyah memusuhi tasawwuf" sedangkan di dalam bahagian2 lain tulisan Ibn Taymiyyah beliau memuji ahli sufi.

Begitulah lebih kurangnya. Ringkasnya jika orang yang membaca dari kulit ke kulit pun perlu ulang membaca lagi untuk memastikan tidak keliru, maka bagaimana halnya orang yang sekadar membaca secebis di sini dan secebis di situ lalu berani pula memfatwa begitu dan begini. Allahul musta'aan.

Oh, aku sebenarnya ingin menulis kenang-kenangan kembara pembacaanku, tapi terlajak pula. Lihat, inilah bukti apa yang aku sebutkan tadi!

Lain kali sahaja aku sambung lagi, insyaAllah.

No comments: